Tuesday, August 19, 2008

BAHASA MELAYU DAN CABARAN KEMUNCULAN ERA KREASI ABAD KE-21

Prof. Emeritus Abdullah Hassan
Universiti Pendidikan Sultan Idris

Abstrak

Bagi menjamin wilayah menuturkan bahasa Melayu dapat bersaing dengan negara membangun lain, ia perlu meningkatkan daya kreativitinya sebagai suatu wilayah. Bahasa ada kaitan dengan daya kreativiti bagi menjana produk ekonomi yang dapat menjamin daya saing daerah ini. Untuk itu kita perlu melihat wilayah ini sebagai satu daerah kerjasama dari segi bahasa dan kreativitinya.

PENDAHULUAN

Era Maklumat yang sedang kita lalui hari ini dijangka akan tamat pada awal abad ke-21. Tempatnya akan diambil alih oleh kemunculan ERA KREASI. Inilah ramalan yang dibuat oleh ahli-ahli strategi Jepun. Di dalam era maklumat, maka maklumatlah yang menjadi senjata persaingan antara bangsa-bangsa dan negara-negara di dunia, tetapi di dalam Era Kreasi nanti, yang menjadi senjata persaingan itu adalah daya kreasi dan keupayaan inovasi sesuatu bangsa dan negara.Untuk memberikan gambaran betapa pentingnya kreativiti dan inovasi kepada daya persaingan sesuatu bangsa pada masa sekarang dan pada masa akan datang, cukuplah jikalau di sini kita sebutkan langkah-langkah yang sudah diambil oleh negara Jepun dan negara-negara Kesatuan Eropah.

Kerajaan Jepun, melalui Institut Penyelidikan Nomura di Tokyo telah menjalankan penyelidikan oleh Megatheme Research Projection Committee dengan matlamat untuk menggubal strategi persaingan dan survival bagi
bangsa Jepun di dalam menghadapi apa yang mereka ramalkan sebagai kedatangan Era Kreasi, iaitu era yang akan muncul apabila era maklumat tamat pada awal abad ke-21. Laporan penyelidikan itu mengenal pasti bahawa daya kreasi dan keupayaan inovasi menjadi strategi paling penting bagi memastikan survival korporat-korporat Jepun. Laporan itu mengesyorkan, supaya bangsa Jepun mampu mencipta idea-idea kreatif dan inovatif pada kadar yang lebih laju dan lebih banyak berbanding dengan keupayaan bangsa-bangsa lain di dunia. Bangsa Jepun perlu melakukan beberapa perubahan budaya, serta mencipta sistem-sistem komputer bagi membantu pencetusan idea-idea kreatif.

Negara-negara di dalam Kesatuan Eropah pula telah menjalankan penyelidikan mereka melalui projek-projek IRDAC (Industrial Research and Development Advisory Committee of the Commission of European Communities) dan ERT (European Round Table of Industrialists). Laporan-laporan kedua-dua projek penyelidikan itu dengan seriusnya memberikan prioriti yang amat tinggi kepada program-program pembangunan daya kreasi dan keupayaan inovasi di kalangan negara-negara Kesatuan Eropah sebagai strategi mengekalkan daya saing mereka. Negara Jerman paling serius mengambil perhatian ke atas syor-syor kedua-dua laporan IRDAC dan ERT itu dan ia sudah melantik seorang menteri kabinet dengan tugas membangunkan dan mengembangkan daya inovasi seluruh bangsa German, iaitu semacam “menteri bagi masa depan Jerman.”

Dengan latar belakang seperti di atas, perbincangan kita pada hari ini berkenaan kaitan antara Bahasa Melayu dan strategi pembinaan daya kreasi bangsa Melayu khususnya, dan negara Malaysia amnya, menjadi sangat relevan dan perlu diberi perhatian serius. Kertas kerja ini sendiri ditulis berdasarkan keyakinan bahawa daya kreativiti sesuatu bangsa boleh diurus sebagaimana sumber-sumber lain dapat diurus. Dengan andaian itu, maka kertas kerja ini mengemukakan cadangan bagaimana Bahasa Melayu berperanan secara strategis sebagai alat yang dapat digunakan untuk merangsang, membangun, memupuk dan menuai kreativiti bangsa Melayu khususnya, dan bangsa Malaysia amnya.

Apabila berbincang mengenai peranan Bahasa Melayu dan strategi pembinaan daya kreasi dan keupayaan inovasi sesuatu bangsa, kita membezakan tiga jenis kreasi.

1. Kreasi individu iaitu kreasi yang dihasilkan oleh individu untuk menerbitkan ciptaannya. Para penyelidik kreativiti Barat seperti de Bono, Wallace, Gordon, Bruner, dan Guilford mendominasi teori-teori dan teknik-teknik untuk mengembangkan daya kreasi individu. Ini sejajar dengan ciri-ciri masyarakat Barat yang individualistik. Pakar-pakar kreativiti Barat berpegang kepada andaian bahawa sesebuah masyarakat akan menjadi kreatif hanya apabila terdapat ramai individu yang kreatif, seperti Edison, Bell, Jobs dan Gates, di kalangan mereka. Dengan andaian tersebut, mereka mencipta pelbagai teori dan teknik pemikiran kreatif untuk digunakan oleh individu. Di Jepun pula, penyelidik-penyelidik mereka yang terkenal seperti Akira Onda, Kawakita, Yuji Harasaki, Yoshiya Sinagawa dan Taku Ibuki juga menjalankan kajian masing-masing dan mencipta teknik-teknik pemikiran kreatif yang digali daripada budaya Jepun sendiri untuk mengembangkan bakat kreativiti para pelajar, ahli-ahli sains, jurutera, dan para penyelidik di negara itu. Sebagai contoh, Onda membuat penyelidikan dalam pendekatan mengajar kreativiti melalui penggunaan origami. Beliau mengkaji kaitan antara Zen, Buddhisme, dan falsafah budaya Jepun dengan daya kreativiti. Beliau menggunakan seni origami sebagai cara merangsang kreativiti di kalangan pelajar-pelajar sekolah kerana seni itu melatih mereka menumpukan fikiran dan merangsang intuisi, iaitu dua unsur penting dalam daya kreativiti. Untuk merangsang kreativiti di kalangan orang-orang dewasa, caranya ialah melalui meditasi. Sumbangan beliau yang berharga ialah dalam penciptaan metodologi dayacipta aliran timur.

2. Kreasi kelompok ialah hasil proses sinergi antara kreativiti sekumpulan individu sehingga menghasilkan kreasi secara berkumpulan. Bidang penyelidikan kreativiti kelompok didominasi oleh pakar-pakar Jepun seperti Isao Kon, Shuji Honjo, Takeshi Oe, Tashio Hattori, Shinichi Nakayama, Hideki Yukawa, Masanobu Shintani, Nobusyoshi Umezawa, dan Kanehisa Harashima. Isao Kon mengemukakan sistem yang melihat sesuatu kumpulan individu sebagai satu sistem yang beroperasi melalui pengagihan peranan di kalangan komponennya. Untuk meminimumkan konflik di antara keperluan-keperluan individu dengan keperluan-keperluan kumpulan, beliau mengusulkan pembentukan subkumpulan, di mana setiap subkumpulan terdiri daripada beberapa ahli sahaja. Perbincangan demi perbincangan dalam tiap-tiap subkumpulan akan menghasilkan persetujuan pendapat dan seia-sekata di peringkat kumpulan besar. Kaedah ini disebut Kaedah KPS. Matlamatnya ialah mencipta komunikasi dinamik intrakumpulan melalui pembahagian anggota kumpulan ke dalam tiga kelompok iaitu ketua-ketua panel, anggota-anggota panel dan lain-lain anggota, di mana tiap-tiap kelompok memainkan peranan yang berbeza. Kumpulan akan mencipta konsep dengan berfikir secara mencapah dan menjurus sebanyak tiga kali berturut-turut. Isao Kon mengusulkan supaya setiap organisasi menubuhkan kumpulan berfikir yang bertugas melakukan kegiatan KPS untuk meningkatkan daya kreasi organisasi. Kaedah KPS berbeza daripada teknik brain-storming kerana ia membezakan peranan-peranan subkumpulan, juga kerana ia bersistem dan ia dilakukan secara berterusan, manakala brain-storming dibuat oleh satu kumpulan, tanpa bersistem dan tidak berterusan.

3. Kreasi organisasi adalah hasil daripada perkaitan antara kreasi kelompok dengan teknologi, produk, sistem dan perniagaan korporat sebenar. Di Jepun, aktiviti-aktiviti kreasi kumpulan dan kreasi organisasi diurus secara formal kerana kedua-dua aktiviti itu memang boleh diurus, manakala aktiviti kreasi individu tidak. Inilah puncanya mengapa penyelidikan bidang kreasi kumpulan dan kreasi organisasi didominasi oleh pakar-pakar dari Jepun, bukan oleh pakar-pakar Barat.

MEMBINA DAYA KREASI CARA BARAT

Budaya Barat adalah budaya yang menganuti dan mengamalkan nilai-nilai individualisme. Budaya itu memuja individu dan amat yakin akan kudrat individu sebagai pemacu pembangunan kreasi masyarakat. Kreasi Barat dipacu oleh kehadiran individu-individu genius seperti Watson, Bell, Edison, Ford, Jobs, Gates, Einstein dan banyak lagi. Individu-individu seperti mereka membekalkan masyarakat Barat dengan idea-idea kreatif mereka. Idea-idea itu kemudian menjadi sumber kreasi organisasi di Barat yang kemudiannya dibekalkan kepada dunia. Dengan latar belakang seperti itu, maka tidaklah hairan apabila budaya Barat yang individualistik memberi fokus kepada penyelidikan di bidang kreasi individu kerana Barat yakin bahawa semakin ramai individu kreatif yang dapat mereka lahirkan, bermakna masyarakat Barat akan menjadi lebih kreatif. Itulah sebabnya pakar-pakar Barat telah mencipta pelbagai teknik untuk menguji dan mengukur daya kreativiti individu. Mereka juga banyak mengkaji ciri-ciri peribadi individu-individu yang sangat kreatif. Di samping itu mereka telah mencipta pelbagai teknik berfikir yang boleh digunakan oleh individu untuk menerbitkan idea-idea kreatif. Budaya Barat juga telah mengkaji faktor-faktor yang mendorong individu menjadi kreatif atau tidak kreatif. Salah satu faktor yang mereka kaji dan utamakan ialah sistem ganjaran kepada individu kreatif. Hasilnya, pakar-pakar Barat berjaya mengenal pasti jenis-jenis ganjaran dan kaedah pemberian ganjaran kepada individu yang berkesan untuk mendorong daya kreasinya. Pakar-pakar di sana juga telah berjaya mengenal pasti faktor-faktor psikologi yang mendorong kreativiti seperti estim-diri dan kebebasan untuk mengambil risiko. Ringkasnya, model Barat adalah model yang memuja kudrat individu.

Nilai-nilai individualisme Barat, khususnya budaya Amerika, ditambah pula dengan sifatnya sebagai suatu budaya yang mendorong keberanian mengambil risiko, semangat keusahawanan dan pendewaan kecemerlangan individu budaya Amerika telah melahirkan 180 pemenang Hadiah Nobel dan lebih daripada 80 orang adalah pemenang dalam bidang kimia dan fizik, manakala Jepun hanya melahirkan empat orang sahaja. Ia juga telah menjadikan Amerika pencipta idea-idea dan produk-produk yang sangat kreatif dan radikal sifat-sifatnya untuk dibekalkan kepada seluruh dunia dengan Amerika sebagai negara pencipta yang utama. Kebanyakan Hadiah Nobel untuk kategori invensyen dimengangi oleh pereka-pereka dari Amerika, manakala kebanyakan kategori saintifik dimenangi oleh saintis-saintis Eropah.

MEMBINA DAYA KREASI CARA JEPUN

Di Jepun, keadaan sangat berbeza. Bangsa Jepun tidak melahirkan individu-invdividu genius. Dalam sejarah Jepun tidak ada nama-nama seperti “Bell,” “Edison,” “Ford” dan “Gates.” Nama-nama seperti Honda, Toyota, Matsushita, Mitsubishi dan banyak lagi tokoh bukanlah merupakan manusia-manusia genius. Mereka adalah manusia-manusia biasa. Keadaan ini adalah berpunca daripada nilai-nilai kolektivisme yang dianuti dan diamalkan oleh masyarakat Jepun. Nilai-nilai kolektivisme tidak membenarkan seseorang individu menjadi genius. Di negara itu, kanak-kanak yang memiliki ciri-ciri genius tidak diberi apa-apa layanan istimewa. Malah mereka diasuh supaya belajar menjadi serupa dengan kanak-kanak lain. Di sana tidak ada sekolah-sekolah khas untuk kanak-kanak pintar. Semua kanak-kanak belajar bersama-sama.

Masyarakat korporat Jepun menganut sikap yang sangat terbuka kepada idea-idea baru. Kari & Emden melaporkan bahawa lebih 80 peratus daripada semua pekerja Jepun pernah mengemukakan cadangan-cadangan kreatif. Lorriman & Kenjo melaporkan, dalam tempoh setahun, Matsushita menerima 6.5 juta cadangan, Hitachi menerima 4.6 juta cadangan dan Mazda menerima 3.0 juta cadangan. Idea-idea itu dikemukakan baik oleh individu mahupun oleh kumpulan-kumpulan petugas. Tidak seperti masyarakat Barat yang memuja idea-idea dan pendapat-pendapat individu, dan oleh itu mereka memberikan ganjaran besar kepada individu-individu, sebaliknya masyarakat Jepun tidak suka individu yang menonjol-nonjolkan dirinya. Oleh itu orang-orang Jepun tidak suka mengaku bahawa idea itu adalah ideanya. Mereka akan berkata seperti “Ada orang berpendapat ...” atau “Saya pernah mendengar idea supaya ...” atau “Kata orang ...” seolah-olah idea itu bukan idea mereka sendiri.

Bangsa Jepun suka berfikir secara berkumpulan. Setiap anggota kumpulan tekun mendengar apa yang dicadangkan oleh anggota-anggota lain. Mereka akan mengembangkan lagi idea-idea yang mereka dengar. Mereka bersikap konformis dan tidak suka menentang pendapat orang lain. Nilai-nilai kolektivisme budaya Jepun menyebabkan bangsa itu sangat mementingkan kata sepakat dan tolak-ansur. Mereka tidak mementingkan ego. Bagi mereka, menjaga dan mencapai matlamat serta kepentingan bersama adalah lebih penting daripada menjaga kepentingan individu. Oleh itu mereka tidak suka berbahas, berhujah dan bertentangan pendapat. Hasilnya, bangsa Jepun tidak mencipta banyak masalah dan faktor-faktor penghalang kepada pelaksanaan keputusan seperti halnya yang biasa berlaku dalam masyarakat Barat.

Dengan latar belakang budaya Jepun yang mengamalkan nilai-nilai kolektivisme, pakar-pakar kreativiti Jepun berjaya mencipta pelbagai kaedah dan teknik-teknik berfikir untuk digunakan secara berkumpulan bagi menerbitkan idea-idea kreatif. Pakar-pakar di negara itu juga berjaya mengenal pasti faktor-faktor persekitaran yang mendorong individu-individu bukan genius dapat mencetuskan banyak idea-idea yang kreatif secara berterusan dari masa ke masa. Anugerah Tahunan Nikkei Untuk Kecemerlangan Kreatif adalah anugerah tertinggi kerajaan Jepun untuk untuk inovasi dan ia diberikan kepada kumpulan, bukan kepada individu sebagaimana halnya dengan Nobel Prize di Barat.

Budaya kolektivisme Jepun telah membolehkan bangsa itu sangat cekap meminjam dan memperbaiki idea-idea dan teknologi yang dihasilkan oleh Barat dengan kadar kepantasan yang luar biasa, sehingga pada hari ini negara Jepun tidak ada apa-apa lagi yang hendak ditiru daripada Barat. Tetapi budaya Jepun yang menghargai nilai-nilai konformis menyebabkan ia tidak dapat menandingi Barat dalam menghasilkan idea-idea dan produk-produk yang benar-benar kreatif dan radikal sifatnya.

KAITAN ANTARA BAHASA DAN DAYA KREASI BANGSA

Bahasa mempunyai kaitan yang sangat rapat dengan daya kreativiti sesuatu bangsa. Di dalam setiap bahasa, terkandung nilai-nilai budaya masyarakat bangsa penutur asli bahasa itu. Di dalam bahasa Inggeris, terkandung nilai-nilai budaya individualisme. Di dalam bahasa Jepun, Cina, Korea dan Bahasa Melayu terkandung nilai-nilai budaya kolektivisme.

Di dalam dunia ini, terdapat banyak negara di mana elit politik negara-negara itu telah memaksa rakyat peribuminya supaya menerima dan menggunakan bahasa-bahasa asing dan menganuti nilai-nilai individualisme Barat padahal mereka pada asalnya mengamalkan nilai-nilai kolektivisme. Elit politik itu berbuat demikian dengan niat murni iaitu supaya masyarakat peribumi dapat maju dan berdaya kreasi seperti bangsa-bangsa Barat. Semua bangsa-bangsa yang pernah dijajah oleh bangsa-bangsa Barat iaitu Inggeris, Perancis, Portugis dan Sepanyol, telah dipaksa oleh elit politik peribumi mereka sendiri supaya menganuti nilai-nilai individualisme Barat dan menggunakan bahasa-bahasa penjajah sebagai bahasa kemajuan dan ilmu. Seluruh benua Amerika Latin, benua Afrika, benua India dan negara Filipina yakin bahawa dengan menggunakan bahasa penjajah dan dengan mengamalkan budaya individualisme Barat, negara-negara bekas tanah jajahan akan menjadi bangsa-bangsa yang maju dan berdaya kreasi. Namun, tidak satu pun di antara negara-negara itu yang berjaya menjadi maju dan kreatif seperti bangsa-bangsa Barat yang mereka cuba tiru. Ada beberapa faktor yang mendorong kegagalan bahasa-bahasa bekas penjajah memajukan daya kreasi bangsa-bangsa yang meminjamnya.

1. Bahasa penjajah hanya dapat dipelajari dan dikuasai oleh elit kelas atasan dan kelas menengah di bandar-bandar utama sahaja. Ia tidak dapat dipelajari dan dikuasai oleh golongan miskin di bandar-bandar dan oleh penduduk luar bandar. Faktor-faktor ekonomi, budaya dan persekitaran sosial menghalang majoriti rakyat di tanah bekas jajahan daripada menguasai bahasa asing. Di Malaysia sebagai contoh, bahasa Inggeris hanya dapat dikuasai oleh anak-anak daripada keluarga-keluarga kaya dan profesional di bandar-bandar utama di Kuala Lumpur, Petaling Jaya dan Pulau Pinang, kerana ibu bapa mereka bercakap bahasa Inggeris di rumah mereka. Anak-anak daripada keluarga miskin di bandar-bandar, baik Melayu, Cina atau India, tidak berupaya menguasai bahasa Inggeris. Apatah lagi nasib anak-anak luar bandar. Fenomena begini wujud di seluruh dunia, bukan hanya di Malaysia sahaja.

2. Faktor di atas menyebabkan ilmu-ilmu sains dan teknologi tidak dapat dipelajari oleh rakyat miskin dan rakyat luar bandar kerana ilmu-ilmu itu ditulis dan diajarkan dalam bahasa-bahasa bekas penjajah. Inilah faktor yang menyebabkan tidak ada bahasa bekas penjajah yang berjaya memandaikan setiap lapisan masyarakat peribumi yang meminjamnya. Hanya mereka yang berasal daripada keluarga-keluarga kaya dan profesional di bandar-bandar utama sahaja yang dapat membaca buku-buku sains dan teknologi dalam bahasa-bahasa asing itu. Merekalah yang berjaya lulus peperiksaan dan memasuki universiti.

3. Gejala kejahilan sains dan teknologi di kalangan rakyat miskin dan luar bandar menyebabkan jurang ekonomi dan sosial yang amat ketara antara golongan elit di bandar-bandar dengan rakyat terbanyak. Di negara-negara yang menggunakan bahasa asing sebagai bahasa pengantar pendidikan, terbukti bahawa bahasa asing menyebabkan hanya golongan kaya yang berpeluang mendapat pendidikan tinggi. Akibatnya, jurang antara golongan kaya dan golongan miskin menjadi bertambah parah dari masa ke semasa. Golongan miskin tidak mampu menguasai bahasa asing, akibatnya mereka tidak mendapat pendidikan tinggi, akibatnya mereka terus miskin. Golongan kaya mampu menguasai bahasa asing, akibatnya mereka berpeluang mendapatkan pendidikan tinggi, akibatnya mereka bertambah kaya. Keadaan ini mencetuskan perang saudara antara tentera rakyat dan tentera kerajaan, lalu mencipta ketidakstabilan politik yang tidak pernah reda di negara-negara yang meminjam bahasa-bahasa bekas penjajah. Pemerintah negara-negara itu membelanjakan wang yang banyak membeli peluru bagi menembak rakyatnya sendiri atas nama memerangi tentera “pemberontak.” Keadaan politik yang tidak stabil menyebabkan ekonomi negara tidak dapat dibangunkan, akibatnya negara terus mundur.

Penggunaan bahasa-bahasa bekas penjajah bukan setakat gagal memandaikan setiap lapisan masyarakat peribumi, gagal memajukan negara, dan gagal membawa keamanan dan kestabilan politik, bahkan bahasa-bahasa itu juga gagal mengembangkan daya kreasi elit cerdik pandai peribumi. Ada beberapa faktor yang menyebabkan perkara ini terjadi:

1. Penguasaan bahasa penjajah menyebabkan elit cerdik pandai peribumi hilang keyakinan terhadap kemampuan dirinya dan kemampuan diri bangsanya berbanding dengan kemampuan bangsa-bangsa yang menjajahnya. Sebagai contoh, di kalangan orang-orang Melayu sendiri, cerdik pandai yang mendapat kelulusan universiti di Barat memandang rendah kepada hasil-hasil karya akademik yang ditulis oleh ahli-ahli akademik Melayu sendiri, apatah lagi kalau karya-karya itu diterbitkan dalam Bahasa Melayu pula. Maka bertambah-tambahlah lagi mereka itu memandang rendah kepada penulis tersebut beserta dengan karya-karyanya sekali. Saya sendiri pernah mendengar seorang timbalan naib canselor universiti berkata di dalam sebuah majlis bahawa satu artikel yang terbit dalam bahasa Inggeris sama nilainya dengan enam buah artikel yang ditulis dalam Bahasa Melayu. Di dalam suatu majlis lain, seorang profesor madya bidang teknologi berkata tanpa segan silu bahawa mustahil beliau boleh menghasilkan karya yang setanding dengan karya profesornya di luar negeri. Tanpa keyakinan pada ilmu, bakat dan otak yang dimilikinya sendiri, maka elit cerdik pandai peribumi yang terdidik di dalam bahasa asing tidak lagi memiliki keyakinan jiwa bahawa dirinya dan diri bangsanya berupaya menandingi daya kreasi bangsa-bangsa yang pernah menjajah mereka.

2. Penguasaan bahasa-bahasa penjajah menyebabkan elit cerdik pandai peribumi mengambil dan menganuti nilai-nilai induk budaya bangsa penjajah. Mereka menjadi pengagum, pemuja dan pengamal nilai-nilai budaya asing yang bahasanya telah menjadi bahasa ekspresif mereka. Mereka yakin bahasa dan budaya asing itu jauh lebih baik daripada bahasa dan budaya peribumi. Mereka menjadi amat kritis terhadap bahasa dan budaya sendiri. Mereka melontarkan berbagai-bagai kritikan yang mencemuh dan melekehkan bahasa dan budaya asal mereka. Padahal kritikan-kritikan itu hanyalah membuktikan betapa mereka tidak mempunyai pengetahuan tentang bahasa dan budaya. Dengan sikap yang memandang rendah bahasa dan budaya peribumi, dan dengan mengetepikan bahasa dan budaya bangsanya daripada jiwa mereka, elit cerdik pandai yang terdidik dalam bahasa-bahasa asing itu tidak lagi dapat memahami peluang-peluang kreatif yang tersedia di dalam dunia dan budaya peribumi. Sebagai contoh, sepandai-pandai elit India yang terdidik dalam bahasa Inggeris, mereka itu tidak pernah terfikir untuk mencipta periuk nasi automatik, atau mencipta traktor kecil ala-kubota, atau mencipta generator kecil, atau motosikal kecil yang kesemuanya bertujuan untuk menyelesaikan pelbagai masalah Asia. Sebaliknya, ciptaan itu dihasilkan oleh cerdik pandai bangsa Jepun yang mengekalkan bahasa dan budaya peribumi.

3. Dengan menganuti nilai-nilai induk budaya Barat, elit cerdik pandai peribumi menjadi pengagum pencapaian cerdik pandai Barat. Mereka terhairan-hairan akan kepandaian orang-orang Barat mencipta pelbagai rekaan dan penyelesaian masalah secara kreatif. Semakin tinggi kekaguman dan kehairanan mereka itu, semakin merosot keyakinan diri mereka. Semakin mereka yakin mereka tidak berupaya menandingi pencapaian cerdik pandai Barat. Mereka menjadi cerdik pandai yang amat pasif. Apabila mereka menghadapi masalah, sikap mereka ialah menunggu sehingga masalah itu dapat dicarikan penyelesaiannya oleh cerdik pandai Barat. Akibatnya, mereka berpuas hati dengan hanya menunggu Barat. Mereka sendiri tidak proaktif menyelesaikan masalah mereka sendiri. Mereka hanya menjadi pengguna kepada penyelesaian-penyelesaian yang dicipta oleh Barat. Sikap yang amat mengagumi Barat menjadikan mereka tidak lagi kritis terhadap penyelesaian ciptaan Barat. Itulah sebabnya sepandai-pandai elit India, mereka tidak berupaya mengkritik teknologi Barat, dan kemudian memperbaiki dan memodifiksi ciptaan-ciptaan Barat. Mereka tidak mengkritik traktor-traktor, generator dan motosikal ciptaan Barat yang terlalu besar untuk kegunaan di Asia. Akibatnya, jurutera-jurutera India yang terdidik di dalam bahasa Inggeris tidak terfikir untuk memperbaiki dan memodifikasi ciptaan-ciptaan itu supaya dibuat yang kecil-kecil bagi kegunaan alam Asia. Ini berbeza dengan cerdik pandai bangsa Jepun dan Korea. Jurutera-jurutera Jepun mengecilkan saiz barang-barang ciptaan Barat seperti traktor, generator dan motosikal, maka dengan itu mereka mencipta produk-produk edisi Asia yang sangat berjaya dalam pasaran. Oven-oven gelombang mikro ciptaan Barat saiznya sebesar almari, ia tidak sesuai untuk dapur-dapur rumah Asia. Jurutera-jurutera Korealah yang mula-mula berjaya menghasilkan oven-oven yang kecil, lalu menghapuskan oven-oven edisi Barat dari pasaran dunia.

Teori yang mengatakan dengan meminjam bahasa-bahasa yang besar dan maju, seperti bahasa-bahasa Inggeris, Peranchis, Sepanyol, Brazil dan Jerman, maka bangsa-bangsa yang meminjamnya pun akan ikut menjadi bangsa-bangsa yang besar dan maju telah dicuba selama ratusan tahun oleh negara-negara di Amerika Latin, selama berpuluh-puluh tahun oleh negara-negara Afrika, India, Pakistan Bangladesh, Sri Lanka, dan tidak ketinggalan Filipina. Hasilnya, sehingga hari ini, tidak ada walau sebuah pun di antara negara-negara itu yang menjadi negara besar dan maju. Teori itu bertentangan dengan teori pembangunan ilmu dan intelek menurut ajaran al-Quran, di mana Allah telah dengan amat jelas memberitahu kepada manusia bahawa bahasa yang mesti digunakan untuk membangunkan sesuatu ummah ialah bahasa ibunda ummah itu, seperti firman Allah dalam Surah Ibrahim ayat 4, mafhumnya “Kami tiada mengutus seorang Rasul, melainkan dengan bahasa kaumnya, supaya dia menerangkan kepada mereka.” Jadi, sebarang dasar yang menjadikan bahasa asing sebagai bahasa pengantar pendidikan bagi sesuatu bangsa adalah dasar yang melanggar ajaran Islam.

KAITAN ANTARA BUDAYA DAN DAYA KREASI BANGSA

Budaya sesuatu bangsa mempengaruhi nilai-nilai dan kesukaan bangsa itu terhadap benda-benda baru, idea-idea baru dan kesanggupan mencuba perkara-perkara baru. Budaya juga mempengaruhi sejauh mana anggota-anggotanya diberi kebebasan mengkaji benda-benda baru, dan diberi kebebasan untuk mereka mengamalkan pendapat-pendapat dan pandangan-pandangan peribadi. Semakin banyak kebebasan seperti itu diberikan kepada anggota budaya tersebut, maka diyakini, semakin banyak idea-idea baru yang akan dihasilkan oleh mereka. Berdasarkan andaian begitu, kebudayaan Barat, terutamanya kebudayaan Amerika, yang sangat individualistik, yang tidak gerun kepada risiko dan yang menghargai semangat keusahawanan adalah amat sesuai bagi menghasilkan idea-idea dan inovasi-inovasi yang radikal sifatnya.

Budaya Jepun pula amat sesuai bagi penghasilan inovasi-inovasi yang bersifat evolusi iaitu pembaikan secara kecil-kecilan. Bangsa Jepun sangat kuat bekerja, penuh bertanggungjawab, berkemahiran, bercita-cita tinggi dan suka bekerja dalam kumpulan apabila menyelesaikan masalah. Namun, sifat-sifat kolektivisme dan gerun risiko menyebabkan anggota-anggota budaya Jepun tidak menghasilkan idea-idea yang radikal sifatnya. Namun, budaya Jepun yang kolektivis membolehkan bangsa itu mencapai produktiviti yang paling tinggi di dunia. Masyarakat Jepun amat menghargai pendidikan. Ibu bapa Jepun amat menghargai pendidikan. Mereka seolah-olah memaksa anak-anak mereka mendapat markah-markah yang tinggi di sekolah supaya mereka boleh memasuki universiti-universiti yang terbaik di negara itu. Ijazah daripada universiti-universiti tersebut menjamin mereka diterima bekerja di syarikat-syarikat terbesar. Sekolah-sekolah di Jepun mendorong pelajar-pelajar menghafal fakta-fakta, istilah-istilah, definisi-definisi dan prinsip-prinsip, dan tidak mendorong pelajar-pelajarnya mengembangkan kemahiran berfikir secara kreatif seperti mencetuskan idea, mencipta hipotesis, membuat spekulasi, membuat sintesis, berhujah, berbahas dan menyelesaikan masalah. Sistem pendidikan Jepun memberi ganjaran apabila pelajar-pelajar menunjukkan sikap patuh, teliti, berhati-hati dan konformis, bukan memberi ganjaran kepada inisiatif atau kepada pemikiran original. Tetapi sistem pendidikan negara itu juga memberi latihan matematik yang sangat baik dan ia memberi lebih banyak tumpuan kepada pendidikan ilmu-ilmu sains dan kejuruteraan dibandingkan dengan sistem pendidikan di Barat. Oleh hal yang demikian sistem pendidikan Jepun berupaya mengeluarkan lebih daripada 150,000 jurutera setahun dan dengan demikian budaya Jepun mempunyai asas yang penting bagi pembangunan teknologi.

Budaya Melayu adalah budaya yang menganuti dan mengamalkan nilai-nilai kolektivisme, seperti yang terkandung di dalam banyak pepatah dan perbilangan Melayu, “sepakat membawa berkat,” “bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat” dan banyak lagi. Penjajahan Inggeris di Tanah Melayu telah melahirkan suatu kelompok Mealyu yang menerima pendidikan mereka di dalam bahasa Inggeris. Pendidikan berbahasa Inggeris telah melahirkan elit sosial, politik, ekonomi dan pentadbiran negara yang menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa ekspresif mereka. Seseorang itu dikatakan sedah menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa ekspresif apabila dia menggunakan bahasa Inggeris untuk aktiviti berfikir, berkomunikasi, untuk menyatakan emosi, untuk bergurau, mencarut dan melatah. Penguasaan bahasa Inggeris yang begitu tinggi mendorong pengambilan dan penganutan nilai-nilai individualisme Barat oleh elit Melayu itu. Oleh kerana golongan elit itu juga menguasai kehidupan sosial, politik, ekonomi dan pentadbiran tertinggi kerajaan maka, mereka berkeupayaan memaksakan nilai-nilai individualisme Barat ke atas seluruh masyarakat Melayu melalui keputusan-keputusan yang mereka buat, terutamanya melalui keputusan-keputusan politik dan pentadbiran.

Sebagaimana anggota-anggota masyarakat Barat amat yakin akan kudrat individu sebagai pemacu daya kreasi masyarakat, anggota-anggota elit Melayu berpendidikan Inggeris juga berkongsi keyakinan yang serupa. Pengambilan dan penganutan nilai-nilai individualisme Barat oleh kepimpinan politik Melayu hari ini amat menonjol, seperti yang tergambar di dalam strategi memilih hanya sekumpulan kecil individu-individu Melayu yang ditugaskan untuk memiliki saham dan seterusnya memacu kemunculan “korporat-korporat gergasi Melayu.” Strategi individualistik itu menggantikan strategi sebelumnya di zaman Tun Razak yang berdasarkan pemilikan Melayu secara kolektif melalui saham kerajaan.

Pengambilan dan penganutan nilai-nilai individualisme juga dikesan pada strategi yang digunakan oleh Kementerian Pendidikan dalam usaha mengajar kemahiran berfikir secara kreatif di sekolah-sekolah. Kementerian memilih hanya silabus CORT ciptaan Edward de Bono, suatu silabus untuk digunakan secara individu. Teknik-teknik de Bono sudah diperkenalkan ke maktab-maktab perguruan dan ditaklimatkan kepada ramai guru-guru sekolah. Walaupun de Bono bukanlah pakar tunggal bidang kreativiti dari Barat, tetapi teknik-teknik berfikir ciptaan pakar-pakar lain tidak diambil oleh Kementerian, padahal banyak daripada teknik-teknik itu adalah lebih produktif dan lebih praktikal daripada teknik “PO” ciptaan de Bono bagi tujuan menerbitkan idea-idea baru. Kementerian juga tidak mengajarkan sebarang teknik berfikir yang bersifat kolektif, iaitu teknik-teknik yang digunakan apabila berfikir dalam kumpulan. Pakar-pakar kreativiti Jepun banyak mencipta teknik-teknik berfikir secara kolektif dan sejak akhir-akhir ini Barat sudah mula belajar menggunakan teknik-teknik dari Jepun, terutama sekali negara Jerman, walaupun budaya Amerika kurang berminat.

Nilai-nilai individualisme juga dapat dikesan pada usaha Kementerian Pendidikan untuk memberi layanan istimewa kepada pelajar-pelajar yang dikenal pasti sebagai pelajar pintar melalui ujian peperiksaan tahap satu mulai 1996. Ujian itu adalah berdasarkan keyakinan bahawa individu-individu itu mempunyai nilai yang lebih tinggi bagi masyarakat dibandingkan dengan pelajar-pelajar lain, oleh itu Kementerian membuat pelaburan yang lebih besar ke atas kemajuan akademik mereka, meskipun bilangan mereka adalah amat kecil.

Baru-baru ini Kabinet Malaysia bersetuju memberi biasiswa kepada seorang pelajar di London keturunan ibu Melayu yang layak memasuki Universiti Oxford pada usia 12 tahun kerana beliau memiliki IQ matematik yang sangat tinggi, dengan syarat beliau mesti pulang bertugas di Malaysia. Keputusan seperti itu juga mencerminkan kepercayaan yang sangat tinggi kepada individu prodigi. Malangnya, manusia prodigi hanya wujud dalam dua jenis pengetahuan simbolik, iaitu matematik dan muzik. Kepintaran jenis ini bersifat tunggal. Ertinya, prodigi matematik hanya amat pintar matematik, yang lain-lain mereka adalah kanak-kanak biasa. Secara am orang ramai keliru antara manusia ‘genius’ dan ‘prodigi.’ Genius adalah gabungan pengetahuan, kepintaran dan kreativiti. Bell, Einstein, Newton, Edison, Ford dan Gates adalah contoh manusia-manusia genius. Tidak seorang pun daripada mereka itu pernah menjadi kanak-kanak prodigi. Prodigi ialah kanak-kanak yang boleh melakukan fungsi orang yang jauh lebih tua usianya. Contoh prodigi ialah Safiah Farooq. Yang berharga kepada kreativiti masyarakat ialah genius, bukan prodigi.

CABARAN ABAD ERA KREASI

Ahli-ahli strategi Jepun meramalkan Era Maklumat akan tamat pada awal abad ke-21 dan tempatnya digantikan oleh Era Kreasi (Age of Creation), bukti-bukti kemunculan era baru itu sudah pun wujud pada masa ini. Apabila ramalan ini benar, bermakna pada tahun 2020 nanti, Era Maklumat sudah berlalu manakala Era Kreasi sudah mapan (established). Di saat-saat majoriti bangsa Melayu sedang terkial-kial memahami dan menyesuaikan diri dengan Era Maklumat, Jepun sudah siap dengan strategi bagi mencipta dan menghadapi Era Kreasi. Bangsa Melayu perlu menubuhkan sekumpulan ahli-ahli strategi yang memiliki mentaliti Jepun di mana “merancang bukan sekadar untuk hari esok, tetapi juga untuk hari selepas esok.”

Industri maklumat sebenarnya tidak mencipta maklumat. Ia mencipta cara-cara dan peralatan-peralatan yang membolehkan maklumat dihantar dan disebarkan dengan pantas. Meskipun industri maklumat tidak mencipta maklumat, tetapi penghantaran dan penyebaran maklumat membolehkan penggunaan maklumat meningkat dengan banyaknya, dan dengan itu ia membantu menaikkan produktiviti. Aktiviti utama dalam industri maklumat ialah pengurusan maklumat. Pada peringkat masyarakat, era maklumat mencipta masyarakat maklumat.

Dalam Era Kreasi nanti, aktiviti kreasi akan mendapat peranan-peranan dan nilai-nilai baru sama sekali. Tumpuan akan diberikan kepada kreativiti, sebagaimana yang belum pernah disaksikan sebelumnya. Di dalam bidang industri umpamanya, syarikat-syarikat tidak lagi mengurus maklumat. Sebaliknya, syarikat-syarikat akan hanya mengurus maklumat-maklumat yang berorientasikan kreasi, atau istilah yang sudah dicipta baginya “creagement.” Dalam abad ke-21, pengurusan akan difokuskan kepada pemerangsangan motivasi individu untuk merealisasikan potensi kreatifnya secara optima, supaya dengan itu dia akan meningkatkan penghasilan output kreatif pada peringkat organisasi.

Untuk merangsang kreativiti manusia Jepun, negara itu sudah mengenal pasti beberapa strategi. Antara pelbagai strategi itu ialah mencipta sistem-sistem komputer yang berfungsi sebagai pembantu kepada pemikiran kreatif tenaga kerja negara itu. Di dalam era maklumat, komputer membantu kita untuk mendapatkan, menghantar dan menyebarkan maklumat. Di dalam Era Kreasi, komputer membantu aktiviti berfikir untuk berkreasi. Bayangkan keadaan ini: seorang jurutera, yang baru bekerja selama satu tahun di dalam sebuah organisasi Jepun, sudah bekerja seolah-olah beliau memiliki pengetahuan, pengalaman dan kepakaran seorang veteran sepuluh tahun. Inilah gambaran pekerja Jepun dalam Era Kreasi.

Pada masa ini tugas mencipta idea-idea baru hanya dapat dibuat oleh otak manusia. Jurutera-jurutera Jepun hari ini sedang tekun mencipta sistem-sistem komputer yang mampu menolong keupayaan otak manusia Jepun untuk mencipta pelbagai idea baru dengan lebih cepat, lebih banyak dan lebih bermutu. Dalam era maklumat manusia bergantung kepada komputer. Dalam Era Kreasi, manusia akan bergantung kepada sistem bantuan berfikir yang disebut “konseptor.” Nama konseptor datang daripada kefahaman bahawa suatu idea ialah suatu konsep. Sistem konseptor mengandungi pengkalan data berkenaan semua pengetahuan, know-how, idea-idea setiap pakar teknikal, proses-proses yang dilakukan pada pembangunan produk-produk baru, maklumat berkenaan semua ujikaji yang pernah gagal, serta maklumat-maklumat teknikal terbaru, semuanya tersimpan dalam bentuk teks. Sebagaimana robotiks dan automasi mengurangkan penggunaan tenaga manusia di dalam kilang, sistem konseptor akan mengurangkan tenaga manusia dalam aktiviti kreasi idea di jabatan pembangunan produk. Dengan bantuan sistem ini seorang jurutera amatur di Jepun akan dapat berfikir dan bekerja secekap seorang veteran. Kerja-kerja pembangunan sistem ini sudah dimulakan oleh korporat-korporat Jepun sebagai salah satu strategi utama negara itu menjelang Era Kreasi abad ke-21.

Buat sekian lamanya Barat menjadi pencipta konsep-konsep dan produk-produk untuk seluruh dunia. Negara Jepun telah berjaya meniru konsep-konsep dan produk-produk Barat dengan kepantasan yang luar biasa sehingga pada hari ini Jepun tidak tahu apa yang hendak ditiru lagi dari Barat. Ini memaksa Jepun untuk menjadi pencipta konsep-konsep dan produk-produk baru untuk seluruh dunia. Jadi Jepun terpaksa mencipta bidang-bidang baru sama sekali untuk menghasilkan perniagaan-perniagaan baru, sistem-sistem baru dan produk-produk baru. Situasi begini menekan Jepun untuk memberi fokus kepada proses-proses kreasi yang menjadi komponen utama di dalam usaha itu kerana negara itu bertekad untuk menjadi pemimpin Era Kreasi.

Pakar-pakar strategi Jepun telah mengenal pasti pelbagai strategi untuk meningkatkan daya kreasi bangsa Jepun, khususnya di kalangan tenaga kerja negara itu. Antara strategi itu ialah mencipta teori-teori dan teknik-teknik mencipta kemunculan syarikat-syarikat yang intens kreasi, menjalankan program pendidikan kreasi bagi seluruh tenaga kerja, memberi lebih banyak kebebasan kepada mereka, merombak amalan pengurusan di Jepun hari ini, mendorong keberanian mencuba dan melakukan kesilapan, meningkatkan toleransi ke atas kegagalan, tidak menggalakkan campur tangan pengurusan ke atas perjalanan projek-projek kreasi, menghormati suara-suara sumbang, memberi tempat kepada manusia maverik, meleperkan lagi struktur organisasi, menurunkan lebih banyak kuasa kepada pekerja muda, melantik lebih banyak pengurus muda, memberi ganjaran kepada usaha individu, dan banyak lagi.


KESIMPULAN

Dalam menghadapi cabaran kemunculan Era Kreasi pada awal abad ke-21, bangsa Melayu di Malaysia janganlah bersikap angkuh terhadap kerabat bangsa Melayu yang lebih besar yang terpisah oleh sempadan-sempadan palsu politik. Sikap “kita Melayu Malaysia,” “Malaysia lain, Indonesia lain” dan seumpamanya, adalah membahayakan kuasa kompetitif bangsa Melayu di Malaysia sendiri. Statistik menunjukkan, untuk menjadi bangsa pencipta teknologi bertaraf dunia bangsa itu mesti mampu melatih sekurang-kurangnya 35,000 jurutera setahun, suatu angka yang dapat dicapai apabila bangsa-bangsa Melayu yang bertebaran berfikir dan bekerja sebagai satu Bangsa Besar. Indonesia ialah negara ketiga paling banyak jumlah rakyatnya, iaitu selepas Cina dan Amerika. Ia lebih besar daripada Jepun. Bangsa Jepun mampu mengeluarkan 150,000 jurutera setahun, Korea 75,000, Amerika 50,000 dan Jerman 40,000. Kelompok Melayu Malaysia tidak mampu melahirkan 35,000 jurutera setahun jika ia angkuh seperti sekarang, jika ia terus yakin bahawa Melayu Malaysia tidak memerlukan kerabat-kerabat Melayu lain. Bangsa Melayu memerlukan kemunculan seorang tokoh pemimpin Melayu Besar yang dapat mewujudkan penyatuan seluruh minda Melayu, terutama di rantau segitiga Malaysia, Indonesia dan Mindanao. Dicadangkan supaya seorang tokoh pemimpin Melayu di Malaysia mewujudkan suatu Himpunan Saintis Melayu yang berpangkalan di Kuala Lumpur. Cadangan penubuhan Universiti Melayu Antarabangsa yang dikemukakan dalam Persidangan Melayu Sedunia, 1996, mesti disokong dan diusahakan realisasinya.

Survival Melayu dapat diperkukuhkan lagi apabila jiwa besar bangsa Melayu dapat menggabungkan dirinya dengan kuasa minda bangsa-bangsa bukan Melayu yang beragama Islam yang berjiran dengan rantau Melayu. Gabungan ini dapat menyediakan bekalan tenaga profesional yang diperlukan untuk mencipta bangsa Melayu yang memiliki kuasa kompetitif. Pada tahun 1996 di bawah kepimpinan Habibie, Jakarta memulakan usaha mewujudkan Himpunan Saintis Islam. Konsep ini mesti disokong dengan komitmen yang kuat.

Kegagalan strategi penggunaan bahasa-bahasa Spanyol, Perancis dan Inggeris sebagai alat bagi membangunkan daya kreasi dan kemajuan ilmu di kalangan bangsa-bangsa bekas tanah jajahan di seluruh benua Amerika Latin, Afrika, India dan di negara Filipina hendaklah meyakinkan pemimpin-pemimpin politik Melayu di Malaysia hari ini bahawa keputusan kerajaan memartabatkan semula bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar sains dan teknologi di negara ini tidak disokong oleh bukti-bukti statistikal dan empirikal. Ia adalah khayalan elit politik peribumi yang minda dan jiwanya sudah ditawan oleh bahasa dan budaya Barat. Kerajaan hendaklah membatalkan keputusan menjadikan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengucapan intelektual negara ini. Kementerian Pendidikan hendaklah menarik balik kebenaran yang diberikan kepada Universiti TNB, Petronas dan Telekom untuk menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantarnya.


Bacaan Tambahan

Ainon & Abdullah, Pemikiran Reka Cipta, Utusan Publications & Distributors, 1994.

Hamel Gary & Prahalad C.K., Competing For The Future (1994), Harvard Business School Press, Boston.

Hofstede Geert, Cultures and Organizations Software of The Mind (1991), McGraw-Hill Book Co., Cambridge.

IRDAC (Industrial Research and Development Advisory Committee of the Commission of European Communities) and ERT (European Round Table of Industrialists) 1994. Laporan yang dibentangkan oleh Tuula Kauto-Koivula, Nokia, Finland.

Lampikoski Kari & Emden Jack, Igniting Innovation (1996), John Wiley & Sons, England.

Lorriman John & Kenjo Takashi, Japan's Winning Margins (1994), Oxford University Press, Oxford.

Murakami T., & Nishikawa T. (1991) Strategy For Creation (terj.), Woodhead Publishing Ltd., Cambridge.

Tatsuno Sheridan, Created In Japan: From Imitators to World-Class Innovators, (1990), Harper Business.

No comments: