Wednesday, August 20, 2008

Bahasa Melayu Di Persimpangan: Antara Jati Diri Dan Rempuhan Globalisasi

SIRI SYARAHAN UMUM UNIVERSITI SAINS MALAYSIA

Dewan Budaya,
Universiti Sains Malaysia
Pulau Pinang

16 Julai 2008

Bahasa Melayu Di Persimpangan: Antara Jati Diri Dan Rempuhan Globalisasi


Prof. Emeritus Abdullah Hassan
Pengarah
Institut Peradaban Melayu
Universiti Pendidikan Sultan Idris


Pengenalan

Dalam membicarakan tajuk seperti ini, kita tidak dapat lari daripada percubaan menjawab beberapa soalan awal. Pertama apakah definisi bahasa Melayu itu? Kedua, siapakah yang menuturkan bahasa Melayu? Ketiga apakah kaitan bahasa Melayu itu dengan jati diri bangsa (orang) yang menuturkan bahasa Melayu itu? Keempat, apakah mekanisma yang mengaitkan bahasa dengan proses pembentukan dan pengubahan jati diri orang Melayu itu? Saya sengaja menggunakan istilah bangsa Melayu sebagai alternatif kepada orang Melayu. Dua istilah itu berlainan tetapi dalam pengertian umum referennya masih sama. Keempat, kita bertanya bagaimankah caranya jati diri sesebuah bangsa itu terbentuk? Dan kelima, bagaiamanakah jati diri bangsa itu dapat berubah?

Soalan pertama dan kedua itu agak terlalu ketara dan tidak memerlukan jawapan. Dalam persoalan ini juga, saya tidak membuat pembicaraan yang rinci mengenai apa yang saya maksudkan dengan istilah bangsa. Dalam sains politik, psikologi peribadi dan falsafah, isu ini memang penting. Namun, dalam perbahasan begini saya mengambil definisi yang paling umum bahawa bangsa Melayu itu adalah orang Melayu yang tinggal di Malaysia ini. Lagi pun inilah masyarakat sasaran yang dimaksudkan dalam syarahan ini. Mereka bermastautin di Malaysia, serta takluk dan patuh kepada sebarang dasar dan pelaksanaan dasar tertentu di negara ini. Saya bertindak demikian bagi membuat perbincangan selanjutnya. Orang Melayu di daerah lain tidak mengalami peristiwa-persitiwa sejarah dan sosial yang sama. Oleh sebab itu saya tidak dapat membuat pengitlakan yang seumum itu untuk mencakup semua orang Melayu di luar sempadan politik Malaysia. Namun, orang Melayu di luar Malaysia ini akan juga disentuh dan dirujuk dalam beberapa hal bagi memperjelas beberapa perkara berlainan tetapi berkaitan dalam perbincangan.

Dengan pengenalan luas begini, saya akan melihat apa isu yang merempuh jati diri manusia yang dipanggil Melayu ini. Perbincangan ini akan saya lakukan secara linear, iaitu: a. Jati diri seseorang dan bagaimana ini membentuk bangsa; b. Apakah ciri-ciri yang terkandung dalam definisi jati diri menurut ahli falsafah, sejarah dan sains sosial; c. Melihat isu jati diri Melayu ini secara umum; d. Melihat isu jati diri Melayu dalam konteks pengliberalan dasar di bawah pengaruh globalisasi; dan e. Membuat kesimpulan.

Definisi Jati Diri Seseorang Dan Sebuah Bangsa

Dalam mencari definisi jati diri individu dan bangsa ini, kita dapat merujuk dan menggunakan beberapa hipotesis dan teori para sarjana dan falsafah silam dan semasa yang saya anggap diterima oleh umum. Melalui hipotesis dan teori itu barulah kita dapat menjelaskan apa yang pernah berlaku, dan memahami apa yang sedang berlaku, dan meramalkan apa yang akan berlaku. Inilah inti pati yang diimbau oleh tajuk ini.

Jati diri sesebuah bangsa itu tidak dapat dipisahkan daripada jati diri seseorang individu. Oleh sebab itu kedua-duanya dibicarakan serentak. Kita melihat lakuan individu bagi menentukan jati dirinya, dan jati diri individu itu kemudiannya membentuk jati diri kelompok masyarakatnya. Dengan melihat jati diri individu itu kita dapat memahami jati diri masyarakatnya, dan dengan melihat jati diri masyarakatnya kita dapat memahami jati diri individunya.

Untuk kepentingan perbincangan dalam syarahan ini, itu saya merujuk kepada dua sumber. Pertama saya merujuk beberapa kamus falsafah dan mengambil beberapa definisi yang dibuat oleh ahli falsafah. Kedua saya membuat rujuk silang dengan melihat beberapa definisi ahli sosiologi, sejarah dan sains politik. Ada banyak polemik yang berlaku, namun saya hanya mengambil definisi paling umum yang dapat saya gunakan bagi membincangkan judul syarahan ini. Dengan demikian dapatlah diperjelas isi perkara yang dibincangkan.

Lazimnya dalam menghuraikan ciri-ciri yang membentuk jati diri sesebuah bangsa itu ahli falsafah juga memberi ciri-ciri jati diri individu yang menjadi ahli bangsa tersebut. Khususnya bagaimanakah kita dapat menentukan jati diri kita sebagai sebuah bangsa dengan merujuk kepada jati diri individu di dalamnya. Dengan melihat jati diri himpunan individu itu maka kita mengharapkan kita dapat mendefinisikan jati diri sebuah bangsa yang terbentuk daripada jati diri individu-individu tersebut.

Dalam hal ini kita dapat menggunakan definisi-definisi daripada beberapa orang ahli falsafah Eropah yang ada membicarakan tentang jati diri yang pernah saya rujuk. Joseph Butler (1692-1752), seorang ahli falsafah Inggeris, menghasilkan idea tentang prinsip pengindividuan. Prinsip ini bermaksud bahawa sesuatu itu adalah apa yang ia sebenarnya, dan bukan benda lain.

Konsep ini dapat saya gunakan bersama dengan sebuah konsep lain yang dijana oleh seorang ahli fasafah dan matematik terkenal Jerman, iaitu Gotfried Leibniz (1646 – 1716). Pemikiran beliau banyak saya rujuk, lebih-lebih lagi bagaimana beliau memulakan pemikiran yang dapat memodekan bangsa Jerman melalui bahasa Jerman. Beliau memperkenalkan konsep jati diri yang dapat dicam. Pada beliau, sekiranya A dan B mempunyai ciri-ciri yang sama, maka kedua-duanya adalah daripada satu jati diri yang sama.

Seterusnya, ada sebuah konsep lain yang relevan dengan pokok perbincangan tajuk ini, iaitu konsep yang diterbitkan oleh seorang ahli falsafah moden Inggeris, John Locke (1632-1704). Konsep yang beliau bincangkan itu membawa kita lebih dekat kepada memahami persoalan dalam tajuk syarahan ini, iaitu idea kesedaran atau memori dan proses disambiguasi memori itu. Malah beliaulah ahli falsafah pertama yang mendefinisikan ‘diri’ melalui konsep kesinambungan memori seseorang dan bangsa itu.

Persoalan kita adalah, apakah yang dikatakan jati diri seseorang itu apabila dia sendiri mengalami perubahan melalui satu jangka waktu? Bagi memulakan hujahan, kita dapat mengandaikan bahawa diri kita ini memang berubah atau menjadi berlainan daripada semasa ke semasa dalam perjalanan hidup kita. Sekiranya demikian, apakah yang membolehkan kita dapat mempertahankan jati diri kita itu walaupun kita melalui perubahan. Tidakkah jati diri kita itu berubah? Bagaimana pula jati diri kita itu masih kekal sama pada akhir suatu penegmbaraan waktu yang penuh dengan perubahan? Itulah yang diperkatakan oleh John Locke yang menjana idea bahawa kesamaan seseorang itu mungkin terkandung dalam kesamaan dalam substans (inti pati) mindanya. Kesamaan dalam memori ini terkandung dalam kebolehan kita mendefinisi diri kita melalui kesatuan memori tadi. Khususnya beliau merujuk kepada wujudnya memori silam, dan fungsi kesinambungan memori itu dalam perubahan jati diri, yang pada akhirnya masih tetap kekal bertahan. Apakah esens (pati) yang masih kekal maka jati diri kita itu kekal.

Memang idea ini bertentangan dengan idea Descartes, malah dikritik oleh David Hume (1711 – 1766), tetapi ia dapat menjelaskan proses dan mekanisme yang akan saya gunakan bagi membincangkan peritiwa sosial yang berlaku, dan meninggalkan kesan pada jati diri bangsa Melayu ini.

Dalam menghadapi perubahan ini, dalam sains politik, ternyata ada ciri-ciri jati diri yang dikatakan tidak berubah. Ini adalah kerana ciri-ciri ini adalah pati kepada jati diri sesebuah bangsa. Dan ciri-ciri yang menjadi esens ini dikatakan tidak berubah

Sebagai contoh, orang-orang keturunan Portugis di Melaka menuturkan bahasa Kristang (Kristian), oleh sebab itu maka mereka dianggap sebagai Portugis. Demikian juga dengan orang-orang Cina Baba di Melaka, Pulau Pinang dan Singapura, mereka dianggap Cina Baba apabila mereka masih menuturkan bahasa Cina Baba. Sekarang ini masyarakat Cina Baba inii hilang oleh sebab mereka mengelompokkan diri mereka dengan masyarakat Cina baru (Anne Pakir, 1994), oleh sebab itu hilanglah jati diri Cina Baba itu. Nyatalah bahawa bahasa adalah esens jati diri sesuatu masyarakat itu. Malah Asmah Haji Omar (2005b) melaporkan bahawa Teo Kok Seong menyimpulkan oleh kerana Cina Baba ini tidak pernah masuk Islam (Melayu) maka jati diri mereka kekal sebagai Cina , sekalipun mereka tinggal lama dalam persekitaran Melayu.

Persoalannya adalah, apabila ada perubahan berlaku terhadap dasar bahasa, dan juga tabiat berbahasa bangsa Melayu, maka apakah yang akan berlaku terhadap jati diri bangsa Melayu?

Ciri-Ciri Yang Membentuk Jati Diri Sesebuah Bangsa

Sebelum kita melanjutkan perbincangan, kita juga membuat definisi sesebuah bangsa.

Jati diri sesebuah bangsa itu merujuk kepada ciri-ciri yang membezakan sesuatu kumpulan manusia itu daripada yang lain, dan juga ia merujuk kepada rasa kekelompokan seseorang individu dalam kumpulan itu. Ada banyak ciri yang digunakan, dan setiap satunya adalah asing dan berlainan. Umpamanya perbezaan kecil dalam sebutan, dalam bahasa yang dituturkan, mungkin sudah cukup bagi memasukkan seseorang ke dalam kelompok bangsa yang berlainan. Umpamanya, kita akan dengan agak mudah mengenali pertuturan bahasa Melayu orang Melayu Singapura. Sebaliknya, dua oarng yang berlainan sahsiah, sistem kepercayaan, lokasi geografinya, masa, dan menuturkan dua bahasa yang berlainan, tetapi masih dianggap termasuk ke dalam satu bangsa. Ini dapat dilihat dalam jati diri bangsa Indonesia secara umumnya.

Keperluan utama dalam definisi sebuah bangsa itu adalah perlu adanya sebuah ciri yang dikongsi bersama, kerana sebuah kelompok orang yang tidak mempunyai sebarang ciri persamaan tidaklah dapat dikatakan sebuah bangsa (Butler dan Leibniz). Itulah yang menyebabkan wujudnya keseragaman dan kehomogenan. Dan, sebahagian daripada ciri itu hendaklah dapat pula membezakan bangsa itu daripada bangsa lain yang berjiranan.

Mempunyai Leluhur Yang Sama

Daripada istilah bangsa ini wujud pengertian bahawa orang-orang yang membentuk bangsa yang sama itu mempunyai leluhur yang sama. Konsep ini jelas diperkatakan dalam gerakan kebangsaan Melayu, bahawa mereka yang mengatakan mereka itu berasal daripada leluhur yang sama, adalah dikatakan mempunyai ciri leluhur yang sama. Oleh sebab itu mereka mempunyai ciri-ciri bangsa yang sama. Leluhur yang sama itulah yang menyebabkan mereka itu dianggap termasuk ke dalam golongan satu bangsa yang sama. Sememangnyalah, kita boleh mempersoalkan mereka itu datang dari leluhur siapa dan yang mana? Tentulah kita mengatakan bahawa mereka itu berasal daripada generasi Melayu dahulu. Ini adalah seolah-olah mengatakan mereka itu datang daripada leluhur bangsa sebelumnya.

Kita melihat kembali kepada kes bangsa Melayu ini. Ada kes bangsa lain seperti bangsa Maori yang mengalami proses penenggelaman oleh bangsa lain yang baru datang. Ini bermula dengan kedatangan penjajah Inggeris. Sebelum itu bangsa Maori berasal daripada leluhur yang sama. Pada masa ini penduduk New Zealand terdiri daripada 20% Maori, 7% Asia, 7% Polinesia, dan 66% Eropah. Setelah berlaku percampuran, dalam perkahwinan, maka jati diri bangsa Maori New Zealand ini menjadi berubah. Apakah generasi yang akan datang ini masih mempunyai jati diri yang sama. Malah apabila ada banyak kaum daripada bangsa yang berlaian, maka konsep ’apa yang bukan kita’ menjadi semakin penting dalam menentukan jati diri sesuatu bangsa itu (Paul Morris, 2005: 7 dalam Asmah Haji Omar 2005a). Ini bermaksud, apabila ada banyak kaum lain bermastautin dalam sesebuah negara, maka prinsip apa yang bukan ’kita’ itu adalah lebih menetukan jati diri sesuatu kaum atau bangsa. Di Malaysia jelas dilihat isu ini, apabila Cina dan India itu tidak diterima sebagai Melayu. Di atas tadi dijelaskan bahawa mereka kekal Cina dan India, tidak menjadi Melayu apabila mereka tidak menganuti Islam. Tetapi yang menjadi semakin aneh itu, suku kaum daripada etnik Melayu yang bukan Islam juga bukan daripada Melayu, sehingga terpaksa ditimbulkan istilah Bumiputera untuk mereka yang bukan Islam.

Menuturkan Bahasa Yang Sama

Ciri menuturkan sebuah bahasa yang sama itu adalah salah satu daripada ciri yang dianggap menjadi menentukan jati diri sebuah bangsa. Ia berfungsi sebagai alat komunikasi antara ahli masyarakat itu, dan di samping itu menjadi ciri yang mendefinisikan bangsa itu. Umpamanya orang Melayu itu menuturkan bahasa Melayu. Apa yang berlaku pada masyarakat Cina Baba di Malaysia adalah suatu kes yang menarik. Sebagai satu kelompok masyarakat, mereka menuturkan bahasa Melayu Baba. Selagi mereka menuturkan bahasa Melayu Baba, mereka dikenali sebagai Cina Baba. Walau bagaimanapun, dengan kedatangan kaum Cina lain, Cina Baba ini kembali diserap ke dalam masyarakat Cina yang baru dan menuturkan bahasa Cina. Akhirnya jati diri Cina Baba mereka hilang. Sudah tidak ada lagi orang Cina Baba (Anne Pakir 1994).

Pada suatu pihak lain, rakyat Switzerland menuturkan empat bahasa yang berlainan; Perancis, Jerman, Itali dan Romans; namun semuanya adaalah bangsa Swiss. Oleh sebab itu menuturkan satu bahasa itu, tidak semestinya muktamad menyatakan jati diri yang sama.

Mengalakna Kebudayaan Yang Sama

Kebanyakan bangsa di dunia mendefinisikan diri mereka sebagai sebuah bangsa apabila ahli masyarakatnya mengamalkan kebudayaan yang sama. Ini adalah kerana kebudayaan itu adalah warisan bangsa. Masyarakat yang mewarisi kebudayaan yang sama itu pastilah sebuah bangsa yang sama.

Dalam buku Pauline Bunce (1993) mengenai orang Melayu yang tinggal di Kepulauan Cocos, ternyata interpretasi mereka sebagai orang (bangsa) Melayu itu adalah berasaskan kepada hakikat mereka itu masih menuturkan bahasa Melayu, mengamalkan kebudayaan Melayu dan masih beragama Islam. Bahkan, Pauline Bunce juga sangat tertarik dengan budaya Melayu di Pulau Cocos itu dan beliau ada menulis sebuah makalah menegenai budaya bangsa Melayu Kepulauan Cocos. Selama lebih 180 tahun masyarakat ini terpisah daripada masyarakt induk Melayu, mereka masih mengekalkan bahasa, adat dan agama Islam. Oleh kerana itu mereka masih mengaggap diri mereka Melayu.

Asmah Haji Omar (2006) merakamkan bagaimana orang Melayu di Kepulauan Cocos, Kepulauan Christmas, Australia Barat dan Australia Timur masih mengamalkan kebudayaan Melayu dan menuturkan bahasa Melayu sebagai jati diri mereka.

Memang benar kebudayaan sesebuah bangsa itu adalah khusus pada sesebuah bangsa itu sahaja. Kita tidak boleh mengelirukan perkara ini dengan hakikat bahawa ada ciri kebudayaan itu yang sama atau dikongsi dengan bangsa lain. Malah bahasa tidak begitu, bahasa dapat dikongsi dengan orang atau bangsa lain. Paling jelas, bahasa Inggeris, bahasa Portugis, bahasa Perancis, bahasa Spanyol dituturkan oleh banyak bangsa lain di dunia di samping penutur asalnya masing-masing di England, Portugis, Perancis dan Spanyol. Dalam hali ini, kebudayaanlah yang mengasingkan mereka sebagai bangsa yang berlainan.

Kebudayaan sesebuah bangsa itu dianggap menjadi ciri, unsur yang dikongsi dengan generasi silam, kebangsaan. Ia dianggap sebagai warisan bangsa. Ada kalanya, kaitan atau pautan dengan kebudayaan bangsa silam ini adalah simbolik semata. Umpamanya, warisan Stonehenge diambil sebagai warisan Inggeris, walaupun ia wujud 5000 tahun sebelum bangsa Inggeris muncul.

Maka pada orang Melayu juga, sejarah Melaka itu adalah sebahagian daripada simbol Melayu. Bukit Siguntang dan Iskandar Zulkarnain itu hanyalah mitos, tetapi ia adalah juga simbol Melayu. Ia menjadi simbol jati diri bangsa Melayu dalam kebudayaan Melayu.

Unsur kebudayaan ini dianggap penting, malah lebih penting daripada bahasa, kerana bahasa dapat dipelajari dan dituturkan oleh sesiapa sahaja.

Berpegang Kepada Agama Yang Sama

Agama juga adalah sebuah ciri yang sering bagi mendefinisikan bangsa. Oleh agama ini dikongsi bersama dengan anggota penduduk lain, maka ia digunakan sebagai faktor yang dapat mendefinisikan bangsa. Walau bagimanapun, ciri agama ini tidak dapat dengan sendirinya menjadi ciri sebuah bangsa. Ini adalah kerana agama memang dipunyai oleh lebih daripada satu bangsa manusia. Umpamanya Islam dianuti oleh lebih daripada satu bangsa dalam dunia ini. Begitu juga dengan agama-agama lain sepeti Kristian, Hindu dan Buddha. Dengan perkataan lain, orang-orang yang menganut agama yang sama belum pasti datang daripada bangsa yang sama.

Yang menarik pula adalah pengmatatan Teo Kok Seong (Asmah Haji Omar 2005b) yang mengatakan Cina Baba yang mengamalkan kebudayaan yang hampir sama dengan kebudayaan Melayu tidak menjadi Melayu kerana mereka tidak menganuti agama islam.

Bermastautin Di Daerah Geografi Yang Sama

Pada masa dahulu ketika komunikasi tidak begitu lancar dan meluas, orang yang tinggal di satu daerah geografi dipanggil satu bangsa. Ini masih berlaku di daerah yang paling terpencil dan tidak ada laluan untuk orang lain. Pada masa ini sebuah bangsa mungkin tersebar ke merata dunia. Inilah yang menghasilkan masyarakt diaspora. Cina yang tinggal di Chile akan menjadi warga negara Chile, mungkin dari segi perlembagaan dapat menjadi rakyat Chile, tetapi ciri fizikalnya masih Cina.

Namun, konsep tanah air, iaitu konsep Tanah Melayu memang dianggap sebagai daerah geografi bangsa Melayu. Konsep ini pun sudah terhakis dengan perubahan politik.

Jati Diri Bangsa Melayu

Seterusnya kita berbicara secara lebih khusus siapa dia bangsa Melayu itu, dan apakah yang dikatakan jati diri bangsa Melayu itu? Dalam hal ini kita melihat definisi yang sudah dibuat oleh beberapa orang sarjana berwibawa, daripada menjadi wibawa yang cuba pula membuat definisi.

Definisi Bangsa (Orang) Melayu

Mengenai pendapat sarjana yang mendefinisikan jati diri Melayu itu, kita dapat merujuk kepada beberapa buah makalah dalam Contesting Malayness diedit oleh Timothy Barnard dan terbitkan oleh University of Singapore Press (2004). Dalam buku itu Barnard dan Maier mengatakan bahawa para sarjana dunia Melayu ini “dengan terlibat memikirkan ciri dunia Melayu yang terus berubah bentuk. Setiap orang menimbulkan isu pokok dalam bagaimana jati diri dan dunia Melayu itu dapat difahami, sama ada dari segi bahasanya, perniagaannya, penjajahannya, melanunnya, kesusasteraannya atau negara bangsa modennya.” (Terjemahan bebas pengarang). Namun, dalam persepsi para sarjana ini tidak ada ciri agama, adat dan kebudayaan yang saya bincangkan di atas. Pada hal, dalam buku-buku yang membincangkan jati diri bangsa, dan Perlembagaan Malaysia, unsur agama, adat dan budaya itu adalah aspek penting, iaitu yang dikatakan Melayu itu adalah orang yang beragama Islam, berbahasa Melayu dan mengamalkan cara hidup Melayu.

Dalam sebuah makalah lain dalam buku yang sama Shamsul Amri Baharuddin (2004) menghuraikan jati diri Melayu dengan lebih lanjut. Menurut beliau jati diri Melayu seperti yang kita ketahui sekarang adalah sebenarnya persepsi yang dibuat dan dipaksakan ke atas kita oleh para orientalis dan pentadbir penjajah Inggeris. Dalam aspek tersebut ada tiga ciri yang digunakan oleh Shamsul Amri Baharuddin bagi mendefinisikan bangsa Melayu ini. Pada beliau penjajah Inggeris bukan sahaja menguasai kita daripada segi ketenteraan, politik, diplomatik, ekonomi, tetapi sebenarnya mereka juga menyerang dan menyerapi budaya kita. Dengan demikian mereka juga sudah menakluki ruang epistemologi kita. Dalam ungkapan yang mudah, pemerintah Inggeris mencampuri sistem pemikiran orang Melayu, sehingga dapat melumpuhkan minda orang Melayu dengan meletakkan sempadan-sempadan pada kemampuan kita mendefinisi diri dan dunia kita sendiri.

Beliau menyatakan lagi bahawa, dalam sejarah, terakam apa yang mereka lakukan, iaitu ada tiga perkara penting yang mereka lakukan, iaitu: a. Membuat kajian dan laporan rinci mengenai sistem kuasa pemerintahan dan adat istiadat tempatan, sejarah, sistem pemilikan tanah, sistem pawahan dan pungutan hasil; b. Membuat deskripsi rinci mengenai tamadun peribumi, yang kemudiannya memberi Inggeris kuasa dalam mentamadunkan wilayah yang mereka jajah; dan c. Mengenal pasti tokoh, pejuang dan pemberontak, dan membina lambang-lambang keberadaan dan kekuasaan mereka di wilayah Melayu.

Tegasnya, dengan demikian mereka dapat mewajarkan tatacara mereka mentadbir jajahan yang mereka takluki. Apabila Inggeris datang ke Tanah Melayu, mereka mengkaji dan mengklasifikasi segala aspek kehidupan di dunia Melayu; dalam bidang zoologi, geologi, botani, ekonomi, sejarah dan sosiologi dengan menjalankan survei yang sistematik. Mereka menyusun atur penjadualan jajahan itu supaya mereka dapat membuat ramalan dan penentuan dari segi ekonomi, sosial dan politik. Banci penduduk yang mereka kendalikan, merakamkan ras, kaum, etnik, agama, dll., bagi membolehkan Inggeris mengkategorikan orang Melayu dan Peribumi lain untuk tujuan pentadbiran mereka.

Akhirnya, langkah yang melakri jati diri Melayu itu adalah peristiwa apabila penjajah Inggeris meluluskan Enakmen Rezab Melayu pada tahun 1913. Melalui Enakmen itu Inggeris dapat menentukan: a. Siapa orang Melayu, b. Siapa yang boleh menanam padi atau getah; dan c. Harga tanah. Seterusnya, definisi jati diri Melayu itulah yang termaktub dalam Perlembagaan Malaysia, yang kemudiannya menentukan siapa yang dianggap Melayu dan bumiputera, ’dan siapa yang berhak mendapat biasiswa dan membeli tanah di kawasan rezab Melayu, dengan nilai tertentu, dll.’

Mekanisma Perubahan Jati Diri

Kita sudah membuat definisi jati diri Melayu itu. Tetapi sekarang, bagaimanakah perubahan jati diri bangsa Melayu ini berlaku? Perkara yang jelas kepada kita adalah lakuan kita sendiri. Itu adalah peritiwa yang dapat dicam, dirakamkan dan dianalisis. Ini dapat dilkaukan bagi melihat sama ada berlaku perubahan pada lakuan kita. Premis ini bermula dengan andaian yang lakuan itu adalah berasaskan nilai pada jati diri pelakunya. Apabila berlaku perubahan pada lakuan seperti yang diperhatikan, maka besar kemungkinannya nilai dalam jati dirinya juga sudah berubah. Tetapi, bagaimanakah kita menghubung kait dua peristiwa ini.

Pada masa ini kita sedang mempersoalkan apakah dengan perubahan dasar bahasa pendidikan sekarang maka jati diri bangsa Melayu akan berubah? Oleh sebab itu kita mencuba mencari jawapan kepada kebimbangan tersebut. Bagaimanakah kita dapat membuat pemerhatian yang dapat menjelaskan fenomena ini?

Salah satu daripada caranya adalah, kita melihat apa yang pernah ditulis oleh sarjana lain yang berwibawa mengenai hal ini. Kedua kita merujuk kepada lakuan manusia Melayu yang memang dapat diperhatikan. Kemudian kita cuba membuat analisis terhadap lakuan tersebut dan menentukan sama ada lakuan tersebut sebenarnya berasaskan kepada nilai yang mendasari jati diri Melayu itu. Andaiannya adalah, apabila lakuan manusia Melayu itu berubah, maka ada kemungkinan ini disebabkan oleh perubahan pada nilai mereka sendiri, dan seterusnya perubahan pada nilai itu pula mengubah jati dirinya.

Kita dapat memerhatikan lakuan kita sendiri. Tetapi tentu tidak semudah itu kita mengaitkannya dengan perubahan jati diri kita. Kita perlulah mencari kaitan antara kedua peristiwa ini, perubahan jati diri dan perubahan lakuan yang dapat diperhatikan. Selepas itu kita cuba memahami orang, melihat apa yang dilakukannya. Setelah itu kita cuba memahami nilai yang mendasari peristiwa lakuan tersebut. Lakuan penutur sesuatu bahasa tersebut adalah cerminan kepada nilai yang dianutinya, dan nilai yang dianutinya itu adalah sebahagian daripada ciri-ciri jati dirinya.

Sekiranya lakuan kita itu berdasarkan amalan kebudayaan kita, maka ada kewajaran untuk kita membuat andaian bahawa apa yang kita lakukan sebagai fitrah itu adalah tanda kepada lakuan yang berdasarkan pada nilai yang menjadi pegangan kita. Sekiranya kita menerima andaian bahawa apa yang kita lakukan itu berdasarkan kepada nilai yang kita pegang, dan sebenarnya lakuan itu dapat dilhat, maka daripada lakuan itu dapat kita lihat nilainya. Dan nilai itu adalah pegangan masyarakat kita yang diungkapkan melalui bahasa. Apabila berlaku perubahan bahasa, maka akan berlakulah perubahan nilai bangsa. Ini kemudiannya menghasilkan perubahan pada lakuan kita.

Dengan perkataan lain, dengan melihat lakuan, kita mengandaikan kita dapat memahami nilainya. Apabila nilainya berubah, maka lakuannya juga berubah. Dan dengan perubahan bahasa, berlaku pula perubahan nilai, yang mengakibatkan perubahan lakuan. Dengan melihat lakuan, kita dapat melihat perubahan nilai seseorang, dan perubahan nilai seseorang itu sebenarnya mengubah jati dirinya. Bagaimanakah kita mengaitkan peristiwa ini dengan bahasa.

Keperluan Sebuah Teori

Apa sahaja yang kita lakukan mestilah dapat dipertahankan dari segi ilmiahnya. Dengan perkataan lain, kita mesti mempunyai sebuah atau beberapa teori. Melalui teori itu kita dapat membuat pemerhatian secara emprikal. Ini bermaksud setiap kesimpulan yang kita buat, perlu didasarkan kepada data konkrit, iaitu yang dapat dilihat, didengar dan dirakamkan.

Dalam hal ini, lakuan bahasa memang dapat dirakamkan dan dianalisis. Namun kita memerlukan teori yang dapat menjelaskan fenomena ini. Secara khususnya kita mahu melihat apa hubung kait antara satu dengan lain, antara bahasa yang kita perhatikan itu dengan lakuan yang berasaskan nilai yang menjadi jati diri bangsa Melayu itu.

Untuk berbuat demikian, saya memilih teori Himpunan Memori. Sebagai penjelasan, kita dapat melihat ada hubungan rapat antara bahasa sebagai wahana bebanan budaya sesebuah bangsa dan lakuan orang yang menganut kebudayaan tersebut. Teori himpunan memori ini adalah konsep pokok yang digunakan bagi menjelaskan bagaimana bahasa dapat merubah himpunan memori sesuatu bangsa itu, dan apabila akhirnya himpunan memori itu berubah, maka jati diri bangsa tersebut akan berubah.

Walaupun, saya akan menggunakan teori Himpunan Memori ini secara khusus bagi memahami proses perubahan nilai dan akhirnya jati diri, saya juga menggunakan beberapa hipotesis lain bagi lebih memeperjelas peristiwa berlakunya perubahan jati diri ini. Hipotesis ini adalah seperti berikut:

a. Hipotesis Ibnu Khaldun dan Malek Bennabi: Minda Terjajah dan Tertawan
b. Hipotesis Bahasa Ekspresif, Sapir-Whorf
c. Hipotesis Muatan Rohaniah.
d. Hipotesis Emak Si Randang

Bagi menjelaskan proses-proses and perkara di atas, saya menggunakan data yang terkumpul melalui kajian para sarjana dan juga himpunan peristiwa daripada koleksi yang saya kumpulkan dalam memperhatikan fenomena ini, sebagai peristiwa perubahan jati diri bangsa Melayu. Data yang digunakan dikumpulkan melalui pemerhatian selama 20 tahun. Walaupun ada kalanya rakaman ini adalah peristiwa kasual, tetapi ia adalah lakuan bahasa yang mengiringi nilai yang menjadi pegangan. Oleh sebab itu ia sebenarnya mencerminkan peristiwa lakuan perubahan nilai yang dimaksudkan. Ada juga yang dirakamkan daripada kajian dan buku lain. Namun semuanya adalah berfokus kepada orang dan keluarga Melayu dan semuanya menyatakan perubahan nilai dan jati diri. Inilah data yang digunakan sebagai contoh bagi menjelaskan fenomena perubahan nilai, dan seterusnya jati diri tersebut. Dalam kajian begini banyak introskepsi yang digunakan.

Hipotesis Himpunan Memori Bangsa dam Tafsirannya

Hipotesis Himpunan Memori ini mula diperkenalkan oleh seorang sarjana sejarah dan falsafah Perancis yang mengajar di Jerman, iaitu Maurice Halbwachs (1877 – 1945). Daripada ulasan mengenai bukunya (1925). Les cadres sociaux de la mémoire (Sosial Memori) beliau mengutarakan konsep memori bangsa. Beliau menghuraikan bahaawa konsep memori bangsa itu terakam dalam satu himpunan memori individu anggota sesuatu masyarakat. Konsep ini diperluas oleh Pierre Nora, yang saya ikuti melalui ulasan terhadap bukunya (1993) Lieux de mémoire, (Bidang-Bidang Memori). Dalam laporan itu konsep memori bangsa terbahagi kepada bidang-bidangnya, dan inilah yang kemudiannya perkembangkan lagi oleh sarjana sejarahwan tahun 70-an. Mereka menggunakan idea himpunan memori dalam pemikiran dan pentafsiran sejarah. Umumnya segala peristiwa dan pergolakan sosial and politik dalam masyarakat itu terakam dalam memori individu dan himpunan memori individu itu menjadi himpunan memori sesuatu bangsa.

Sebuah tafsiran lanjut Hipotesis Himpunan Memori ini diperlukan. Himpunan memori itu adalah kesan silam yang wujud dalam jati diri semasa kita. Persoalannya, bagaimana kita mentafsirkan pengalaman yang begitu besar dan berbagai menjadi sebuah kesatuan “himpunan memori” sesuatu bangsa.

Hipotesis himpunan memori bangsa ini dapat kita pergunakan kepada fenomena bahasa. Walaupun ada persoalan yang belum terjawab, namun hipotesis himpunan memori ini dapat kita gunakan dalam mentafsirkan kesan sejarah sosial yang berlaku dalam sesuatu kelompok masyarakat. Himpunan memori itu ditinggalkan oleh sebuah generasi kepada generasi berikut. Inilah peranan yang dipegang oleh bahasa. Bahasa adalah wahana yang membentuk dan merakam himpunan memori tersebut. Bahasa adalah alat yang menghubungkan memori suatu generasi dengan generasi yang berikutnya. Bahasa merakamkan memori tersebut, dan kemudian bahasa itulah yang menjadi wahana memindahkan himpunan memori tersebut dalam bentuk maklumat.

Dalam Himpunan Memori Bangsa itu terakamlah segala peristiwa, cerita, konsep-konsep, idea-idea, norma, peraturan, nilai-nilai dll., sesuatu bangsa. Itulah yang dikatakan himpunan memori sesuatu bangsa. Rakaman memori itu dilakukan melalui bahasa. Bahasa Melayu adalah wahana bagi merakam dan memindahkan himpunan memori
Melayu kepada generasi berikut.

Bahasa memang dapat menjadi wahana yang memindahkan memori itu dari segi ruang, dari satu daerah ke satu daerah lain (orang Minangkabau membawa himpunan memori bangsanya ke Negeri Sembilan). Bahasa juga dapat memindahkan memori itu dari segi masa, dari satu zaman ke satu zaman lain, dan khususnya, ia memindahkan memori daripada satu generasi kepada generasi berikut seperti yang dilakukan oleh nenek kita dengan menceritakan kehidupannya pada zaman silam untuk dicontohi oleh cucunya (atau orang Yahudi menuliskan kembali memori silamnya bagi membangunkan Israel).

Sekarang, bayangkanlah apa akan terjadi apabila bahasa Melayu itu tidak dipertuturkan lagi oleh orang Melayu. Wahana bagi merakamkan dan memindahkan memori bangsa Melayu itu sudah tidak ada lagi. Bagaimana memori bangsa Melayu itu akan dirakamkan dan dipindahkan ke generasi akan datang.

Peristiwa yang sedang berlaku pada bahasa Melayu ini tidak begitu jelas untuk difahami. Peristiwa begini sudah lama berlaku di Singapura. Mari kita lihat sebahagian daripada peristiwa yang berlaku di negara jiran kita ini. Akibat perubahan kepada dasar bahasa pengantar pendidikan di Singapura setelah menjadi Republik, maka Anne Pakir (1994) melaporkan bahawa, apabila ibu bapa diberi pilihan bebas bagi memilih ke mana hendak menghantar anak mereka belajar, maka pilihan mereka jatuh kepada sekolah aliran Inggeris. Beliau mendapati bahawa sekolah Cina pun ‘luput’ dan Universiti Nanyang pun ditutup. Sekolah Tamil juga luput. Yang terakhir luput adalah sekolah Melayu, Sekolah Tun Sri Lanang, pun turut luput. Apakah akibatnya?

Akibat ini mungkin dapat kita kesan dalam ucapan Perdana Menteri Singapura YAB Dr. Goh Chok Tong pada tahun 1997, apabila berucap kepada rakyat Singapura. Beliau pernah berkata kepada seluruh rakyat Singapura melalui ucapannya pada pada 27 Julai 1997, bahawa ”selepas melaksanakan pendidikan dalam bahasa Inggeris selama dua puluh lima tahun, maka jelaslah bahawa kita sudah melahirkan satu generasi pemuda Cina, yang hanya jasadnya Cina, tetapi budayanya bukan Cina lagi.” (Terjemahan bebas pengarang.)

Pendapat beliau itu dibuktikan benar oleh sebuah kajian oleh Dr. Chong Hun Yin (1999), seorang pensyarah sosiologi di Jabatan Sosiologi, Universiti Nasional Singapura. Beliau membuat kajian terhadap nilai dalam kalangan generasi muda di Singapura, iaitu pelajar universiti. Dengan mengemukakan hampir 200 soalan mengenai kegemaran, idola, kebiasaan, dan pilihan-pilihan dalam hiburan, makanan dll., maka beliau dapat meninjau sama ada nilai generasi muda itu berubah atau tidak. Perubahan memang sudah berlaku, dan sebagai kesimpulan umumnya beliau mendapati 9 daripada 10 pemuda Cina ”menyesal” dilahirkan sebagai Cina, mereka kepingin dilahirkan sebagai kaukasius (orang putih). Lapan daripada sepuluh pemuda India juga begitu, manakala 1 daripada sepuluh pemuda Melayu pun begitu.

Malah dalam ucapan yang sama Dr. Goh Chok Tong mengatakan bahawa bukti generasi muda itu sudah berubah nilainya adalah jelas. Mereka itu sangat mudah menyesuaikan diri dengan kehidupan di Barat. Mereka tidak menghadapi sebarang masalah langsung apabila dihantarkan melanjutkan pelajarannya di Inggeris, Amerika Syarikat atau Australia. Mereka mudah meneruskan kehidupan di sana seumpama ikan dicampakkan ke air. Seterusnya apabila tamat pengajiannya, ada yang tidak mahu pulang, dan sekiranya pulang pun, ada yang suka membawa pasangan dari Barat.

Walaupun dalam kalangan pelajar Melayu Singapura, perubahan nilai itu rendah, tetapi gambaran itu bukan pada semua poulasi Melayu. Memang jelas hasrat mereka mempertahankan nilai Melayu itu tetap kuat. Namun, pada tahun 2003, keadaan itu sudah berubah juga. Sejauh mana, tidaklah dapat diukur. Ada sebuah kajian lain yang dijalankan oleh En. Tajudin Jaafar, (pensyarah di Jabatan Bahasa Melayu, di Institut Pendidikan Nanyang?). Beliau membuat kajian mengenai pergeseran bahasa, iaitu sejauh mana bahasa Melayu itu masih bertahan dalam kalangan penduduk Melayu Singapura. Beliau mengkaji penggunaan bahasa Melayu dalam domain-domain tertentu dalam kalangan masyarakat Melayu. Kajian beliau mendapati hanya orang Melayu yang berusia 50 tahun ke atas masih menggunakan bahasa Melayu, itupun dalam hal keluarga dan agama di rumah dan dengan rakan sebayanya. Yang muda tidak lagi, tidak lagi menggunakan bahasa Melayu, tidak pun dalam hal-hal agama.

Apabila perubahan begini berlaku, dapatkah kita mengatakan tidak ada perubahan pada jati diri kita berlaku apabila kita menggunakan sebuah bahasa lain sebagai bahasa menyampaikan pendidikan?

Orang Melayu daripada golongan menengah di Malaysia harus dapat menyedari hakikat ini.

Minda Terjajah dan Minda Tertawan

Sebenarnya fenomena yang kita hadapi ini bukanlah baru. Enam ratus tahun dahulu, Ibnu Khaldun (1332 – 1406), sarjana sosiologi dan falsafah Islam pernah membuat pemerhatian mengenai peristiwa ini. Beliau membuat catatan dalam Muqaddimah, Bab 2, Bahagian 22, bahawa bangsa yang pernah ditakluki oleh sebuah kuasa lain itu lazimnya terus menjadi kagum terhadap penakluknya. Oleh sebab itu mereka gemar meniru pakaian, simbol, kepercayaan, budaya dan amalan bangsa menaklukinya mereka. Mereka menyangka bangsa yang mengalahkan mereka itu adalah bangsa agung. Akibatnya mereka tidak percaya bahawa mereka mungkin dikalahkan oleh faktor-faktor biasa sahaja. Oleh sebab itu tidaklah kita hairan apabila ada pemimpin kita yang terus kagum terhadap kuasa Inggeris. Mereka terus terkesima oleh bahasa Inggeris. Mereka tidak dapat melihat kejayaan bahasa Melayu dalam memandaikan rakyat, kerana minda mereka sudah terjajah oleh Inggeris. Pada mereka bahasa Inggeris adalah untuk segala-galanya. Kejayaan bahasa Melayu melahiran ribuan doktor, insinyur, ahli kimia, ahli farmasis, dll., dan mampu pula mengikuti pengajian sarjana dan kedoktoran di Korea, Jepun, Rusia, Mesir, Sweden, tidak membuktikan apa-apa kepada mereka. Mereka tetap terjajah dalam minda mengagungkan bahasa Inggeris (Sharir Mohd. Zain, 2006).

Idea minda terjajah ini juga dipersepsi oleh seorang sarjana sosiologi Islam lain, iaitu Malek Bennabi (1905 –1973). Beliau adalah sarjana Islam dari Algeria, dan menerima pendidikan di Perancis. Beliau banyak membuat kajian dan pengamatan mengenai fenomena bahasa dan bahasa pengantar pendidikan dan kesannya terhadap pemikiran seseorang. Dalam bukunya (1954) Islam in History and Society, beliau membincangkan bagaimana sejatah penjajahan menimbulkan fenomena penjajahan minda. Ada kalanya ungkapan minda tertawandan minda terjajah juga digunakan bagi mendeskripsi skenario yang sama akibat penjajahan.

Malek Bennabi membuat pengamatan bahawa "... fenomena kedwibahasaan mencipta kesan-kesan yang sangat bertentangan dengan kebudayaan kebangsaan kita masing-masing." Ini berlaku apablia kita menerima pendidikan dalam sebuah bahasa lain, lazimnya bahasa penjajah, maka minda kita menjadi terus kagum terhadap budaya bahasa yang kita gunakan untuk belajar tersebut. Akibatnya kita menjadi buta budaya sendiri, malah menghinanya, dan ada kalanya boleh mengkhinatinya. Oleh itu apalah yang menghairankan kita apabila ada pemimpin kita yang menerima pendidikan dalam bahasa Inggeris itu terus menjadi terjajah mindanya. Dan mereka akn terus mengagungkan bahasa Inggeris. Janji-janji mendaulatkan bahasa Melayu itu adalah ibarat menanam tebu di bibir sahaja. Pada hakikatnya, bahasa yang tidak digunakan dalam pendidikan, maka pengaruhnya akan menjadi sangat terhad. Mana mungkin bahasa yang tidak digunakan dalam pendidikan itu didaulatkan. Malah pemimpin begini juga memandang bahasa Melayu itu remeh sahaja. Itulah sebab kita dapat melihat lakuan bahasanya, bahasa Melayu yang digunakannya adalah bahasa rendah dan terhad (Basil Bernstein, 1971). Ini adalah bukti yang mereka memandang bahasa Melayu itu rendah dan remeh.

Dalam perbincangannya mengenai minda yang terjajah oleh fenomena dwibahasa yang diakibatkan oleh bahasa asing yang digunakan sebagai bahasa pendidikan ini, beliau menggunakan sebuah kes pelajar Arab yang dihantar belajar undang-undang di Universiti Oxford. Rupa-rupanya apabila kita belajar melalui bahasa asing, maka idea-idea asing juga akan diimport bulat-bulat seperti yang dilakukan oleh Ali Abdul Razik, bekas penuntut al-Azhar yang kemudian melanjutkan pengajiannya di Universiti Oxford.
Ali Abdul Razik ini kemudian menulis tentang "Islam Dan Prinsip-Prinsip Pemerintahan," dan dalam karya tersebut beliau mengatakan Islam hanyalah suatu ajaran agama, spiritual dan moral, dan tidak ada kaitan dengan soal-soal politik dan pemerintahan. Oleh sebab itu beliau mengajukan supaya sistem perundangan Inggeris perlu diimport saja. Oleh itu, hairankah kita bagaimana ”The British Common law” itu diimport ke Negara kita dan digunakan. Malah, hingga sekarang, lima puluh tahun selepas merdeka, Jabatan Kehakiman kita masih terpaksa menggunakan bahasa Inggeris.

Hipotesis Sapir-Whorf Dan Hipotesis Bahasa Ekspresif

Berapa ramaikah orang Melayu dalam kelas menengah dan elit yang di rumahnya tidak lagi menggunakan bahasa Melayu. Mereka menggunakan bahasa Inggeris. Malah ada kecenderungan kelas menengah, mengajar anak kecil supaya mula berbahasa Inggeris. Apakah implikasi lakuan ini terhadap jati diri kita orang Melayu. Ini mungkin dapat kita tinjau daripada Hipotesis Sapir-Whorf yang mengatakan bahasa yang kita gunakan itu menentukan bagaimana kita melihat memahami realiti dunia. Oleh sebab itu bangsa yang menukar bahasa komunikasinya, juga menukar persepsinya berkenaan dirinya, persepsinya, persekitarannya. Kita mungkin kurang menyedari hakikat ini.

Daripada bahasa yang ditutukan kita dapat mengenal pasti bahasa ekspresif seseorang. Apabila seseorang itu terperanjat, marah, mencarut dan memaki, apakah bahasa yang digunakannya. Apakah bahasanya dalam mimpi, doa dalam saat-saat sedih dan cemas.
Sekiranya dia menggunakan bahasa Inggeris, maka bahasa itu adalah bahasa ekspresifnya. Dan sekiranya bahasa Inggeris itu menjadi bahasa ekspresifnya, maka dunia realitinya juga akan berubah. Kita dapat melihat beberapa lakuan bahasa berikut bagi menunjukkan realiti dunia kita yang sudah berubah. Banyak ungkapan dalam contoh berikut dizhirkan dalam bahasa Inggeris. Dalam bahasa Melayu, ungkapan demikian tidak akan muncul.

Hariadi Anak Bongsu

Emak: We are going to have a birthday party for you ...
Gadis: You will bake me a cake or what ..
Emak: We will order one from the bakery ...
Gadis: How many lilin will I have ..
Emak: Say properly, say candles, not lilin, You must learn good English.
Gadis: Never mindlah ....
Emak: What never mind, Mahathir says so ... we must speak Inggeris to be a developed nation, wawasan duapuluh-duapuluh what ...
Bapa: Both of you serupalah,
Girl: Then what to do?
Emak: I will put ten candle (singular), because your are ten year 9singular) old. You blow the candle (singular) and make a wish
Gadis: Wish apa?
Emak: Think la, your hajat, what you want, and Angah will wear a fairy’s dress with wings … All these they do for you, you know.



Anak Sulung Mahu Berkahwin

Ayah: You are going to get married, I hope you have enough saving to pay for your wedding expenses!!
Teruna: I tried to save, but I couldn’t save enough, so I am expecting some contribution from you Bapak?
Ayah: How can you get married if you don’t have enough money.
Teruna: I told you I just couldn’t save. (Hubungan anak dan bapa ini buru sejak akhir-akhir)
Ayah: What contribution, you are getting married, you will have to bear the cost. Kawin nak, keluar duit tak mahu ... (Pertelingkahan meningkat .....)
Teruna: What kind of father are you ?
Ayah: I have been resposible to you since small, gave you education, gave you care .....
Teruna: What care … you …. I hope you will burn in hell .....

Bapa Kahwin Lagi

Anak Lelaki: Why you keep that stupid man? (Anak membahasakan bapanya sebagai ‘stupid man’ kepada ibunya.)
Emak: Well we have been married for years, it is not that easy…
Anak Lelaki: You make sure you get all the properties, leave him with nothing. You just tell me, I will bash him when he comes home again. Any time!
Emak: You should not be rude to your father. (Dalam Islam ini anak derhaka, bukan anak ‘rude.’ Anak derhaka tidak masuk syurga.)

Apabila kita perhatikan dialog-dialog di atas, ternyata bahawa itu adalah ungkapan yang biasa dalam bahasa Inggeris. Ia menyatakan dunia dan budaya Inggeris. Apabila orang Melayu juga menggunakan bahasa Inggeris, maka realiti dunianya juga berubah, menjadi dunia dan budaya Inggeris. Dengan perkataan lain, nilai dan jati dirinya sudah beruab.

Hipotesis Muatan Rohaniah

Dalam sebuah bahasa itu ada muatan rohaiahnya, iaitu nilai agama yang mendasari bahasa ini. Umpamanya, bahasa Arab, Turki, Parsi, Urdu dan Melayu, semuanya mengandungi muatan rohaniah Islam. Ini dapat dilihat daripada istilah-istilah agama yang digunakan, dan ungkapan yang mengandungi unsur Islamnya. Malah bahasa Inggeris dan bahasa-bahasa lain di Eropah tentu sekali banyak mengandungi beban rohaniah agama Judeo-Kristian. Bahasa Hindi dan Tamil mengandungi muatan nilai agama Hindu. Bahasa Cina dan Thai mengandungi muatan nilai agama Buddha. Oleh sebab itu apabila kita menerima dan menggunakan bahasa Inggeris misalnya sebagai bahasa ekspresif kita, kita juga menyerap muatan nilai agama Kristiannya. Lihat contoh dialog berikut:

Peritiwa Melawat Rom

Suami: We had a lot fun travelling through Europe before we return to Malaysia ....
Isteri: Yes, great time, we all enjoyed, remember darling (kepada suami) .... we went to Rome, so romantic!!! Ah yes ...
Suami: We went to the grand cathedral, we even went to see the Pope, the Pope blessed our children ....
Isteri: Then, we went the fountain, and the wishing well ... So we all pun buat jugalah, we all threw coins into the well, surelah we made a wish, nak balik ke Rome lagi ... We have to make a wish in English, tak kanlah nak cakap dalam BM.

Keluarga menegah Melayu ini, mengungkapkan apa yang biasa sahaja pada seorang Kristian. Pada seorang Islam, perbuatan begini sudah bersalahan pada agama. Muatan nilai agama Kristian itu tidak dirasakan salah.

Tahl;il Untuk Arwah Opah

Ayah: Tonight we are doing the prayers for Opah’s soul.
Anak: What prayer dad?
Ayah: When someone died, we can make doa for him to go to heaven. We do the tahlil.
Anak: Will Opah be in heaven?? (Semasa tahlil malam itu peristiwa seterusnya berlangsung.)
Haji: Apa nama emaknya.
Ayah: Maryam binti Ismail.
Haji: Tak begitu. Apa nama emak, nenek Encik?
Ayah: Oh!, kenapa?
Haji: Orang mati lebih baik dibintikan kepada ibunya, bukan bapanya.
Ayah: Oh!!! Salasiah.

Oleh sebab terlalu fasih dan banyak berbahasa Inggeris, si ayah dan anak tidak lagi mengetahui istilah tahlil dan kelaziman dalam membuat doa tahlil. Perkataan prayer itu tidak sama dengan tahlil.

Perkahwinan Anak Sulung

Gadis: I want a white wedding, I can wear a white dress with flowing gown, then I walk down the aisle to the bersanding … apa tu mum, bersanding dais? … is there such a thing, I need a bouquet and two flower girls …
Emak: Ok, no worry, we can have the aisle laid with carpet all the way from the pintu to the stage. That would do.
Gadis: What music to paly, we cant have the “Ave Maria …” can we? ….
Mother: No… no … but we can have the “Selawat nabi’ by the Raihan … it is beautiful you know … I think I am going to cry …..

Konsep-konsep dalam upacara perkahwinan dalam bahasa pengantin ini adalah daripada budaya Inggeris-Kristian. Ibunya pun ’going to cry’ pada majlis perkahwinan seperti orang Inggeris. Ibu Melayu tidak menangis dalam majlis perkahwinan anaknya. Apakah penutur ini menyedari yang lakuannya ini sudah menunjukkan perubahan nilai, dan perubahan jati diri.

Malah ada elit Melayu yang mengajukan “Malays should write obituary …. We should learn to practice this beautiful gesture. Write an obituary when somebody dies to show our appreciation … “ Alangkah baiknya sebagai seorang Islam kita menghadiahkan Al-Fatihah kepada roh rakan yang mti, bukan menulis obituary.

Ada banyak contoh lain, tetapi beberapa yang diterakan ini dapat menunjukkan perihal sudah berubahnya lakuan kita, dan lakuan itu berubah kerana bahasa yang kita gunakan. Yang jelas bahasa yang kita gunakan itu ada kaitannya dengan jati diri kita.

Hipotesis Mak Si Randang

Dalam budaya dan bahasa Melayu ada sebuah gurindam terkenal Gurindam Mak Si Randang. Bunyinya begini

Baik budi Mak Si Randang.
Dagang lalu ditanakkan,
suami pulag kelaparan.
Kera di hutan disusui,
anak di pangkuan diletakkan.
......
.....
Yang dikejar tidak dapat,
yang dikendong berciciran.

Gurindam Mak Si Randang ini menceritakan perihal seorang ibu yang melakukan semua yang betul untuk orang, dan yang tidak betul diri sendiri. Ini samalah dengan Dasar Bahasa Pendidikan kita yang meletakkan keutamaan pada menyampaikan pendidikan dalam bahasa Inggeris:

Supaya kita dapat menarik pelajar dari luar negara,
biar anak sendiri bodoh belajar.
Supaya modal insan yang kita bina bekerja di luar negara,
biar Malaysia kekurangan pekerja.
Supaya bahasa Inggeris digunakan,
biarlah bahasa Melayu dikebelakangkan.

Akibatnya ...
.....
....
Bahasa Inggeris yang dikejar tidak dapat,
sains dan matematik yang dikendong berciciran.

Betapa kita tidak berkata begitu? Lihatlah keputusan sebuah kajian yang dilakukan selama dua tahun (2007-2008) oleh sekumpulan pendidik di Universiti Pendidikan Sultan Idris, iaitu; Isahak Haron (seorang Profesor Emeritus), Abdul Latip Ghapor, Md. Nasir Masran, Abdul Halim Ibrahim dan Mariam Md. Noor (2008). Mereka membuat penyelidikan terhadap persepsi dan prestasi murid dalam matapelajaran sains dan matematik di sekolah rendah selepas dasar pengajaran sains dan matematik dalam bahasa Inggeris (psmi) dilaksanakan. Murid sekolah rendah yang mereka selidiki adalah seramai 1,564 orang: Melayu = 1,077 (69.5%), Cina = 240 (15.5%), India = 120 (7.7%), Orang Asli = 108 (7%), dan lain-lain = 4 (0.3%).

Dapatan penyelidikan mereka dapat disimpulkan seperti berikut:
1. Lebih 85% pelajar mengatakan bahawa guru mereka mengajar Matematik dan Sains dengan menggunakan campuran bahasa Inggeris dan bahasa Melayu. Ini dilakukan kerana guru ingin membantu muridnya yang ramai lemah dalam bahasa Inggeris itu memahami perkara yang diajarkan.
2. Dapatan Ujian Sains sampel murid Tahun 5, pada Januari 2008, menunjukkan min skor Sains keseluruhan sampel hanya 4.28 daripada maksimum 14.00. Ini menunjukkan prestasi am Sains murid-murid semua keturunan Tahun 5 amat rendah.
3. Min skor Sains murid Melayu adalah lebih rendah (4.11) daripada min skor murid Cina (7.22) dan India (4.64).
4. Seramai 83% murid Tahun 5 daripada semua keturunan (sampel tinjauan Januari 2008) mendapati 'sukar atau kadang-kadang sukar' mempelajari Sains dalam bahasa Inggeris. Hanya 17% yang menyatakan 'senang' mempelajari Sains dalam bahasa Inggeris.
5. Min skor Ujian Matematik keseluruhan sampel Januari 2008 adalah 7.89 daripada skor maksimum 20.0, menunjukkan prestasi am Matematik murid-murid Tahun 5 ini adalah rendah.
6. Min skor murid Melayu (7.66) adalah lebih rendah daripada min skor murid Cina (13.03) dan India (8.21).
7. Tinggi peratus (lebih 75%) murid Tahun 5 daripada semua keturunan (dalam kedua-dua sampel Februari 2007, dan sampel Januari 2008) yang mendapati 'sukar/kadangkadang sukar' mempelajari Matematik dan Sains dalam bahasa Inggeris. Mereka kurang faham pengajaran guru Matematik dan Sains dalam bahasa Inggeris. Lebih tinggi peratus yang sukar mempelajari Sains dalam bahasa Inggeris berbanding dengan Matematik.
8. Lebih tinggi (purata lebih 80%) murid Melayu yang 'sukar' mempelajari Matematik dan Sains dalam bahasa Inggeris, berbanding dengan murid Cina dan India.
9. Lebih 75% murid Melayu Tahun 5 menyatakan yang 'kerap dan kadang-kadang' merujuk buku Sains dan Matematik dalam bahasa Melayu, jika mereka tidak faham penerangan dalam bahasa Inggeris. Dan kira-kira 35% menyatakan yang mereka memiliki sendiri buku rujukan Matematik dan Sains dalam bahasa Melayu, sebagai buku bacaan dan rujukan tambahan.
10. Purata lebih 70% murid berlainan keturunan (dalam sampel 2007 dan 2008) rata-rata tidak dapat menjawab ujian Matematik dan Sains Tahun 4 (yang diuji semula dalam Tahun 5). Prestasi pelajar Melayu adalah lebih rendah dari pelajar Cina dan India.
11. Lebih teruk lagi adalah murid Orang Asli. Hampir kesemua mereka dalam sampel tidak dapat menjawab item-item soalan Ujian Sains; dan kurang 10% dapat menjawab ujian Matematik. Pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris tidak bermakna kepada mereka.
12. Min skor bahasa Inggeris keseluruhan sampel Januari 2008 hanya 11.97, (daripada skor maksimum 31.0) menunjukkan prestasi am bahasa Inggeris murid Tahun 5 daripada semua keturunan amat rendah.
13. Kelemahan ini lebih nyata dalam kalangan murid Melayu. Min skor murid Melayu 11.87 adalah lebih rendah daripada min skor murid Cina 21.77 dan India 16.14.
14. Rata-rata masih tinggi peratus (70%) murid Tahun 5 dalam sampel 2007 dan 2008, dan lebih tinggi (hampir 75%) murid Melayu, yang tidak dapat menjawab item-item ujian bahasa Inggeris. Penguasaan bahasa Inggeris mereka masih rendah walaupun mereka terdedah dengan dasar PSMI ini sejak 2003.
Pada kesimpulannya, yang ketara adalah, ramai murid Melayu (87.7%) yang tidak dapat menguasai bahasa Inggeris, dan oleh sebab itu tidak dapat mempelajari Sains dan Matematik yang disampaikan dalam bahasa Inggeris. Sekarang, keadaan kita adalah seperti Mak Si Randang. Kita mahu anak-anak kita ”mengejar” bahasa Inggeris, tetapi tidak dapat. Yang lebih buruk lagi, Sains dan Matematik yang dikendong, berciciran. Ini adalah sebuah dasar yang salah dan perlulah ditamatkan.
Sesat di hujung jalan, baliklah ke pangkal jalan.

Kesimpulan

Melalui definisi dan teori-teori yang saya paparkan di atas kita dapat melihat ada perubahan pada lakuan kita apabila ada perubahan pada bahasa yang kita gunakan. Ini adalah kerana bahasa kita adalah alat dan wahana pembentuk dan pemindah memori bangsa. Dan memori bangsa itu adalah himpunan nilai sesuatu bangsa. Apabila kita mengubah bahasa pendidikan kita, maka kita akan menggalakkan penjajahan minda. Minda yang terjajah itu akan terus kagum dan terkesima dengan budaya bahasa penjajahnya. Akhirnya dia juga akan mengubah lakuannya dan nilai jati dirinya. Mereka yang mengubah bahasa ekspresifnya juga akan mengubah nilai dan muatan rohaniah pada dirinya. Ini menyebabkan jati dirinya berubah. Mungkin tidak pada rupa paras, tetapi tentu sekali pada minda dan nilainya. Perubahan itu sedemikian besar sehingga kita hilang jati diri? Mungkin pada jasadnya kita masih Melayu, tetapi dari segi budaya dan rohaninya kita mungkin sudah bukan Melayu lagi.

Walau bagaimanapun, kenapa Jepun, Korea, Cina, dll., masih kekal seperti sedia kala. Mungkin tidak semuanya, ada Jepun, Korea dan Cina yang sudah menjadi bangsa Amerika, Inggeris, Australia, Perancis, dll. Tetapi memang benar, ada sebahagian besar daripada bangsa itu yang masih kekal dengan jati diri bangsa asalnya. Ini berlaku kerana bahasanya. Apabila mereka menerima pendidikan dalam bahasanya sendiri, mereka bebas daripada unsur penjajahan minda. Lazimnya mereka ini dapat menempah kemodenan, tetapi dalam bahasa sendiri. Dan mengekalkan jati diri aslinya.
Bahagian Baik Budi Mak Si Randang ini ada kaitannya dengan
hipotesis-hipotesis di atas. Lantaran minda yang terjajah dan
terkesima dengan bahasa Inggeris, maka timbullah sitausi seperti yang
dikatakan oleh Malek Bennabi. Kita mahu menggunakan bahasa Inggeris
bagi menyampaikan pendidikan. Ternyata ini adalah dasar yang salah dan
hendaklah dibetulkan. Sesat di hujung jalan, baliklah ke pangkal
jalan.

Perubahan pada dasar bahasa komunikasi rasmi dan dan bahasa penghantar
pendidikan adalah dilakukan oleh pihak pentadbiran. Tidak ada justifikasi jelas tentang kepentingannya dari segi keperluan globalisasi. Maksudnya, untuk tujuan globalisasi, penguasaan bahasa asing, termasuk bahasa Inggeris dapat diajarkan sebagai matapelajaran berasingan dengan tidak mengorbankan keberkesanan pembelajaran sains
dan matematik.

Rujukan

Asmah Hj. Omar (Editor), 2005a. Malay Images, Tanjung Malim: UPSI

Asmah Haji Omar and Morris, P. (Editors), 2005b, Religion and Identity, Tanjung Malim: Institut Peradaban Melayu.

Asmah Haji Omar. 2006. Bahasa Melayu di Samudera: Benih Yang Baik Menjadi Pulau. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka

Alisjahbana, S.T. 1974. Values as Integrating Forces in Personality, Society and Culture (1974), KL: Universiti Malaya

Barnard, T. P., (Editor). 2004. Contesting Malayness: Malay Identity Across Boundaries, Singapore: Singapore University Press

Barnard, T.P, dan Maier, M.J. 2004. “Melayu, Malay, Maleis: Jurneys through the Identity of a Collection” dalam Barnard, T. P., (Editor). 2004. Contesting Malayness: Malay Identity Across Boundaries, Singapore: Singapore University Press

Bernstein, Basil. 1971. Towards a Sciology of Education. London: Language and Education.

Bunce, P. 1993 Cocos Islands – Australian Atolls in the Indian Ocean, Milton Queensland: Jacaranda Press.

Smith, A.D. 2001. Nationalism: Theory, Ideology, History, USA: Polity Press

Gellner, E. 1983. Nations and Nationalism, USA: Cornell University Press

Halbwachs, M.1925. Les cadres sociaux de la mémoire [Kerangka sosial memori].

Hobsbawm, E.J. 1992. Nations and Nationalism Since 1780: Programme, Myth, Reality, Cambridge: Cambridge University Press
Isahak Haron et al. 2008. “Kesan Pengajaran S & M dalam bahasa Inggeris di sekolah rendah” dalam Konvensyen Pendidikan Nasional 2008, 3 & 4 Jun 2008, UPSI.
Pakir, Anne. 1994. “The Role of Language Planning in Education in Singapore” dalam Abdullah Hassan. 1991. Language Planning in Southeast Asia, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Pierre Nora, Lieux de mémoire, [Bidang-Bidang Memori], laporan projek 7 jilid, diiktiraf oleh Akademi Ilmu pada 1993.

Shahrir Mohd. Zain. 2006. “Berakhirnya Sakti Melayu” dalam Abdullah Hassan.2006. Kongres bahasa dan Persuratan Melayu I – VI (1952-2002), Kuala Lumpur: Persatuan Penterjemah Malaysia.

Shamsul A.B. 2004. “A History of an Identity, an Identity of a History: The Idea and Practice of ‘Malayness’ in Malaysia Reconsidered” dalam Barnard, T. P., (Editor). 2004. Contesting Malayness: Malay Identity Across Boundaries, Singapore: Singapore University Press

Tuesday, August 19, 2008

Kedaulatan Agama, Budaya dan Pendidikan Melayu

KONGRES PERMUAFAKATAN MELAYU
2-4 Mei 2008, PERSADA, Johor Bharu, Johor


Prof. Emeritus Dr. Abdullah Hassan
Jabatan Bahasa
Universiti Pendidikan Sultan Idris
Tanjung Malim



TUN RAZAK MEMBINA MASYARAKAT MELAYU MODEN

Tun Razak Hussein, Menteri Pendidikan pertama Malaysia ialah arkitek generasi Melayu moden. Beliau merancangkan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar pendidikan. Tujuannya ialah untuk membolehkan pendidikan disampaikan kepada semua lapisan rakyat. Orang Melayu yang dulunya tidak mendapat pendidikan kerana tidak meguasai bahasa pinjaman yang digunakan untuk menyampaikan pendidikan, sekarang sudah mampu menerima pendidikan hingga ke peringkat universiti.
Rahman Talib (1960), Hussein Onn (1971) dan Laporan Kabinet (1985) menegaskan lagi landasan yang diletakkan oleh Razak. Walaupun pelaksanaan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar tidak berjalan lancar pada peringkat awalnya, tetapi langkah-langkah yang positif bermula sejak tahun 1968. Pelaksanaan ini sempurna pada tahun 1983 apabila pendidikan melalui Bahasa Melayu dijalankan hingga ke peringkat universiti.
Di samping usahanya mendemokrasikan pendidikan, beliau juga melahirkan dan melaksanakan banyak lagi rancangan ekonomi dan sosial untuk membina generasi Melayu moden sekarang. Dengan rancangan luar bandarnya, kesihatan kampung, felda, mara, dll. dan disokong oleh pegawai-pegawainya yang komited, lahirlah generasi Melayu moden sekarang.
Jasa pemikiran Razak membina masyarakat Melayu moden dapat dilihat sekarang. Sistem pendidikan Razak mengutamakan pendemokrasian pendidikan. Ini dilakukan melalui bahasa ibunda rakyat pribumi, iaitu Bahasa Melayu. Pendidikan Bahasa Melayu inilah yang menyampaikan pendidikan kepada masyarakat Melayu. Pendidikan Bahasa Melayu itulah yang membolehkan pendidikan menengah dan universiti sampai kepada masyarakat Melayu. Kalau dulunya bahasa Inggeris menjadi penghalang, sekarang Bahasa Melayu menjadi pemangkin, wahana ilmu. Masyarakat berilmu inilah yang menggerakkan ekonomi Malaysia sehingga dikagumi oleh dunia. Fungsi bahasa ibunda dalam membangunkan orang Melayu ini bukan kebetulan. Kita dapat melihat bukti-buktinya. Generasi Melayu yang kaya dilahirkan oleh sistem pendidikan yang berjaya menyampaikan pendidikan kepada seluruh rakyat. Mereka mengekalkan keaslian minda Melayu. Minda asli yang kreatif. Mana mungkin negara dibangunkan oleh rakyat yang bodoh.
Sekarang kita boleh membina wawasan 2020. Kita berjaya kerana berjaya menyampaikan ilmu melalui bahasa ibunda kita. Sekiranya bahasa ibunda digantikan dengan sebuah bahasa pinjaman, kita akan menegakkan semula kepungan bahasa yang telah diruntuhkan oleh Tun Razak.
Ada kebijaksanaan dalam menggunakan bahasa ibunda sebagai bahasa pengantar pendidikan.


MENGAJAR ILMU MELALUI BAHASA IBUNDA LEBIH BERKESAN

Kajian telah dilakukan untuk mengetahui kesan mengajarkan ilmu melalui bahasa ibunda dan bahasa pinjaman. Dapatan-dapatan kajian itu membuktikan bahawa belajar melalui bahasa ibunda adalah lebih cepat dan berkesan. Sebuah kajian dilakukan di Ireland terhadap penggunaan bahasa Gaelik iaitu bahasa ibunda mereka untuk mengajarkan matematik kepada kanak-kanak sekolah rendah. Dapatan kajian tersebut membuktikan bahawa kanak-kanak yang diajarkan matematik melalui bahasa Gaelik itu dapat memahami pelajarannya dengan cepat dan berkesan. Pada masa yang sama kanak-kanak yang diajarkan pelajaran yang sama melalui bahasa Inggeris menunjukkan kefahaman yang rendah. Terbukti bahawa mengajarkan matematik dengan menggunakan bahasa ibunda itu adalah lebih berkesan daripada menggunakan bahasa pinjaman.
Pengalaman di negara Brunei Darussalam juga memberi bukti yang sama. Brunei mengamalkan dasar dwibahasa, dan mengubah bahasa pengantar pendidikannya daripada Bahasa Melayu kepada
bahasa Inggeris pada tahun empat pendidikan rendah. Setelah mendapat pendidikan asas melalui Bahasa Melayu, mata-mata pelajaran sains dan matematik diajarkan melalui bahasa Inggeris.
Perubahan bahasa pengantar ini telah menimbulkan beberapa kesan. Kanak-kanak menghadapi kesukaran apabila bahasa pengantar ditukar daripada Bahasa Melayu kepada bahasa Inggeris. Penggunaan bahasa Inggeris itu telah mengganggu proses pemahaman matematik. Prestasi mereka dalam peperiksaan juga menurun. Penguasaan Bahasa Melayu juga mula merosot. Seorang ahli akademik di Universiti Brunei Darussalam meminta supaya dasar itu dikaji semula. Dia juga mengajukan supaya pengajaran matematik dan sains dijalankan di dalam Bahasa Melayu semula.
Kita dapat mengambil iktibar dari pengalaman Ireland dan Brunei itu. Mengajar ilmu melalui bahasa ibunda itu adalah lebih berkesan. Bahasa Melayu hendaklah digunakan terus sebagai bahasa pengantar sains dan teknologi di semua tahap pendidikan. Bahasa pinjaman akan mengganggu proses pembelajaran. Penggunaan Bahasa Melayu di semua bidang dan tahap pendidikan akan menguntungkan pelajar Melayu, di samping tidak akan merugikan pelajar bukan Melayu.


BAHASA IBUNDA MEMAJUKAN NEGARA

Ada teori yang mengatakan kita hendaklah meminjam apa bahasa sekalipun sekiranya bahasa itu sudah maju dalam sains dan teknologi. Dengan demikian kita dapat maju bersama-sama bahasa itu. Teori ini seolah-olah dapat menjadi jawapan kepada negara-negara dunia ketiga untuk mencapai kemajuan
dengan cepat. Walau bagaimanapun, teori ini perlu dilihat dengan teliti. Ada bukti-bukti yang menunjukkan teori ini tidak benar. Teori ini telah diuji di beberapa buah negara di benua Asia, Afrika, dan Amerika Latin. Prestasi ekonomi negara-negara ini buruk. Mereka tidak dapat membangun. Sebaliknya negara-negara yang menggunakan bahasa ibunda untuk menyampaikan, pendidikan telah lama mencapai pembangunan ekonomi yang pesat. Negara-negara India, Pakistan, Bangladesh, Sri Lanka,
Filipina, Kenya, Nigeria, Ghana, Uganda adalah negara-negara yang menggunakan bahasa pinjaman untuk menyampaikan pendidikan. Ada negara-negara lain di Afrika yang meminjam bahasa Perancis
dan Portugis. Negara-negara di Amerika Latin pula meminjam bahasa Sepanyol dan Portugis. Mereka telah berpuluh-puluh tahun menguji teori ini. Tiada satu pun negara ini dapat membangunkan ekonominya. Bahkan mereka tidakpun berupaya keluar dari paras kemiskinan.


BAHASA PINJAMAN MENGEPUNG ILMU

Bahasa pinjaman mengepung ilmu. Negara-negara yang menggunakan bahasa pinjaman, memisahkan rakyat daripada ilmu. Kita boleh melihat kes yang terjadi kepada Eropah dalam Zaman Pertengahan. Para ilmuwan pada masa itu menulis dan berbincang dalam bahasa pinjaman, iaitu Latin. Hanbury Brown (1986) dalam The Wisdom of Science: Its Relevance to Culture & Religion menyatakan bahawa sains dalam kurun ke-17 telah membuat banyak penemuan dan kemajuan, tetapi tidak banyak memanfaatkan kemajuan ilmu perubatan. Misalnya sains kajihayat telah menemui bakteria dan memahami kitaran darah dalam tubuh. Tetapi ilmu perubatan tidak dapat memanfaatkannya.
Fenomena ini berlaku kerana ilmu itu terkepung. Pada Zaman Pertengahan, akibat kuasa gereja Kristian, bahasa Latin menjadi bahasa pengantar pendidikan di seluruh Eropah. Seluruh Eropah tidak dapat membangun. Ia berada di dalam kegelapan selama 2,000 tahun. Bahasa Latin mewujudkan kepungan bahasa. Ilmu terkepung dalam lapisan masyarakat ilmuwan sahaja, iaitu golongan yang menguasai bahasa Latin sahaja. Ilmu tidak dapat disebarkan kepada rakyat yang tidak memahami bahasa Latin.
Bagaimana bahasa pinjaman mengepung ilmu? Kita lihat satu contoh. Newton banyak membuat penemuan penting dalam sains, tetapi ilmu itu tidak sampai kepada rakyat. Dia mengarang Philosopiae Naturalis Principia Mathematica pada tahun 1686. Inilah dapatan yang paling besar pernah dihasilkan oleh manusia, membincangkan sifat mekanikal jirim yang banyak menjadi asas ilmu seni bina, kejuruteraan, rekacipta mekanik moden, daripada rekaan enjin kereta api wap hingga ke kapal angkasa. Selepas didebatkan dan dikagumi oleh ahli sains, buku itu tinggal ia terpendam. Terpendam dalam bahasa Latin.
Hanya setelah England menukar bahasa pengantar pendidikannya kepada bahasa ibunda rakyatnya, bahasa Inggeris, barulah buku Newton itu diterjemahakan ke dalam bahasa Inggeris. Kemudian dapatannya dimanfaatkan untuk perkembangan sains dan teknologi. Setelah negara-negara Eropah menggunakan bahasa ibunda masing-masing untuk menyampaikan ilmu barulah negara-negara Eropah membangun.
Nasib negara-negara yang menggunakan bahasa ibunda masing-masing untuk menyampaikan pendidikan berbeza sama sekali dengan negara-negara yang menggunakan bahasa pinjaman. Jepun, Korea, Cina, Taiwan, Hong Kong, Thailand, Indonesia, dan Malaysia menggunakan bahasa ibunda masing-masing untuk menyampaikan ilmu. Negara-negara ini membangun dengan pesat. Laporan Bank Dunia 1993 menyatakan inilah kawasan dunia yang ekonominya membangun dengan pantas pada masa ini.


BAHASA IBUNDA MEMENGEKALKAN KEASLIAN MINDA, BAHASA PINJAMAN AKAN MEMBINA MINDA PINGGIRAN

Apabila kita menggunakan bahasa pinjaman untuk menyampaikan pendidikan, kita akan menegakkan semula kepungan bahasa yang telah diruntuhkan oleh Tun Razak. Kita tidak akan dapat mengisi minda Melayu itu dengan ilmu yang bebas daripada budaya minda bahasa pinjaman tersebut. Bahasa pinjaman akan membina minda yang akan berkiblat kepada bahasa itu. Keaslian minda Melayunya pun mungkin hilang. Sepandai-pandai orang Melayu yang belajar melalui bahasa pinjaman itu tidak akan mampu membina minda seasli penutur kandung bahasa itu. Golongan masyarakat yang dididik melalui bahasa pinjaman akan membina minda pinggiran kepada minda masyarakat bahasa pinjaman itu. Minda pinggiran ini juga menjadi pinggiran kepada minda bangsanya sendiri. Minda demikian juga akan mencurigai minda bangsanya sendiri. Minda pinggiran ini akan kehilangan keaslian dan kreativitinya.
Kita dapat melihat bahawa negara-negara yang menggunakan bahasa ibunda sebagai bahasa pengantar pendidikan dapat mengekalkan keaslian dan kreativiti mindanya. Lihatlah negara Jepun. Jepun menerima pakai pendidikan Barat. Jepun meniru Barat tetapi Jepun masih Jepun. Dari segi budaya ia masih Jepun. Pentadbirannya, perdagangannya, sains dan teknologinya antara yang terbaik di dunia. Keaslian mindanya jelas. Orang Jepun mungkin bercelana dan berkemeja, tetapi mereka tetap Jepun. Para remajanya seperti remaja Barat juga, memakai celana jean, tetapi kenakalan remaja seperti di Barat hampir tidak ada. Inilah jatidiri Jepun. Timbul daripada keaslian mindanya. Minda asli yang dikekalkan
melalui pendidikan dalam bahasa ibundanya.
Bagaimanakah pemimpin Jepun membina generasi Jepun moden yang berminda Jepun asli? Pemimpin Jepun yang memulakan pembaruan pada Zaman Meiji, Yukichi Fuzukawa, berkata Jepun hendaklah belajar dari Barat untuk maju. Count Omare pula berkata Jepun mesti kekal Jepun untuk Jepun, dalam laporannya mengenai pendidikan dalam buku Japan by Japanese. Jepun mahu belajar dari Barat, tetapi mahu mengekalkan kebebasan belajar ilmu pengetahuan. Bebas menurut kerangka minda Jepun. Dengan demikian Jepun mengekalkan keaslian minda mereka.
Jepun telah mencuba beberapa cara untuk menyampaikan pendidikan kepada rakyatnya. Hingga 500 tahun dulu, bahasa Jepun tidak pun mempunyai kesusasteraan. Yang ada hanya lagu-lagu rakyat. Ilmu terkepung dalam bahasa Cina. Pendidikan disampaikan melalui bahasa Cina. Rakyatnya terasing dari ilmu kerana tidak memahami bahasa Cina. Untuk menyampaikan ilmu kepada rakyatnya, Meiji memilih bahasa yang paling luas digunakan. Jepun mempunyai empat peringkat bahasa: bahasa diraja, bahasa samurai, bahasa pedagang, dan bahasa petani dan wanita. Meiji memilih bahasa petani dan
wanita untuk menyampaikan ilmu, sebab bahasa itulah yang paling luas penyebarannya.
Jepun juga menghadapi masalah guru, bahasa pengantar, dan istilah. Pengalaman Jepun sama saja dengan pengalaman Malaysia sekarang. Kita boleh belajar daripada Jepun. Selepas Jepun menerima dan melaksanakan pendidikan Barat, ramai pelajar dihantar ke Eropah dan Amerika untuk belajar dan membawa balik ilmu. Oleh sebab kekurangan tenaga pengajar, pada mulanya ramai pensyarah Amerika dan Eropah diambil bertugas di universiti-universiti Jepun. Tetapi, sedikit demi sedkit mereka digantikan oleh pensyarah Jepun yang pulang dari Eropah dan Amerika tadi. Pada mulanya 80% pensyarahnya terdiri daripada ekspatriat, tetapi pada tahun 1904 bilangannya menjadi hanya sekitar 30%. Sekarang hampir tiada.
Dari segi bahasa pengantar pula, mereka menggunakan bahasa Jepun yang dituturkan oleh petani dan wanita, iaitu bahasa yang paling rendah. Sistem ejaannya pun tidak wujud. Ejaan hiragana dan katakana dibentuk, satu untuk perkataan Jepun dan satu lagi untuk perkataan pinjaman. Huruf kanji (Cina) masih dikekalkan. Apabila timbul masalah sebutan, Jepun memutuskan supaya sebutan menurut sebutan penutur bahasa petani dan wanita itu digunakan. Oleh sebab itu, tidak timbul kesukaran belajar dan menggunakan bahasa Jepun dalam bidang ilmu.
Mereka juga pernah mencuba menggunakan bahasa pinjaman sebagai bahasa pengantar. Mereka mengajarkan undang-undang dalam bahasa Perancis, kejuruteraan dan sains dalam bahasa Jerman, dan kemanusiaan dalam bahasa Inggeris. Amalan ini dihentikan kerana pendidikan tidak sampai dengan sempurna.
Pada hari ini kita dapat melihat bagaimana Jepun telah menyerap pendidikan Barat sepenuhnya, tetapi keaslian mindanya masih kekal. Kita melihat kreativitinya meningkat. Mereka menyerap ilmu barat, tetapi berhasil mencipta barangan Jepun, televisyen Jepun, kamera Jepun, kereta Jepun, jam Jepun, dll. Kita dapat melihat betapa mereka menjadi kreatif kerana tidak terkongkong dalam minda budaya lain. Minda Jepun menjadi dominan. Minda Jepun dapat menggunakan ilmu sains untuk membina barangan yang diperlukan. Misalnya, Jepun membina periuk nasi automatik. Jepun membina traktor kecil untuk sawahnya. Dan banyak lagi. Bangsa Asia lain yang memakan nasi ramai. Misalnya India, Bangladesh, Pakistan, dan Sri Lanka. Oleh sebab mereka tidak menerima pendidikan dalam bahasa ibundanya, kreativiti minda mereka tidak timbul walaupun negara-negara ini mempunyai banyak ilmuwan bijak-bijak. Barangan yang dicipta oleh Jepun itu tidak pun menggunakan ilmu dan teknologi tinggi. Tetapi mereka belajar ilmu dengan bebas, tidak mengikut kerangka minda bahasa pinjaman. Dengan itu mereka mengekalkan keaslian dan kreativiti mindanya.
Mari kita lihat sebuah contoh yang berlaku di dalam negara kita. Ramly Mokni berjaya membina perusahaan burgernya sehingga menjadi perusahaan burger yang terbesar dalam negara pada hari ni. Perusahaannya menjadi maju kerana dia menjual burgernya melalui sistem gerainya. Sekiranya Ramly terdidik dalam bahasa Inggeris daripada sebuah universiti Inggeris, dia tidak akan pernah terfikir tentang gerai. Dia akan cuba meneruskan budaya Macdonald, KFC, A&W, dll. Keaslian minda dan kreativiti Ramly kekal asli. Oleh sebab itu dia menjual burgernya seperti menjual nasi lemak. Di situlah keaslian kreativiti minda Melayunya. Itulah yang membawa kejayaannya.
Thailand juga menyampaikan pendidkannya dalam bahasa ibunda, dan minda orang Thai kekal asli dan kreatif. Begitu juga Indonesia, Korea, Cina, Taiwan, Hong Kong dan Malaysia. Malah seluruh pinggir Pasifik Asia adalah kawasan yang giat membangun ekonominya. Inilah juga kawasan yang menggunakan bahasa ibunda dalam pendidikan. Negara-negara yang menggunakan bahasa pinjaman untuk menyampaikan pendidikan tidak dapat menyaingi kepesatan ekonomi bangsa-bangsa yang mindanya asli.
Sekiranya kita menggunakan bahasa pinjaman kita akan kehilangan keaslian minda kita. Kita akan melahirkan minda pinggiran yang tidak akan menandingi minda penutur kandung bahasa itu. Kita akan hanya membina budaya pinggiran, pinggiran kepada budaya bahasa pinjaman. Dia juga tidak akan menjadi dominan dalam minda bangsanya. Dia akan mencurigai bahasa dan budayanya sendiri.
Hubungan antara pendidikan yang disampaikan melalui bahasa ibunda dengan kejayaan ekonomi adalah suatu bukti yang nyata. Ia adalah hubungan sebab akibat.


BAHASA PINJAMAN UNTUK MENGIMPORT ILMU

Dalam mengekalkan keaslian minda kita mesti juga terbuka kepada ilmu dari luar. Di sinilah terletaknya kepentingan bahasa asing untuk mengimport ilmu dan teknologi. Ilmu boleh diimport melalui apa bahasa sekalipun, tetapi ilmu dan teknologi yang diimport itu hendaklah disebarkan kepada rakyat melalui bahasa ibunda kita, Bahasa Melayu. Inilah yang berjaya dilakukan oleh Jepun, Korea, Cina, Thailand, Indonesia, termasuklah Malaysia. Filipina, India, Ghana, Nigeria, banyak mempunyai ilmuwan yang mampu mengimport ilmu melalui bahasa pinjaman. Begitu juga dengan negara-negara Amerika Latin. Tetapi, ilmu itu terkepung dalam bahasa pinjaman dan ilmuwan itu saja. Ilmu tidak dapat disampaikan kepada rakyat umum. Kita dapat melihat negara ini tidak dapat membangun walaupun ada ramai ilmuwan yang bijak di negara-negara ini. Bahasa pinjaman yang mereka gunakan tidak difahami oleh rakyat.
Kita perlu menguasai sebanyak mungkin bahasa asing untuk tujuan berkomunikasi dan mengimport ilmu. Telah dikatakan bahawa bahasa pinjaman akan mengepung ilmu. Ini bermakna kita hendaklah menjalankan langkah-langkah untuk mengimport ilmu itu ke dalam bahasa Melayu demi mengisi minda Melayu dengan ilmu. Dua langkah dapat dilakukan. Pertama, para ilmuwan menterjemah atau mengadaptasi ilmu yang terkandung dalam bahasa-bahasa lain. Kedua para ilmuwan menuliskan ilmu yang mereka cipta di dalam buku. Ini bermakna kita perlu serius meningkatkan industri perbukuan, sama ada dalam bentuk buku tradisional atau elektronik. Langkah-langkah untuk mewujudkan prsarana industri perbukuan, iaitu: kemahiran mengarang, menyunting, membuat grafik, membuat filem, mencetak dan menjilid hendaklah dijalankan. Agensi-agensi berkenaan dalam jentera kerajaan hendaklah menjayakan tugas ini.


MEMBINA MINDA ASLI YANG DOMINAN

Kita mahu mengekalkan minda Melayu yang asli. Minda yang asli akan sekali gusamenjadi kreatif dalam kerangka budaya Melayu. Ia mesti menjadi minda yang mencipta. Ia mesti memimpin. Ia mesti menentukan arah untuk bangsa dan negaranya. Bangsa Melayu tinggal di wilayah Asia Pasifik yang aktif membangun dari segi ekonomi. Ada bangsa-bangsa lain yang dominan di wilayah ini. Bangsa Melayu perlu menentukan kedudukannya dalam peta politik dan ekonomi Asia Pasifik. Minda Melayu perlu menentukan nasibnya sendiri di atas syarat-syaratnya sendiri. Kita memerlukan minda Melayu yang asli dan kreatif.
Keaslian dan kreativiti minda Melayu demikian hanya dapat dikekalkan dan dibina melalui pendidikan melalui bahasa ibunda orang Melayu, iaitu Bahasa Melayu.


Bahasa Ibunda Pinjaman
Di kalangan masyarakat Melayu hari ini jumlah keluarga Melayu yang mengambil bahasa Inggeris menjadi bahasa ibunda bagi anak-anak mereka semakin hari semakin ramai. Fenomena yang serupa juga berlaku dalam masyarakat Cina dan India. Kedua-dua suami dan isteri di dalam keluarga-keluarga ini menguasai bahasa Inggeris dan perkataan pertama yang mereka ajarkan kepada anak-anak mereka adalah perkataan-perkataan Inggeris. Di dalam keluarga-keluarga ini bahasa Inggeris adalah bahasa ibunda kepada anak-anak mereka meskipun bahasa itu pada asalnya ialah bahasa pinjaman. Oleh yang demikian, kepada anak-anak keluarga Melayu seperti ini bahasa ekspresif mereka adalah bahasa Inggeris.
Bahasa Ekspresif
Bahasa ekspresif ialah bahasa yang digunakan oleh penggunanya untuk menyatakan pemikiran, idea-idea, emosi dan nilai-nilai. Fungsi ekspresif itu tercapai melalui pencapaian darjah penguasaan dan kefasihan yang sangat tinggi. Untuk mengetahui apakah bahasa ekspresif seseorang, ada beberapa petanda seperti apakah bahasa yang digunakan apabila seseorang itu terperanjat; apakah bahasa yang digunakan semasa dia marah-marah, mencarut dan memaki; apakah bahasa dalam mimpinya dan apakah bahasa doanya dalam saat-saat ia mengalami kesedihan dan kecemasan. Apabila
di dalam keadaan-keadaan seperti itu dia menggunakan bahasa Inggeris, maka bahasa itu ialah bahasa ekspresifnya.
Bahasa Inggeris dan Benak Melayu
Tempat bahasa Melayu sepatutnya ialah benak Melayu. Apabila elit Melayu membuang bahasa Melayu sebagai bahasa ibunda bagi anak-anak mereka, dan menggantikannya dengan bahasa Ingeris, maka bahasa Inggerislah yang duduk di benak anak-anak Melayu itu.
Apabila elit Melayu menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa benak mereka, maka berdasarkan hipotesis Sapir-Whorf, mereka akan memahami alam ini dengan acuan Inggeris, dan bukan dengan acuan Melayu lagi. Berdasarkan hipotesis Malik Bennabi, anak-anak itu akan mewarisi idea-idea induk yang terkandung di dalam bahasa Inggeris, bukan idea-idea induk yang terkandung di dalam bahasa Melayu lagi. Oleh kerana bahasa Melayu telah menyerap idea-idea induk Islam, dan oleh kerana bahasa Inggeris belum menyerap idea-idea induk Islam, maka pengambilan bahasa Inggeris menjadi bahasa ibunda membawa implikasi yang serius. Sebagai contoh, gejala anak-anak yang "menjawab" ibu bapa bukanlah suatu hal yang tidak ada kaitannya dengan bahasa ekspresif. Konsep-konsep seperti "derhaka" dan "syurga itu di bawah tapak kaki ibu" hanya terkandung dalam bahasa-bahasa yang sudah menyerap idea-idea induk dalam Islam, seperti Bahasa Melayu. Penggunaan bahasa Inggeris tidak memberi peluang kepada kemasukan konsep-konsep itu ke dalam benak individu-individu yang telah membuang bahasa Melayu sebagai bahasa ibundanya. Nilai-nilai yang terkandung di dalam sastera Melayu seperti dalam cerita-serita Si Tanggang, Malim Kundang, Batu Belah Batu Bertangkup, Siti Zubaidah juga tidak ada kesempatan untuk masuk ke benak mereka. Tempatnya akan diganti oleh cerita-cerita seperti Little Red Riding Hood, Cinderella, Pinochio, Snow White, Rapunzel, Goldilock dan lain-lain. Hero mereka bukan Hang Tuah dan rakan-rakannya tetapi Robin Hood dan King Arthur And The Knights Of The Round Table.
Nasib Kaum Melayu Diaspora
Imigran yang sudah mula berpadu dengan rakyat peribumi akan bersatu semula dengan imigran baru yang dominan. Ralph Fasold dalam “The Sociolinguistics of Society,” mendapati imigran Itali di New York mengekalkan keitaliannya melalui pembauran dengan imigran baru yang lebih ramai. Imigran Chicano di Texas juga begitu. Imigran yang mula menjadi orang Amerika kembali menjadi orang Itali, Chicano, dan Yunani apabila berbaur semula dengan baru. Cina Baba di Melaka dan Pulau Pinang menjadi Cina semula dan kerana dominasi budaya Cina. Apabila kita mengimpot filem dan guru Cina dari Cina kita sengaja memberi pembaruan kepada identiti Cina yang sudah menjadi rakyat Malaysia.
Bagi masyarakat Melayu diaspora, yang lama sudah membuana, nasib mereka akan menjadi sama. Proses alamiah akan berlaku dan menentukan, melainkan ada langkah-langkah yang akan menebalkan kembali keMelayuannya.



ISU BAHASA YANG DIHADAPI

1. Kaya Ilmu Dan Papa Ilmu

Universiti Telekom, menjadi bukti nyata yang pertama apa yang akan berlaku apabila bahasa Inggeris dijadikan bahasa pengantar di IPTS. Hanya 30% pelajar Melayu masuk ke Unitel, dan 70% bukan Melayu. Ini hanya puncak iceberg. Keadaan tidak akan bertambah baik sebab bahasa Inggeris tidak akan dipelajari oleh penduduk luar bandar dan miskin, yang majoritinya Melayu. Ini akan menghasilkan masyarakat kaya ilmu dan papa ilmu. Trevor Haywood dalam “Info-Rich Info-Poor melaporkan kesan negatif apabila masyarakat terbahagi dua kepada yang kaya ilmu dan papa ilmu.

Dasar pendidikan Razak, menggunakan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar pendidikan, berjaya memberi peluang kepada rakyat dari setiap kelas ekonomi dan rantau geografi. Di samping membahagi dua masyarakat kepada yang kaya ilmu dan papa ilmu, isu bahasa pengantar ini menjadi punca pula kepada banyak isu lain.


2. Sekolah Bestari

Sekolah bestari akan hanya menguntungkan segelintir. Walaupun rancangannya untuk semua, tetapi tidak nampak bagaimana Kementerian dapat membiayai kprojek ini untuk semua. Pengalaman Jepun, dilaporkan oleh Tatsuno, Sheridan dalam “Created In Japan: From Imitators to World-Class Innovators,” membuktikan pendidikan untuk semua membatu melahirkan ramai pencipta yang mengayakan negara, bukan dengan memberi tumpuan kepada beberapa orang yang menunjukkan potensi.

3. Era Maklumat dan Era Kreasi

Era Maklumat dijangka berakhir pada awal kurun ke 21. Kita sibut dengan era maklumat. MSC hanya membawa masuk maklumat. Ini boleh dibuat oleh mana-mana negara pun. Apabila siapa sahaja boleh mendapat maklumat, maka maklumat tidak strategik lagi tarafnya. Yang mengayakan negara bukan maklumat, tetapi apa yang kita boleh cipta dan jual daripada maklumat itu. Kita perlu membina daya kreativiti untuk mencipta produk yang boleh dijual.

Murakami T., & Nishikawa T., dalam “Strategy For Creation”, melaporkan tindakan Jepun untuk menghadapi abad ke 21. Mereka menyatakan tidak ada apa lagi yang dapat ditiru daripada Barat, dan mereka mahu mencipta supaya Barat pula meniru daripada mereka. Mereka merumuskan, yang penting ialah membina daya kreativiti untuk mencipta kreasi. Kreativiti akan dapat dibina melalui minda asli (Jepun, Korea, Taiwan, Thailand, Indonesia). Peminjam bahasa asing menyebabkan minda tertawan, dan kreativiti tidak tinggi (Filipina, India, Ghana, Kenya, dll.)


4. Benak Melayu dan Nilai Induk Bahasa Asing

Nilai kemelayuan semakin terhakis. Proses ini dijelaskan oleh Malik Bennabi dalam “The Problem of Ideas in the Muslim World.” Beliau mengatakan bahasa pengantar mengubah nilai. Yang terdidik melalui bahasa asing akan tidak mengenali nilai-nilai bangsanya sendiri, lalu menyerap nilai bahasa yang menjadi bahasa pengantarnya.

Apabila nilai dan budaya bahasa Inggeris masuk ke benak Melayu, nilai Melayu Islam akan digantikan oleh nilai bahasa Inggeris Kristian. Dia akan membenci dan menolak apa-apa Melayu.


5. Pembentukan Nilai Politik

Sekolah dan Universiti berperanan dalam membentuk nilai politik. Lane & Sears dalam “Public Opinion,” melaporkan bahawa komitmen politik seseorang bermula dari suasana keluarga. Kemudian diperkukuh di sekolah rendah. Tetapi, berubah apabila di sekolah menengah dan universiti. Kanak-kanak Amerika berubah nilai politik semasa di universiti (berubah dari Republikan kepada Demokrat atau sebaliknya) apabila dipengaruhi oleh rakan dan pengetahuan di universiti. Pendidikan kebangsaan sehingga kini menampakkan bibit-bibit penerimaan politik UNMO. Bukan Melayu menjadi lembut dan menerima UMNO.

Amalan membenarkan sekolah dan univesiti berbahasa Inggeris & Cina, merupakan bom jangka. Ia akan memisahkan rakyat. Mereka akan terpisah daripada sistem pendidikan yang boleh membentuk nilai politik yang menerima UMNO.


6. Penolakan Budaya Melayu

Masyarakat Malaysia yang berbilang kaum sudah mula menampakkan bibit-bibit perpaduan di bawah sistem pendidikan Razak. Kefasihan berbahasa, pakaian, makanan dll adalah buktinya. Mereka semakin lembut dan menerima orang, dan budaya Melayu. Sekarang sudah mula berpecah, mahu budaya sendiri, semakin biadap terhadap apa-apa Melayu.

Dialog Reformasi Seni Kebangsaan diadakan oleh Berita Harian dan MALEP, pada 15 Julai 1997, membongkar beberapa peristiwa keangkuhan korporat Cina yang menolak artis dan budaya Melayu.

Pertambahan saluran TV (7 buah) dan radio menenggelamkan siaran Melayu. TV didominasi oleh siaran Cina dan Inggeris, dan radio oleh Inggeris. Saluran yang berlainan bahasa juga menyerpihkan rakyat.


7. Imigran Kembali Kepada Identiti Asal

Imigran yang sudah mula berpadu dengan rakyat peribumi akan bersatu semula dengan imigran baru yang dominan. Ralph Fasold dalam “The Sociolinguistics of Society,” mendapati imigran Itali di New York mengekalkan keitaliannya melalui pembauran dengan imigran baru yang lebih ramai. Imigran Chicano di Texas juga begitu. Imigran yang mula menjadi orang Amerika kembali menjadi orang Itali, Chicano, dan Yunani apabila berbaur semula dengan baru. Cina Baba di Melaka dan Pulau Pinang menjadi Cina semula dan kerana dominasi budaya Cina. Apabila kita mengimpot filem dan guru Cina dari Cina kita sengaja memberi pembaruan kepada identiti Cina yang sudah menjadi rakyat Malaysia.

Emery & Emery dalam “The Press in America” dan Dowing, Mohammadi, & Mohammadi, dalam “Questioning the Media” membincangkan banyak kesan “penindasan” media ke atas politik dan budaya setempat. Proses ini samalah dengan apa yang kita rasakan dengan pengaruh filem, guru, akhbar, majalah dll. dari Indonesia. Cina adalah pengaruh besar. Jangan main-main dengan isu membawa guru dari Cina, mengiktiraf ijazah Cina dan menghantar pelajar ke Cina. Kecil-kecil jadi kawan, sudah besar jadi lawan.


8. Penyerpihan Rakyat

Saluran televisyen dan radio yang banyak, menggalakkan wujudnya rancangan televisyen dan radio yang berlainan untuk Cina, Inggeris dan India. Joseph Domonick dalam “The Dynamics of Mass Communication,” melaporkan saluran televisyen dan radio yang banyak di Amerika menyebabkan rakyat memilih satu atau dua sahaja menurut kegemaran mereka. Akibatnya rakyat terpisah-pisah menurut rancangan televisyen yang mereka tontoni. Dengan menebalkan kembali ciri kecinaan, keinggerisan, dan keindiaan masyarakat tertentu, rakyat akan semakin terpisah oleh bahasa, budaya, nilai dan pegangan politiknya.








Apa Perlunya Mempertahan Bahasa Melayu Sebagai Asas Dasar Kebudayaan Kebangsaan

1. Pengenalan

Selama ini, apabila isu kebudayaan kebangsaan dibincangkan, ia dilakukan oleh para sasterawan dan persuratan, khusunya budayawan Melayu. Justeru, bagi melihat perbincangan terdahulu mengenai topik ini, kita ikutilah perbincangan ahli sasterawan dan persuratan, iaitu para cendekiawan Melayu. Walaupun kita jelas dalam membina dasar dan mengatur strategi bagi membangunkan ekonomi, pendidikan, pertanian, kesihatan, dll. tetapi kita tidak sebegitu konkrit apabila membina dasar untuk kebudayaan kebangsaan. Sekalipun dasar dapat diungkapkan tetapi pelaksanaannya masih jauh daripada memuaskan. Malah dasar dan stategi kebudayaan kebangsaan adalah uasaha yang tidak kunjung selesai (Taib Osman, 1988). Ia adalah pelaburan jangka panjang sesebuah bangsa. Kita lihat secara ringkas perkembangan Dasar Kebudayaan Kebangsaan kita.

a. Perlembagaan Malaysia
Perlembaan Malaysia menjamin hak asasi setiap kaum. Artikel 3 melindungi kebebasan semua kaum beragama, walaupun agama Islam adalah agama rasmi negara. Artikle 152 menjamin hak setiap kaum menggunakan bahasanya sendiri walaupun bahasa Melayu adalah Bahasa Kebangsaan dan Bahasa Rasmi negara. Ini adalah dua unsur penting dalam kebudayaan yang sering diungkit oleh kaum lain dalam menolak Dasar Kebudayaan Kebangsaan.

b. Malayan Writers’ Conference 16-18 Mac 1962
Seawal 1962 lagi, isu kebudayaan kebangsaan dan sastera kebangsaan dibincangkan oleh para sasterawan dan cendekiawan dalam Malayan Writers’ Conference (Persidangan Penulis Malaya dan Singapura) ditaja oleh Dewan Bahasa dan Kebudayaan Singapura, dan diadakan di Singapura pada 16-18 Mac 1962. Prosiding persidangan itu diterbitkan dalam bahasa Inggeris oleh badan yang sama. Berikut diturunkan beberapa catatan utama. Menteri Kebudayaan Singapura, Rajaratnam berkata “A truly Malayan literature will emerge when writers express themselves through a language that is spoken and understood by all the communities. A common medium of expression will automatically create a Malayan literature .... It is only when the non-Malays begin to write in the national language, will Malay cease to be a medium for communal literature and become the vehicle for a Malayan literature.” Ini disuarakan dengan lantang oleh kelompok penulis dalam bahasa Melayu. Bagaimanapun, kelompok bahasa Inggeris mengatakan sasatera Malaya (1) ditulis oleh orang-orang yang lahir dan dibesarkan di Malaya menulis mengenai topik-topik Malaya dengan tidak mengira apa bahasa yang digunakan; (2) yang ditulis dalam bahasa kebangsaan, dan (3) yang ditulis oleh sesiapa sahaja mengenai Malaya. Kelompok bahasa Cina dan Tamil mengelak daripada membincang dan membuat kesimpulan mengenai bentuk sastera Malaya.

Situasi begini berterusan di Malaysia sehinggalah 1971. Ketiadaan dasar bagi menentukan objektif kebudayaan negara menyebabkan aspek ini diabaikan. Tiada langkah-langkah konkrit diambil bagi mewujudkan Dasar Kebudayaan Kebangsaan. Iklim positif dan neutral yang dizahirkan oleh Persidangan Penulis Malaya di Singapura pada tahun 1962 itu tidak dimanfaatkan. Perkembangan kebudayaan kebangsaan itu tidak mendapat perhatian sehingga selepas Mei 69.

c. Pindaan Perlembagaan 23 Februari 1971
Perdana Menteri Malaysia, Y.A.B. Tun Abdul Razak Hussein membuat ucapan penting menyangkut isu bahasa kebangsaan dan kebudayaan kebangsaan. Tindakan positif diperlukan bagi memperbaik keadaan selepas 13 Mei 1969. Beliau membuat beberapa penegasan yang sudah mula dilupakan pada masa itu, khususnya “kontrak sosial” di antara kaum bagi mencapai kemerdekaan. Beliau menyatakan “kontrak sosial” yang dibuat, “It is hardly necessary for me in this House to expound upon the careful and balanced character of the Constitution which was so painstakingly negotiated and agreed upon by the major races in Malaysia before we attained independence. .... The basic provision relating to the acquisition of citizenship represented a fair and balanced compromise. The same careful and balanced approach runs through the other provisions of the Constitution protecting the legitimate rights of all races in Malaysia. ... The provision of Bahasa Malaysia as the sole official and National Language is balanced by the guarantee for the use of the languages of other races other than for official purposes.” ... “Pengertian perkataan “tujuan-tujuan rasmi” atau “official purposes” dalam Artikel itu ... bermakna .. sebarang tujuan Kerajaan, sama ada Kerajaan Persekutuan atau Negeri, termasuklah mana-mana tujuan untuk pihak berkuasa awam.”

d. Kongres Kebudayaan Kebangsaan 16-20 Ogos 1971
Kongres ini dibuka oleh Y.A.B. Tun Abdul Razak Hussein, Perdana Menteri Malaysia, berlangsung di Universiti Malaya. Selama empat hari, sebanyak 52 kertas kerja dibentang dan dibincang. Kongres telah menetapkan tiga unsur penting menjadi Dasar Kebudayaan Kebangsaan, iaitu:

1. Kebudayaan Kebangsaan Malaysia haruslah berasaskan kebudayaan asli rakyat rantau ini.
2. Unsur-unsur kebudayaan lain yang sesuai dan wajar boleh diterima menjadi unsur kebudayaan kebangsaan.
3. Islam menjadi unsur yang penting dalam pembentukan kebudayaan kebangsaan itu.

Dasar Kebudayaan Kebangsaan adalah perlu bagi negara Malaysia yang sedang membangun dan mempunyai penduduk berbilang kaum, bahasa, budaya dan agama. Dasar ini dapat menjadi garis panduan membentuk satu bangsa yang bersatu serta mempunyai identiti negara. Kebudayaan yang dipupuk dapat mencirikan keperibadian kebangsaan Malaysia.

e. Joint Memorandum on National Culture Submitted to the Ministry of Culture, Youth and Sports by the Major Chinese Organisations in Malaysia, 1983.
Lima belas buah organisasi China menghantar memorandum kepada Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan pada 27 Mac 1983. Badan-badan itu ialah: The Selangor Chinese Assembly Hall, Penang Chinese Town Hall, The Perak Chinese Association, The Federation of Chinese Association (Johor), Terengganu Chinese Assembly Hall, Kelantan Chinese Assembly Hall, Negeri Sembelin Chinese Assembly Hall, The Federation of Chinese Associations (Sarawak), United Chinese School Committees, Association of Malaysia, United Chinese School Teachers’ Association of Malaysia, Pahang Chinese Chamber of Commerce, Malacca Chinese Chamber of Commerce, Kedah Chinese Chamber of Commerce, Perlis Chinese Chamber of Commerce, dan Sabah United Chinese Chamber of Commerce. Dalam dokumen setebal 321 halaman ini, ketiga-tiga asas Dasar Kebudayaan Kebangsaan ditentang sepenuhnya. Dokumen ini terlalu panjang bagi dibicarakan. Hanya butir penting diturunkan. Mereka berkata, “we oppose the present policies on national culture, language and education, and the the three principles used .. to mould the national culture.” Mereka menentang kerana:

1. Proses membentuk asas kebudayaan kebangsaan daripada satu kaum sahaja melanggar hak kaum lain,
2. Apabila kepentingan Islam ditekankan maka peranan budaya dan agama lain dinafikan,
3. Menunjukkan dasar yang tertutup berpusat kepada Melayu sahaja dan tidak liberal,
4. Menafikan sistem nilai yang bertindih antara budaya,
5. Bercanggah dengan hakikat Rukunegara yang menghormati kebudayaan semua kaum,
6. Memaksa melalui sistem pentadbiran dan ini tidak dapat diterima oleh bukan Melayu,
7. Membahagikan kebudayaan kepada kaum sebagai peribumi, pendatang dll akan menjadi punca diskriminasi,
8. Sesetengah chauvisnist Melayu berfikir bahawa semua kaum hanya boleh diintegrasi melalui satu bahasa dan satu budaya sahaja. dll.

Bagi mereka kebudayaan kebangsaan dapat dibangunkan melalui:

1. Usur seni daripada kebudayaan semua kaum menjadi asas kebudayaan kebangsaan,
2. Panduan membebina suatu peranggu nilai kebudayaan yang sama ialah sains, demokrasi, pemerintahan undang-undang dan patriotisme,
3. Nilai kebudayaan bersama itu diungkapkan menurut kerangka pelbagai kaum,
4. Proses membina kebudayaan kebangsaan mestilah mematuhi prinsip kesamaan bagi semua kumpulan etnik, dan melalui perundingan yang demokratis. dll.

Justeru, mereka berkata, kami menuntut supaya:

1. Kerajaan menghormati hak setiap kaum, kebudayaan, agama, dan bahasa yang dimaktubkan dalam Perlembagaan,
2. Kerajaan memansuhkan semua undang-undang yang tidak menyokong pertumbuhan mana-mana budaya, bahasa dan pendidikan kaum tertentu,
3. Kerajaan membantu sekolah China dan juga Jabatan Pengajian China di universiti,
4. Kerajaan adil dalam menjalankan aktiviti kebudayaan dan tidak memihak kepada mana-mana kelompok,
5. Kerajaan tidak melebihkan mempromosi kebudayaan Melayu sebagai kebudayaan kebangsaan sehingga boleh memangsai kebudayaan lain,
6. Hari Ini dalam Sejarah mesti juga memuatkan tokoh bukan Melayu,
7. Ciri pelbagai kaum mesti ditunjukkan dalam membentuk citra kebangsaan,
8. Nama bangunan dan tempat juga juga mesti pelbagai kaum,
9. Kerajaan juga hendaklah mempromosi interaksi kebudayaan pelbagai kaum, dll.

f. Memorandum on National Culture Submitted by the 10 Major Indian Associations of Malaysia to the Ministry of Culture, Youth and Sports, April 1984.
Sepuluh persatuan India juga membantah. Mereka ialah: Pergabungan Tamil Malaysia, Persatuan Dravidian Malaysia, Majlis Kelab Bell Belia Tamil, Majlis Belia Hindu Malaysia, Persatuan Penulis-Penulis Tamil Malaysia, Kesatuan Kebangsaan Sekolah Tamil Malaysia, Malaysia Hindu Sanga, Persatuan Kesenian Tamil Malaysia, Persatuan Kesusasteraan Tamil, dan Persatuan Artis-Artis Tamil Malaysia. Memorandum kaum India menolak asas kebudayaan kebangsaan kerana:

1. Malay-Islamic culture approach to the ‘formation’ of National Culture cannot be accepted by us,
2. The attempt to define National Culture on the basis of proceedings of the National Culture Congress of 1971 completely negates the historical understanding on culture reached by the different communities,
3. National Culture must be defined in terms of a set of common values, norms and beliefs found in cultures of the various communities in Malaysia, combined with positive elements from other cultures. It cannot be equated solely with Malay or Islamic culture,
4. Neither can Malay culture form the basis of national Culture,

g. Suqiu (Jawatankuasa Menuntut) 1999
Gabungan Persatuan Cina yang menuntut masih terus menuntut dengan secara teratur. Apabila sahaja iklim politik kelihatan memihak kepada mereka, iaitu semasa Melayu nampaknya berpecah, maka mereka akan membuat tuntutan demi tuntutan. Suqiu membuat 89 tuntutan, yang melibatkan bahasa, kebudayaan, agama, dan lain-lain. Kebanyakannya yang telah tersenarai dalam Joint Memorandum on National Culture Submitted to the Ministry of Culture, Youth and Sports by the Major Chinese Organisations in Malaysia, 1983. Cuma tuntutan pada kali ini diiringi dengan ugutan menarik balik sokongan politik dan menyokong parti pembangkang. Y.A.B Dr. Mahathir Mohamad, menolak dengan menyatakan yang semuanya bercanggah dengan “kontrak sosial” yang menjadi landasan yang membolehkan Perlembagaan Malaysia dibentuk.

2. Apalah ada pada Bahasa?

Bahasa Melayu adalah satu daripada tiga unsur yang dijadikan asas Dasar Kebudayaan Negara. Apalah ada pada bahasa? Banyak. Dan bahasa itu adalah paling menentukan keperibadian bangsa.

a. Tuntutan Bukan Melayu
Dengan tentangan dan tuntutan yang tidak putus-putus daripada kaum-kaum lain sebagai rakyat Malaysia, isu Dasar Kebudayaan Kebangsaan ini bukan hanya sekadar dapatkah bahasa Melayu, dan kebudayaan Melayu Islam menjadi asas Dasar Kebudayaan Kebangsaan. Isu ini lebih besar daripada sekadar agama, bahasa, dan bangsa yang dicabar. Apa yang jelas ialah, masyarakat Melayu mesti sepakat dan menerima hakikat yang kita perlu bergerak dan meneruskan kelangsungan Melayu dalam satu sistem yang adaptif supaya dapat berinteraksi dengan persekitarannya bagi mempastikan survival kita. Dalam penyesuaian ini bukan tiada sempadannya, oleh itu kita perlu sentiasa mengingati “kontrak sosial” yang menjadi asas Perlembagaan kita.

b. Bahaya dari Pemikir Melayu Liberal
Yang lebih membahayakan kita ialah keliberalan berfikir yang menerima demokrasi itu sebagai kebebasan tanpa sempadan, hatta mengingkari ‘kontrak sosial’ yang menjadi asas pembentukan Perlembagaan yang kita jadikan kerangka membina Malaysia. Musnahkan ‘kontrak sosial’ ini, musnahlah Perlembagaan, dan musnahlah Malaysia. Oleh sebab fitrah manusia begitu, mudah percaya pada apa yang ada daya tarikan intelektual. Atas asas berfikir secara intelektual sejagat, sudah ada pula Melayu yang mula termakan dengan tunutan-tuntutan ini. Nampaknya memang tiada apa salahnya kita berkata “menerima sastera dalam bahasa lain sebagai sebahagian daripada Sastera Malaysia.” Apabila diwarwarkan pula melalui media awam, apa yang kita ungkapkan sebagai “main-main” pun akan menjadi sumber kebenaran dan kekuatan bagi yang mencari alasan lagi bagi membuat tuntutan bagi memusnahkan ‘kontrak sosial’ bersama. Hubaya-hubaya agar kita tidak menjadi alat yang memusnahkan hasrat bangsa sendiri.

c. Himpunan Memori Bangsa
Bahasa Melayu yang kita gunakan sama ada sebagai bahasa harian mahupun sebagai bahasa pendidikan, adalah wahana bagi membina ‘himpunan memori’ kita sebagai orang Melayu Malaysia. Himpunan memori itu ialah himpunan seluruh konsep-konsep, nilai-nilai, norma-norma, nama-nama, proses-proses, pengalaman-pengalaman, yang membentuk jati diri kita sebagai satu bangsa. Apabila kita menggunakan sebuah bahasa lain sebagai bahasa kita, maka himpunan memori kita juga akan berubah. Kita tidak lagi akan menjadi orang Melayu Malaysia.

Apabila kita menggunakan sebuah bahasa lain, konsep yang kita cetuskan menjadi berlainan, walaupun bagi benda yang sama. Sebagai contoh, dalam bahasa Bhutan, komputer ialah “logrig” yang membawa makna “mesin yang dikendalikan oleh tenaga elektrik.” Dalam sebuah bahasa Afrika Timur komputer ialah “mobusha” iaitu “mesin yang tidak membuat salah.”

Malah behavior kita juga boleh diubah kerana bahasa yang digunakan. Contoh yang sering berlaku di kalangan masyarakat kelas menengah Melayu yang saya kaji mendapati fenomena ini berleluasa. Kelas menengah Melayu sering menggunakan bahasa Inggeris di rumah mendapati anak-anak mereka sering mencabar mereka, iaitu menjadi derhaka, dalam bahasa Inggeris. Ungkapan seperti “What kind of father are you?” “I will report you to the authority for child abuse,” “Mother! who ask you to enter my room, dont you know how to knock?” Yang paling menyayat saya dapati dalam himpunan pemerhatian saya ialah “I hope you will burn in hell!” yang dikeluarkan oleh seorang anak lelaki kepada bapanya. Ungkapan begini tidak zahir dalam bahasa Melayu. Ada anak melawan dalam golongan rendah masyarakat, tetapi tidak dengan ungkapan “Apa jenis bapa kamu ini?” atau “Engkau pergi mampus dalam neraka jahanam!” Isteri yang dwibahasa juga apabila mahu melawan suami berucap dalam bahasa Inggeris, tidak Melayu.

Dalam sebuah contoh lain, seorang eksekutif Melayu mengadakan doa tahlil untuk arwah ibunya. Apabila ditanya oleh Tuan Imam, apa nama ibu, beliau menjawab “Zubaidah.” Binti apa? “Othman” katanya!! Bukan, nama ibu kata Tuan Imam. Sahihlah, oleh sebab sentiasa sibuk dan bercakap pun sentiasa dalam bahasa Inggeris sahaja, maka memori tahlil tidak tercipta dalam benaknya. Beliau pun belum pernah mengadakan doa tahlil, maka memori itu tidak masuk ke dalam benaknya. Bagi yang ada memori itu, kita tahu untuk tahlil sesiapa pun dibintikan kepada ibunya.
Apabila golongan menengah Melayu membuang bahasa Melayu sebagai bahasa ibunda bagi anak-anak mereka, dan menggantikannya dengan bahasa Ingeris, maka bahasa Inggerislah yang duduk di benak anak-anak Melayu itu. Apabila elit Melayu menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa benak mereka, maka berdasarkan hipotesis Sapir-Whorf, mereka akan memahami alam ini dengan acuan Inggeris, dan bukan dengan acuan Melayu lagi. Berdasarkan hipotesis Malik Bennabi pula, anak-anak itu akan mewarisi idea-idea induk yang terkandung di dalam bahasa Inggeris, bukan idea-idea induk yang terkandung di dalam bahasa Melayu lagi. Oleh kerana bahasa Melayu telah menyerap idea-idea induk Islam, dan oleh kerana bahasa Inggeris belum menyerap idea-idea induk Islam, maka pengambilan bahasa Inggeris menjadi bahasa ibunda membawa implikasi yang serius. Sebagai contoh, gejala anak-anak yang "menjawab" ibu bapa bukanlah suatu hal yang tidak ada kaitannya dengan bahasa ekspresif. Konsep-konsep seperti "derhaka" dan "syurga itu di bawah tapak kaki ibu" hanya terkandung dalam bahasa-bahasa yang sudah menyerap idea-idea induk dalam Islam, seperti Bahasa Melayu. Penggunaan bahasa Inggeris tidak memberi peluang kepada kemasukan konsep-konsep itu ke dalam benak individu-individu yang telah membuang bahasa Melayu sebagai bahasa ibundanya. Nilai-nilai yang terkandung di dalam sastera Melayu seperti dalam cerita-serita Si Tanggang, Malim Kundang, Batu Belah Batu Bertangkup, Siti Zubaidah juga tidak ada kesempatan untuk masuk ke benak mereka. Tempatnya akan diganti oleh cerita-cerita seperti Little Red Riding Hood, Cinderella, Pinochio, Snow White, Rapunzel, Goldilock dan lain-lain. Hero mereka bukan Hang Tuah dan rakan-rakannya tetapi Robin Hood dan King Arthur And The Knights Of The Round Table.

Maka itulah sebabnya kita mempertahan bahasa Melayu sebagai asas Dasar Kebudayaan Kebangsaan. Membenarkan bahasa lain diterima sebagai wahana Kebudayaan Kebangsaan akan menusnahkan himpunan memori kita, memusnahkan jati diri kita yang dipertahankan dalam Perlembagaan kita.

Atas alasan yang sama kita boleh dituduh pula apakah kita tidak menzalimi bahasa dan kebudayaan lain. Tidakkah kita menghalang atau memusnahkan himpunan memori kaum lain yang diminta menggunakan bahasa Melayu untuk tujuan rasmi. Tidak, sama sekali tidak. Hal Kebudayaan Kebangsaan adalah hal rasmi. Dalam “kontrak sosial” kita, hak asasi setiap kaum dijamin dan dipelihara. Tiada siapa yang dihalang daripada menggunakan, mengajar dan meneruskan bahasa sendiri, asalkan bukan untuk tujuan rasmi, sebagai yang dijelaskan oleh Tun Abdul Razak di Parlimen pada 23 Februari 1971.

d. Pentingnya Membina Sistem Pemanglian dari Masa ke Masa
Apabila membuat tuntutan hak asasi bagi orang Melayu, di buminya sendiri, sebagai yang sudah dipersetujui dalam kontrak sosial antara kaum, kita dilabel sebagai Malay-centered, kita dicap sebagai Malay chauvinist, kita dipanggil kaum yang tidak peka pada kepentingan kaum lain, kita dituduh mendeskriminasi puak lain. Sudah sampai masanya kita tidak emosi dengan label-label ini, sudah sampai masanya kita tidak gentar dengan taktik menakut-nakutkan ini. Sudah tiba masanya kita membuat strategi bagi melaksanakan apa yang kita fikirkan betul. Sudah ada pihak yang mula termakan dengan hujah-hujah Cina dan India kenapa mesti dibuat secara demokratis segalanya. Ini boleh memakan diri sendiri.

Oleh sebab itu kita perlu menginagtkan semula orang Melayu tentang siapa dirinya, dan apa haknya. Inilah yang dikatakan pemanglian semula. Bina selalu sistem penagkisan yang diperlukan. Agar cendekiawan Melayu tidak mudah termakan dengan alasan liberal yang digunakan oleh kaum lain yang mengatakan hak asasi mereka tercabar. Di samping kita mengajar generasi baru akan hak asasi mereka, dan perjuangan menegakkan Dasar Kebudayaan Kebangsaan.

3. Apa yang Kita Perjuangkan?

Kita berhadapan dengan satu masalah besar dalam masyarakat. Ada beberapa perkara yang perlu kita lakukan.

pemimpin politik, pemimpin opinion (pendapat), pemimpin masyarakat, pemimpin ilmu, agen pengubah masyarakat, media, ibu bapa dan masyarakat seluruhnya.

a. Kesedaran pemimpin dan rakyat
Rata-rata pemimpin politik yang ada di kalangan kita tidak menyedari tentang malapetaka yang akan menimpa kita. Gejala sudah banyak bagi memberi isyarat akan malapetaka mendatang.



a. Kontrak Sosial
Kita akan terus mempertahan “kontrak sosial” kita. Walaupun perkara penting ini sudah dimaktubkan dalam Perlembagaan Malaysia, dan sudahpun dijelaskan apa rasionalnya, tetapi masih mahu ditagih. Oleh yang demikian, adalah menjadi tugas kita mengingatkan kembali perihal “kontrak sosial” yang mengimbangi hak masing-masing kaum, dan kepentingan bahasa Melayu seperti yang dijelaskan oleh Tun Abdul Razak Hussein itu tidak diketepikan. Kita tidak perlu mudah terbeli dengan alasan oleh kerana demokrasi maka semua orang mempunyai hak yang sama. Malaysia bukan sebuah negara yang kosong sebelum kedatangan mereka maka semua orang sama taraf.

b. Dasar Media Yang Terbuka
Apa yang lebih menggugat Melayu pada hari ini, bukanlah sekadar pekara-perkara yang tertulis. Tetapi, ialah juga apa yang tidak tertulis. Misalnya, oleh sebab tidak ada sebarang undang-undang dalam media massa, maka akhbar dan media hiburan China dan Inggeris, maka ini digunakan seluas-luasnya sehingga sekarang media akhbar dan hiburan Cina dan Inggeris menduduki tempat yang amat dominan dalam dunia media Malaysia. Akhbar yang mempunyai edaran terbesar bukanlah akhbar Melayu atau Inggeris tetapi akhbar Cina. Rancangan televisyen yang paling dominan di antara rancangan hiburan televisyen bukanlah rancangan Melayu dan Inggeris, tetapi Cina.
Oleh sebab dasar yang terbuka, media Cina menyelubungi hidup kita sehari-hari. Di samping menentang mereka tidak henti-henti membawa unsur budaya mereka masuk tanpa halangan. Setiap minggu ada kontena yang membawa filem dan video dari Hong Kong dan Taiwan masuk ke Malaysia. Malah pengarah drama dan filem Hong Kong telah mula mempengaruhi pengeluaran filem dan video kita.

Media Melayu hanya menguasai 17% daripada media negara. Itupun isinya 95% adalah untuk hiburan. Tidak banyak yang memberi tumpuan kepada ilmu bagi memandaikan orang Melayu.

c. Kepustakaan dalam Bahasa Melayu
Tun Abdul Razak Hussein mengingatkan kita bahawa kebudayaan sebuah bangsa itu juga bergantung kepada himpunan ilmu dalam bahasanya, iaitu kepustakaan dalam bahasanya. Kita akan terus berjuang membina kepustakaan dalam bahasa Melayu. Tinggi rendahnya tahap kebudayaan sesebuah bangsa bergantung kepada kepustakaan yang diwujudkan dalam bahasa bangsa itu. Apabila kita melihat bangsa-bangsa yang agung, dalam bahasanya terhimpun suatu kepustakaan yang besar.

d. Barisan Memperjuangkan Dasar Kebudayaan Kebangsaan
Perjuangan menentang Dasar Kebudayaan Kebangsaan nampaknya bertenaga kerana mereka dibawa dan disokong oleh badan-badan Cina dan India yang bersatu. Kita akan memperjuang Dasar Kebudayaan Kebangsaan ini secara bersatu. Persatuan penulis, persatuan kebudayaan, cendekiawan perlu bersatu bagi memperjuang hak kita.

Kita akan menghadapi cabaran. Umpamanya, kita dipanggil chauvinist apabila berjuang. Tetapi mereka tidak pula menganggap diri mereka chauvinist. Ini tidak menjadi soal. Yang penting kita berjuang bagi menegakkan Dasar Kebudayaan Kebangsaan atas prinsip dan kepercayaan kita.




CADANGAN

1. Kekalkan Bahasa Melayu sebagai pengantar pendidikan di sekolah menengah dan IPT.
2. Semua tenaga pengajar Malaysia di IPTS diwajibkan mengajar dalam bahasa Melayu.
3. ITNM mengenalpasti bidang yang kritikal, dan menterjemah buku ilmu untuk IPTS.
4. Gugurkan rancangan sekolah bestari, terlalu mahal untuk memandaikan yang sudah pandai. Tumpukan perhatian kepada anak-anak luar bandar dan miskin.
5. Di samping mengajarkan maklumat, tingkatkan pengajaran yang membangunkan kreativiti.
6. Lesen sekolah menengah swasta diberikan hanya apabila menggunakan pengantar bahasa Melayu.
7. Pelajar untuk ijazah pertama akan hanya dihantar ke luar negeri apabila kursus itu tidak ditawarkan dalam negeri.
8. Kementerian Pendidikan didesak supaya menarik semula sebarang rancangan untuk mengiktiraf ijazah Cina, dan membawa guru Cina dari Cina.
9. Kawal kemasukan unsur budaya luar yang akan menebalkan semula keinggerisan, kecinaan, keindian rakyat Malaysia, sebab ia akan melemahkan kemalaysiaan.
10. Kurangkan bilangan saluran televisyen dan radio yang menyiarkan rancangan asing.