Tuesday, August 19, 2008

Kemahiran, Kecekapan dan Alat Baru

KONPEN

Anjuran UPSI,
2-4 Jun 2008

Kemahiran, Kecekapan dan Alat Baru
Prof. Emeritus Abdullah Hassan
Fakulti Bahasa
Universiti Pendidikan Sultan Idris

Pengenalan

Pernah dalam tahun 1960-an, siswa yang bergraduan diberi nasihat tentang kemahiran yang perlu ada pada mereka bagi menjalankan tugas mereka dengan berkesan, iaitu kemahiran komunikasi, matematik dan kewangan. Tidak terbayangkan dalam masa 50 tahun, keperluan kemahiran ini bertambah dengan lebih banyak dan lebih mendalam. Persidangan pada hari ini juga mencerminkan keprihatinan kita dalam hal ini. Kita sentiasa menyoal apakah kemahiran dan kecekapan yang perlu kita berikan pada para siswa kita supaya mereka dapat berfungsi dengan berkesan dalam dunia pekerjaan dan dunia sebenar di luar sana? Lantas Kementrian Pelajaran kita membuat perubahan demi perubahan. Ada kalanya perubahan ini dilaksanakan dengan tidak difikirkan secara mendalam. Inilah yang diberi perhatian dalam kertas ini.

Dalam kerangka perubahan dasar tersebut, disenaraikanlah kemahiran dan demi kemahiran yang perlu dicapai. Antaranya yang sering berulang adalah:

Komunikasi
Komputer
Membaca
Berfikir
Insaniah
Menyelidik
Bekerjasama
Berbudaya, dll.

Namun dalam kertas kerja ini bukan semua kemahiran ini dibincangkan. Hanya kemahiran berkomunikasi, menggunakan komputer, membaca, dan berfikir yang diberi perhatian. Dalam perbincangan ini ternyata tidak ada perbezaan tentang senarai kemahiran yang diajukan dengan yang disebut oleh sarjana lain. Perbezaan adalah tentang pernyataan bahawa bagi setiap kemahiran itu kita kerap tidak menentukan tahap kecekapan dan juga alat yang dapat digunakan. Oleh sebab itu, hasil kemahiran yang diajarkan itu ada kepincangannya.

KEMAHIRAN BERKOMUNIKASI

Kita mengajarkan komunikasi kepada siswa kita, khususnya bahasa Melayu, dan bahasa Inggeris. Namun, hasilnya siswa kita tidak dapat berkomunikasi dengan berkesan, pada tahap seorang berpendidikan, atau tahap orang berbudaya. Lantas, dalam berkomunikasi, mereka sering dipersepsi sebagai gagal berkomunikasi. Ada dua aspek kekurangan ini: (1) kegagalan seluruh komunikasi, dan (2) kegagalan menggunakan aneka bahasa tinggi (begitu juga dengan kemahiran berbahasa Inggeris). Berikut dibincangan sebuah kajian kecil yang dilakukan oleh pelajar UPSI tentang perkara (1).




Tahap Kemahiran Komunikasi Pelajar Melayu

Lima buah syarikat disoal mengenai kemahiran yang mereka kehendaki ada pada pekerja mereka. Syarikat tersebut adalah:

Larkin Niaga Sdn. Bhd.
NurBeutyline Marketing
Jabatan Agama Islam Wilayah
Lembaga Tabung Haji
Segar Semenanjung Sdn. Bhd.

Ada banyak soalan yang ditanya, dan satu daripadanya yang relevan dengan perbincangan kita adalah: Pada skala 1-10, berapakah tahap kemahiran komunikasi graduan Melayu pada masa ini? Jawapannya adalah seperti berikut:


Pada mereka, sebab pelajar Melayu dipersepsi lemah dalam berkomunikasi adalah seperti berikut:

Malu, tidak mempunyai kemahiran berinteraksi
Lemah penguasaan bahasa Inggeris
Kemahiran ‘soft skill’ amat penting
Kecemerlangan dalam bidang akademik sama penting dengan kemahiran komunikasi.

Ternyata hanya Syarikat Tabung Haji yang mempersepsi calon-calonnya dapat berkomunikasi dengan baik. Ini memang wajar sebab memang tradisi lulusan agama itu lazimnya lebih mahir berkomunikasi, dan mereka juga pakar dalam bidang masing-masing. Umumnya pelajar ini mempunyai kemahiran, tetapi mungkin tidak kecekapan.

Tahap Kecekapan Komunikasi

Apabila penutur bahasa Melayu dari kampung masuk ke dalam dunia korporat, maka berlakulah gangguan terhadap penggunaan bahasa ini. Orang kampung menggunakan sistem panggilan kampung dengan memanggil semua orang lelaki lebih tua daripadanya sebagai abang dan lelaki yang lebih tua sebagai pak cik. Peniaga restoran memanggil pelanggannya dengan panggilan kampung, abang, kakak, makcik, dll. Pada hal pelanggannya merasa tidak dihormati apabila dipanggil begitu.

Begitu juga ungkapan bahasa basahan mula mengganggu sistem bahasa rasmi. Bahasa daerah dicampurkan dengan bahasa rasmi. Sistem ganti nama bahasa Inggeris mengganggu sistem ganti nama Melayu. Sistem sebutan dialek Kedah, Kelantan, dll mengganggu sistem sebutan bahasa baku. Memanggil sahabat karib kita sebagai yu, tidak mengapa. Memanggil pengerusi temuduga sebagai yu adalah biadab. Juga, sistem kosa kata dan ungkapan dialek seperti jom adalah untuk dialek tersebut. Ia tidak boleh menggantikan marilah mengganggu kosa kata bahasa rasmi.

Pendeknya, kita boleh sahaja melakukan kesalahan tatabahasa, kita tidak akan dihukum. Lakukan kesalahan tatabahasa sosial, padahnya lebih berat. Kita mungkin mahir bercakap dan bertutur, tetapi bagi menggunakan bahasa Melayu Tinggi dengan tepat pada domainnya adalah kecekapan yang menuntut kecekapan berkomunikasi, iaitu mempunyai kemahiran dan pengetahuan budaya. Inilah kecekapan berkomunikasi yang akan menentukan kita menggunakan aneka bahasa yang sesuai atau tidak dengan konteks.

Cabaran dan Saranan

Kita perlulah memahami konsep bahasa Tinggi dan Rendah bagi meningkatkan kebijaksanaan, iaitu kecekapan berkomunikasi.

a. Mengetahui Bahasa Melayu tinggi mempunyai ciri-ciri berikut:

· ayat-ayat yang digunakan adalah lengkap dari segi tatabahasa, ada subjek dan predikat, penerangnya pada tempat yang menunjukkan hubungan sintaktik yang betul.
· Menggunakan imbuhan dengan lengkap. Imbuhan kata kerja transitif per-, -kan dan –i selenkapnya. Imbuhan yang menunjukkan bangun ayat, iaitu me-, di-, ter- dan ber- selengkapnya. Imbuhan kata nama bagi menunjukkan makna yang berbeza selengkapnya, iaitu pen- (alat dan agen), pen- ... –an (proses), per- ... –an (hasil dan tempat), ke- ... –an (abtrak), -an (hasil), dll.
· Menggunakan kosa kata yang terdiri daripada kata-kata konsep tinggi, kata yang lebih canggih bentuk dan maknanya.
· Ganti nama yang lebih sopan dan menghormati orang lain seperti beliau, mereka, saya, dll. (dan bukan Ai, Yu, dia orang, lu, dll.)
· Menggunakan bentuk gelaran yang lengkap: Dato, Tan Sri, Datin, dll.
· Ia menggunakan tanda baca yang lengkap
· Ia dapat mengungkapkan konsep, ilmu dan budaya tinggi
· Bahasa orang terpelajar.

b. Bahasa Melayu tinggi berbeza daripada bahasa Melayu rendah. Bahasa Melayu tinggi digunakan dalam konteks mengungkapkan budaya ilmu dan budaya tinggi. Ini adalah bertentangan daripada konteks bahasa Melayu rendah yang digunakan bagi konteks berjual beli dan interaksi sosial rendah yang terhad.

c. Konteks fizikal sangat menentukan taraf bahasa yang digunakan. Umpamanya, di dalam mahkamah, kita akan dengan sendirinya terpaksa menggunakan bahasa Melayu tinggi. Bahasa Melayu rendah seperti bahasa pasar tidak akan digunakan. Dalam mesyuarat, kita dengan sendiri memilih-milih perkataan dan ayat yang sesuai bagi mengungkapkan sesuatu idea, dan tidak mengeluarkan kata-kata sembarangan.

d. Menyedari kesan yang paling penting akibat menggunakan bahasa Melayu rendah ini ialah kita akan kelihatan tidak serius. Orang yang tidak menyusun perkara yang mahu diungkapkan dengan matang. Orang bercakap dengan tidak berfikir secara mendalam. Dia dipersepsi sebagai:

· tidak berkarisma
· tidak berilmu, bukan pakar (pengungkapan ilmu memerlukan bahasa tinggi, ilmu dan idea dalam bahasa kacukan tidak kelihatan keilmuwannya)
· tidak mahir menggunakan bahasa (pandai bercakap tidak dipandang tinggi dalam budaya Melayu, seperti orang kampung dan tidak bersekolah)
· tidak serius, seperti main-main apabila bercakap
· tidak bijaksana (malah bahasa kacukan tidak boleh serius, dijadikan bahan ketawa dan makar)
· menurunkan taraf atau tidak menghormati majlis dan hadirin
· belum habis berfikir, atau tidak berfikir sudah bercakap.
· kepimpinan yang lemah, tidak mempunyai kuasa persuasif.

Sebagai kesimpulannya, bahasa kacukan bukanlah bahasa budaya tinggi. Penuturnya dengan sendirinya menurunkan tarafnya kepada taraf orang tidak terpelajar, tidak berbudaya tinggi, main-main, tidak serius, tidak menghormati majlis dan pendengarnya. Penutur bahasa kacukan menurunkan karisma penuturnya.

Kebolehan kita menggunakan aneka bahasa Melayu tinggi ini menujukkan kita mempunyai kebijaksanaan budaya dan kebijaksanaan wacana. Inilah kecekapan berkomunikasi.

KEMAHIRAN MENGGUNAKAN KOMPUTER

Pada masa ini tidaklah dapat kita membayangkan orang yang tidak pernah melihat dan menggunakan komputer. Hampir setiap murid sekolah dan siswa universiti mempunyai kemahiran menggunakan komputer untuk menulis, mereka bentuk sesuatu, membuat desain grafik, membuat perakaunan syarikat, dll.

Persoalannya adalah ramai orang yang mempunyai kemahiran menggunakan komputer, tetapi bilangan yang mempunyai kecekapan komputer mungkin tidak ketara. Apakah yang kita maksudkan?

Komputer yang digunakan seperti mesin taip

Umpamanya sebagai contoh, kita mahu mempelawa rakan menulis artikel untuk sebuah jurnal. Lalu beliau bertanya, ”Artikelnya ditulis dalam single spacing atau double spacing?” atau “Berapa halaman?” Itu istilah yang digunakan untuk mesin taip. Sesiapa yang menggunakan komputer hanya mahu tahu Berapa perkataan?

Kejahilan mengoperasi kemudahan asas pemproses kata dan emel

Juga, dalam kuliah sarjana, hampir 200 pelajar pernah mengambil kuliah tatabahasa dan berfikir dalam masa 8 tahun. Apabila diminta memberi alamat emel, mereka belum ada. Jikalau ada, alamat itu tidak berfungsi. Dalam membuat tugasan, mereka diminta menghantar tugasan dalam fail melalui emel. Ini pun dilakukan dengan kepayahan yang amat sangat. Belum ada seorang pun daripada 200 itu yang menurut peraturan, iaitu menuliskan nama sendiri sebagai nama fail. Sebahagian daripadanya menuliskan nama kuliah dan yang lain nama pensyarahnya. Akibatnya fail tersebut dipadamkan oleh fail yang sampai kemudian sebab namanya sama. Ini memberi kesukaran besar kepada pensyarah.

Hampir semua pernah menghantar surat kosong tanpa lampiran.

Tracker dan comment

Apabila menjalankan bengkel menulis buku dan menterjemah, maka memeriksa dan menyunting tugasan para pensyarah adalah perkara biasa. Hampir setiap kali apabila ditunjukkan pengeditan pada skrin melalui LCD, masih ada yang bertanya ”Macam mana buat begitu?” Pada hal itu adalah asas dalam semua pemproses kata. Mereka belum tahu bagaimana menggunakan tracker dan comment.

Dictionary, tesaurus dan ensiklopedia

Apabila menjalankan bengkel menterjemah, kita perlu menggunakan kamus dan tesaurus dalam talian. Setiap kali juga hampir semua bertanya, ”Mana dapat dictionary itu?” Daripada peristiwa-peristiwa begini kita mengetahui bahawa kemahiran kita menggunakan komputer itu sangat asas, iaitu sebagai sebuah mesin taip sahaja.

Fail yang hilang, diserang virus dan komputer runtuh

Dalam setiap bengkel, dapat didengar rungutan peserta bengkel yang failnya hilang, komputernya runtuh, virus menyebabkan komputernya tergantung, dan bermacam-macam lagi. Padahal semua bahannya dapat disimpan dalam Google, Yahoo, dan Penyedia Khidmat sedemikian.

Kecekapan menggunakan komputer: cabarannya

Komputer adalah alat kerja sekarang. Ia cukup anjal dan mempunyai banyak kemudahanan. Daripada iklan menjual baju T dari rumah kepada mengadakan dan mengajarkan kursus, dapat dijalankan melalui komputer dan internet. Seorang arkitek muda yang mempunyai kecekapan menggunakan sofwer tertentu akan dapat mendesain karya yang tiga dimensi dengan lebih tepat, cepat dan cantik. Teknologi komputer membolehkan kita menjalankan kerja dengan lebih banyak, pantas dan efisien. Oleh sebab itu, cabaran kita adalah:

· Membina kecekapan asas dalam mengendalikan komputer
· Membina kecekapan menggunakan internet
· Membina kecekapan mencari maklumat melalui internet
· Membina kecekapan menggunakan sofwer, dll.

KEMAHIRAN MEMBACA

Pada zaman 1960-an kita sering mendapat cemuhan yang mengatakan penduduk Malsysia membaca hanya sekitar 1.5 halaman setahun. Namun, dalam kajian yang dilakukan oleh Perpustakaan Negara Malaysia, gambaran ini sudah menjadi lebih menceriakan. Profil Tabiat Membaca Penduduk Malaysia 1996, mencatatkan kadar celik huruf yang tinggi, iaitu 88%. Manakala, survei yang dilakukan pada tahun 2005 mencatakan bahawa rakyat Malaysia membaca 2.5 buku setahun. Namun demikian kita perlu melihat dapatan kajian lain yang dilakukan. Secara umum, ini dapat diterima, tetapi kita perlu melihat perinciannya. Sebab tafsiran sebenarnya mungkin tiak seindah itu.

Di samping itu, pada tahun 2007, Malaysian Book Publishers Association, dalam persidangan Asean Publishers Association di Sri Begawan mencatatkan perangkaan berikut. Kadar penerbitan buku di Malaysia masih rendah.

Penduduk dan Buku Diterbitkan per Tahun (MABOPA 2007)

No
Negeri
Penduduk
Buku
1
Vietnam
83 juta
21,191
2
Thailand
64 juta
11,600
3
Indonesia
220 juta
10,000
4
Malaysia
26 juta
8,550
5
Philippines
85 juta
5,429

Ini bermaksud perkembangan tabiat membaca ini adalah positif. Namun, ada suatu sisi lain yang kita perlu tahu. Statistik yang menyebabkan banyaknya buku dibaca itu adalah ditingkatkan oleh bilangan buku yang banyak dibaca oleh kanak-kanak dalam projek NILAM. Ada kanak-kanak yang membaca 120 buku seorang. Sedikit sebanyak ini memesonkan statistik kita. Keadaan sebenarnya lebih muram daripada itu. Ada dua buah kajian yang dapat kita jadikan rujukan.

Membaca dalam Kalangan Pelajar

Daripada pengamatan yang dilakukan terhadap 10 orang pelajar yang menjalankan latihan mengajar setiap tahun, dan sekitar 20 orang pelajar sarjana setiap tahun selama 8 tahun, tidak kelihatan keilmuan yang mendalam. Tidak ada seorang pun yang menunjukkan ada mempunyai himpunan ilmu dan maklumat asas dan tambahan sebagai bukti mereka telah menyerap pelbagai bidang ilmu asas mengenai sistem ekonomi, politik, sosial, nilai, agama, dll. Tidak pun mengenai apa yang berlaku dalam akhbar semasa. Kebanyakan mereka sangat bergantung kepada buku ulang kaji. Apa saja yang ada dalam buku ulang kaji komersial, difotostat dan dibawa ke bilik darjah. Bahan ulang kaji itu tidak pun disesuaikan.

Kita menghadapi krisis kesarjanaan.

Pernyataan isu ini dapat disokong oleh hasil kajian yang dibuat oleh Malaysia New Generation Group Intellectuals (MANGGIS) dan dilaporkan oleh pengkajinya Dr. Abu Hassan Hasbullah, daripada Jabatan Media, Universiti Malaya (April 2006). Hasil kajian ini patut diambil berat. Kajian ini melihat tradisi membaca pelajar dan pensyarah daripada institusi yang berlainan dan mengenai aspek-aspek yang berlainan juga. Laporannya memaparkan dapatan yang sangat membimbangkan. Dapatan kajian beliau ‘diambil secara keseluruhannya’ bagi menunjukkan betapa serius keadaan ini.

Sekiranya kita bertanyalah pada diri kita soalan perikut:

Apakah dapatan baru, kreativiti baru, pemikiran baru, konsep baru, benda baru kita jana sejak mula bertugas?
Apakah buku, jurnal atau majalah ilmu baru yang kita baca?
Sekiranya kita tidak menjana apa2 yang baru, pernahkah kita menuai dapatan penyelidik lain?
Apakah yang dikatakan teknologi nano?
Sudahkah kita membaca Dying to Win, Barack Obama: Mnerjah Harapan, Dari Jakarta Menuju Gedung Putih, Anak Bumi Manusia atau pernahkah kita mendengar nama buku Di Bawah Lindungan Kaabah, dll. ?

Kita akan mendapat jawapan yang sangat membimbangkan. Kajian ini menunjukkan secara purata setiap pelajar universiti di Malaysia hanya membaca sekitar 3 buah buku dalam 1 semester, dengan purata hanya 12 buah buku bagi 6 semester pengajian. Manakala bagi pelajar di kolej komuniti dan kolej universiti pada purata 8 buah buku untuk 6 semester, dan pelajar di politeknik hanya sekadar 4 buah buku. Di pusat-pusat latihan kemahiran dan vokasional seperti Institut Kemahiran MARA, Institut Latihan Perindustrian (ILP), Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN), dan yang lainnya pembacaannya hanyalah 2 buah buku sepanjang tempoh pengajiannya.

PERINGKAT (6 semester)
BUKU
JURNAL
MAJALAH
JUMLAH
Universiti
12
3
3
18
Kolej Universiti
7
2
4
13
Kolej Komuniti
5
3
2
10
Politeknik
4
2
3
9
Inst. Latihan Perindustrian
2
0
2
4
Inst. Kemahiran MARA
2
1
3
6
Inst. Kemahiran Belia Negara
3
1
2
6
Jumlah
35
12
19
66

Jadual 1. Statistik Pembacaan IPT Malaysia Bagi Tahun 2003-2005 (Laporan dan Penyelidikan oleh Unit Indeks Pembacaan MANGGIS.)

Apabila dibandingkan dengan indeks pembacaan di dalam beberapa negara terpilih, tahap pembacaan pelajar di institusi pengajian tinggi di Malaysia adalah rendah. Kita perlu bimbang melihat kedudukan ini kerana pembacaan yang rendah itu menggaris bawahi kedaifan intelektual. Pelajar universiti di Austria membaca sekitar 35 buah buku dalam 1 semester dengan purata 180 buah buku untuk 6 semester. Pelajar di negara India pula membaca 132 buku dalam 6 semester, dan pelajar di Indonesia membaca sekitar 94 buku setahun, dan apabila diambil kira jurnal akademik dan majalah ilmiah pembacaannya meningkat menjadi 145 buah untuk 6 semester. Malaysia hanya 18.

NEGARA (6 semester)
BUKU
JURNAL
MAJALAH
JUMLAH
Brunei
26
9
11
46
Indonesia
94
21
30
145
Thailand
56
14
27
97
India
13
23
41
196
Austria
180
56
23
259
Estonia
88
42
18
148
Latvia
61
27
17
105
MALAYSIA
1
3
3
18

Jadual 2. Statistik Pembacaan Pelajar Universiti Negara Kajian Bagi Tahun 2003-2005 (Laporan dan Penyelidikan oleh Unit Indeks Pembacaan MANGGIS)

Cara mendapatkan bahan bacaan, sama ada membeli, meminjam dan lain-lain juga menunjukkan trend yang membimbangkan. Di Asia, pelajar India mendapatkan 196 bahan bacaan, manakala pelajar Malaysia hanya 18 bagi tahun 2003-2005. Di Asia Tenggara, pelajar Indonesia mendapatkan 145 bahan bacaan. Sedangkan Brunei membeli lebih banyak bahan. Pelajar Malaysia hanya membeli 4 buku pada hal pelajar Malaysia mempunyai biaya yang lebih.

NEGARA (6 semester)
BELI
PINJAM
LAIN-LAIN
JUMLAH
Brunei
15
29
2
46
Indonesia
43
100
2
145
Thailand
31
60
6
97
India
75
114
7
196
Austria
160
94
5
360
Estonia
71
70
7
148
Latvia
55
45
5
105
MALAYSIA
4
11
3
18

Jadual 3. Statistik Pembelian, Pinjaman dan Pembacaan Pelajar Universiti Negara Kajian Bagi Tahun 2003-2005 (Laporan dan Penyelidikan oleh Unit Indeks Pembacaan MANGGIS)

Kadar pembacaan yang rendah itu membawa kesan yang serius terhadap tradisi kesarjanaan yang menuntut para pelajar dan pengajar memiliki ilmu pengetahuan yang tinggi, luas dan mengembang sesuai dengan keperluan menjadi guru, dan keperluan perjawatan lain.

Membaca Dalam Kalangan Pensyarah

Sekiranya kita merasa kecewa membaca statistik membaca dalam kalangan pelajar, kita harus merasa bimbang apabila melihat statistik membaca dalam kalangan pensyarah.

Perkara yang sangat membimbangkan lagi dan malah ‘membahayakan’ dipaparkan oleh jumlah pembacaan buku dalam kalangan pensyarah dan guru di institusi-institusi yang sama. Pembacaan juga mengecut secara purata menjadi 20 buku setahun untuk pensyarah universiti, 13 buah bagi pensyarah kolej komuniti dan kolej universiti, dan cuma 6 buah untuk pengajar di institut kemahiran.

PERINGKAT/ (6 semester)
BUKU
JURNAL
MAJALAH
JUMLAH
Universiti
20
10
11
33
Kolej Universiti
13
8
6
27
Kolej Komuniti
11
4
4
19
Politeknik
9
2
4
15
Institut Latihan Perindustrian
6
1
3
10
Institut Kemahiran MARA
6
2
5
13
Institut Kemahiran Belia Negara
5
0
4
9
Jumlah
70
27
37
134

Jadual 4. Statistik Pembacaan Pengajar IPT Malaysia Bagi Tahun 2003-2005 (Laporan dan Penyelidikan oleh Unit Indeks Pembacaan MANGGIS)

Indeks ini sangat memeranjatkan dan menimbulkan isu besar terhadap kualiti pengajaran dan pembelajaran di institusi pendidikan tinggi dan kemahiran kita. Isu pembacaan buku di kalangan sarjana universiti ini harus dibincang secara serius demi memastikan lulusan universiti menjadi berilmu tinggi dan luas.

NEGARA (6 semester)
BUKU
JURNAL
MAJALAH
JUMLAH
Brunei
56
18
27
101
Indonesia
121
42
52
215
Thailand
80
35
42
157
India
137
54
69
260
Austria
153
77
51
281
Estonia
109
60
36
205
Latvia
96
42
36
174
MALAYSIA
20
10
11
33

Jadual 5. Statistik Pembacaan Pengajar Universiti Beberapa Negara Pilihan: Kajian Bagi Tahun 2003-2005 (Laporan dan Penyelidikan oleh Unit Indeks Pembacaan MANGGIS)

Jurang pembacaan yang besar di antara sarjana di Malaysia dan negara lain seperti Austria, India, Estonia termasuk negara-negara ASEAN iaitu Indonesia, Thailand dan Brunei menunjukkan suatu kekurangan besar dalam tradisi kesarjanaan di Malaysia. Berbanding dengan 153 buku yang dibaca oleh pensyarah di Austria, Estonia (109), India (137), Indonesia (121), Thailand (80), dll. ternyata pembacaan pensyarah di institusi pengajian tinggi di Malaysia berada pada tahap yang sama sahaja dengan pelajarnya. Kita menghadapi masalah pembangunan idealisme dan pengetahuan baru dalam pendidikan kesarjanaan.

Bagaimana dengan Mahakarya

Kajian MANGGIS pada tahun 2005 juga medapati daripada 50 calon pasca siswazah di universiti tempatan hanya 5 orang pernah membaca Hikayat Hang Tuah dan Sejarah Melayu dan itupun semuanya pelajar berbangsa Melayu manakala 10 pelajar berbangsa Cina dan 10 pelajar berbangsa India yang ditemubual langsung tidak pernah mengetahui teks mahakarya berkenaan. Ini tentu mendatangkan kesan negatif terhadap proses pembangunan masyarakat dan negara.

NASKAH (50 responden)
MELAYU
CINA
INDIA
LAIN
Sejarah Melayu
5
0
0
2
Hikayat Hang Tuah
5
0
0
1
Syair Siti Zubaidah
0
0
0
0
Iakah Salmah?
0
0
0
0
Anak Mat Lela Gila
1
0
0
0
Al-Syiqaq l
0
0
0
0
Salina
3
0
1
2









Jadual 6. Statistik Pembacaan Mahakarya Pelajar Universiti Bagi Tahun 2005 (Laporan dan Penyelidikan oleh Unit Indeks Pembacaan MANGGIS)

Proses pembagunan bangsa menuntut supaya pelajarnya berdamping dengan teks-teks agung sebagai sumber kebudayaan, kesenian, kesusasteraan dan peradaban bangsa. MANGGIS membuat pemerhatian bahawa tidaklah menghairankan apabila para sarjana ini terpisah daripada nilai ketamadunan bangsa mereka, menjadi semakin hari semakin bepecah. Seluruh bangsa Malaysia semakin konfius, keliru dan huru hara dalam segala aspek moral, akhlak dan intelektual lantaran tidak adanya kesedaran nasionalisme terhadap kebudayaan teras yang membina tamadun bangsa. Tidak dapat disembunyikan lagi yang Melayunya makin jauh dari ruh budaya resamnya, yang Cina dan India makin jauh daripada menerima kebudayaan Melayu sebagai teras dan ruh yang membentuk identiti negara ini.

Fakulti / KAUM
MELAYU
(25 org)
CINA
(25 org)
INDIA
(25 org)
LAIN
(25 org)
Fakulti Sastera, Sains Sosial
25
9
13
4
Fakulti Ekonomi, Perniagaan
21
4
7
4
Fakulti Undang-undang
19
1
1
0
Fakulti Sains, Kejuruteraan
21
0
0
0
Fakulti Perubatan, Pergigian
17
0
0
0
Fakulti Media, Komunikasi
24
5
0
6
Fakulti Sains Komputer, IT
20
0
1
3

Jadual 7. Statistik Pembacaan Buku Berbahasa Melayu Pelajar Universiti Bagi Tahun 2005 (Laporan dan Penyelidikan oleh Unit Indeks Pembacaan MANGGIS)

Jadual 7 menunjukkan jurang yang mengerikan terutama apabila bercakap tentang bagaimana buku dan pembacaannya akan membina identiti budaya dan akan memperkukuhkan identiti nasional bangsa Malaysia. Daripada 25 orang responden di setiap kumpulan fakulti disiplin, jumlah pelajar mengikut kaum yang membaca buku berbahasa Melayu, didapati hanya pelajar berbangsa Melayu yang menunjukkan jumlah hampir maksimum kesemua membaca buku berbahasa Melayu. Buku yang disebutkan dalam kajian kes ini ialah buku ilmiah, tanpa mengira bidang dan juga novel.

Apa yang Mereka Baca?

Sebuah survei terhadap bahan yang dibaca oleh 100 orang pelajar tahun dua di sebuah universiti (2008), nama institusi dirahsiakan, didapati pelajarnya membaca bahan berikut:

1. Membaca antara 7 – 17 buku dalam masa 3 semester.
2. Buku teks sekitar 20% (Psikologi, Pedagogi, Sejarah, Keusahawanan, TITAS, dll.)
3. Novel Remaja lebih dpd 70% (spt Cinta Pertama, Adam dan Hawa, dll)
4. Buku agama 5% (Wanita solehah, doa-doa)
5. Buku ilmu – 5%
6. Buku rujukan - tiada
7. Buku bahasa Inggeris – tiada

Daripada dapatan di atas, ternyata kemahiran membaca pelajar ini tidak membantu sejumlah besar mereka. Mengapa?

Tahap Kecekapan Membaca Yang Membebankan atau “Stressfull”

Dalam sebuah latihan membaca, enam pelajar pasca siswazah diminta membaca sebuah buku kecil, 180 halaman. Selepas seminggu, mereka belum dapat membacanya. Maka tuasan mereka dikurangkan kepada membaca satu bab, sekitar 20 halaman, dan hasilnya menunjukkan mereka menghadapi masalah. Masalah itu bukanlah kerana mereka tidak mempunyai kemahiran membaca. Mereka mahir membaca. Masalah mereka adalah pada kecekapan berbahasa. Mereka lambat membaca. Mereka tidak dapat mengesan maklumat daripada bahan bacaan. Mereka menghadapi masalah kecekapan membaca. Apakah yang dimaksudkan. Marilah kita gunakan kiasan ini.

Orang yang lulus ujian memandu akan mendapat lesen memandu. Dia sudah mahir memandu. Dia mungkin tidak ada kecekapan memandu. Kecekapan memandunya mungkin sangat rendah, dia mungkin membuat kesalahan, membuat keputusan yang salah, dll. Akibatnya dia tidak memandu dengan berkesan. Kemahiran dan kecekapan ini pula berkait rapat dengan alat yang digunakan. Pemandu yang bekemahiran dan mempunyai kecekapan tinggi, tidak akan dapat memandu dengan baik jikalau keretanya tidak dijaga rapi, tidak mempunyai brek yang berkesan, dll.

Pokoknya, presatsi kita tidak bergantung pada kemahiran sahaja. Ia juga ditentukan oleh tahap kecekapan itu, dan juga alat yang kita gunakan. Hanya orang yang mahir, mempunyai kecekapan tinggi dan menggunakan alat yang efisien akan mencapai objektif yang maksimum.

Pelajar kita ini mahir membaca, namun mereka tidak mempunyai kecekapan. Kecekapan mereka membaca sangat ditentukan oleh satu perkara lain, iaitu himpunan ilmu asas yang diketahuinya. Kita akan hanya dapat memahami apa yang dibaca sekiranya kita mempunyai ilmu asas dalam bidang itu. Itulah yang tidak ada pada pelajar kita. Himpunan ilmu asas mereka sangat cetek. Apabila diminta membuat definisi, mereka merujuk kepada Kamus Dewan, dan adalam ilmu psikologi dan sosiologi pendidikan, mereka masih merujuk kepada Ee Ah Meng dan Mok Song Sang, dll. Mereka juga tidak dapat membezakan antara kewibawaan ilmu dengan maklumat umum, lalu mereka merujuk kepada makalah akhbar, majalah dan tidak kepada buku ilmu dan jurnal.

Kita betul-betul menghadapi krisis kesarjanaan di sini. Kita bukan sahaja mahukan orang pandai membaca, tetapi dapat mencapai tahap kecekapan “membaca dengan seronok, bukan dengan rasa terbeban, bagi mendapat ilmu dan maklumat, dan bukan sekadar mendapat hiburan, bagi mencapai tahap kematangan berilmu, dll. Tanpa ilmu, kemahiran lain-lain yang ada pada mereka seperti berfikir dan berkomunikasi juga akan menjadi tidak berkesan.

Cabaran dan Saranan

Ternyata memberi kemahiran membaca sahaja tidak mencukupi. Pensyarah an pelajar perlu ada kecekapan membaca, sehingga dapat membaca bagi mencari maklumat dengan tidak merasa ”stressful.” Hanya setelah memahami bahawa berilmu itu penting bagi membina kecekpan membaca, barulah timbul kesedaran membaca untuk mendapat pengetahuan. Bagi mengatasi masalah ini kita perlu memikirkan langkah positif:

Langkah jelas dan positif perlu diambil bagi meningkatkan kecekapan kemahiran membaca yang ada pada pelajar dan pensyarah. Adakan pengawasan dan pemantauan yang jelas.
Adakan diskusi buku.
Kita perlu memikirkan bagaimana dapat memperlengkap para pensyarah, pelajar (terutama guru) dengan ilmu dan maklumat asas dan tambahan bagi membolehkan mereka melaksanakan tugas dengan lebih berwibawa dan menarik. Himpunan ilmu-ilmu asas (the basic stock of knowledge) perlu dikenal pasti dengan teliti, digabungjalinkan dalam kurikulum pendidikan, dan disampaikan melalui sistem pendidikan kita. Pernah di Eropah dan Amerika Utara para pelajar diwajibkan membaca 100 karya agung (100 Great Books).
Membaca ilmu hendaklah dijaikan matlamat membaca, bukan hiburan semata.
Sebarang bentuk bahan ulang kaji dan diges perlu disekat daripada digunakan dalam bilik darjah oleh guru pelatih pada tahap universiti. Amalan ini adalah anti ilmu. Guru pelatih hendaklah membina bahan mengajar sendiri.

KEMAHIRAN BERFIKIR

Mengajar berfikir adalah diwajibkan dalam mengajarkan bahasa Melayu. Butiran mengenai unsur berfikir yang disenaraikan dalam sukatan pelajaran Bahasa Melayu (2002 Semakan) kelihatan rinci dan jelas. Namun tugas memahaminya amat menyulitkan guru (dan pelajar memahaminya), apa lagi mengajarkannya. Masalah ini berkaitan dengan pengajaran matapelajaran ini terlalu meluas, pelbagai dan ada kalanya abstrak. Kertas kerja ini melaporkan hasil sebuah kajian dalam usaha mengajarkan kemahiran berfikir kepada guru pelatih di universiti, khususnya kemahiran berfikir.

Mengajarkan berfikir lojikal (silogisme deduktif dan induktif)

Pelajar diberi penjelasan tentang struktur silogisme yang mudah bagi membuat kesimpulan, iaitu mesti ada:

Premis: iaitu pernyataan sesuatu yang benar
Isu: iaitu perkara yang perlu diputuskan
Kesimpulan: iaitu pernyataan sesuatu kebenaran berlandaskan premis.

Contoh:

Premis: Semua makhluk bernyawa mesti mati.
Isu: Manusia adalah makhluk bernyawa.
Kesimpulan: Manusia mesti mati.

Kesimpulan yang mengatakan ”Manusia mesti mati” itu adalah benar sekiranya premis ”Semua manusia akan mati” itu benar.

Semua pelajar sukar menguasai sistem berfikir lojikal yang menggunakan silogisme sarjana Yunani. Seramai 15 orang, iaitu 10%, daripada kelas seramai 113 orang pelajar gagal. Mereka mengalami kesukaran menguasai yang dikatakan silogisme. Apabila diajarkan silogisme Yunanai, mereka kelihatan faham dan dapat mengulang-ngulang silogisme yang sama. Namun apabila diminta mengenal pasti falasai, didapati mereka gagal mencari silogisme tersebut.

Contoh:
Premis: Masyarakat cina adalah sebahagian daripada rakyat Malaysia.
Isu: Masyarakat cina telah dipinggirkan secara sistematik.
Kesimpulan: Semua masyarakat cina di Malaysia telah dipinggirkan secara sistematik.

Ulasan: Dalam silogisme di atas, premis tidak terdiri daripada pernyataan kebenaran mutlak. Kemudian ia diikuti pula oleh pernyataan isu yang hanya menjadi penjelasan lanjut, bukan sebagai sebahagian daripada premis.

Contoh:
Premis: Dana untuk peruntukkan membaik pulih sekolah cina telah disalahgunakan
Isu: Kementerian Pelajaran bertanggungjawab dalam menguruskan dana tersebut.
Kesimpulan: Kakitangan Kementerian Pelajaran telah menyalahgunakan peruntukkan untuk membaik pulih sekolah jenis kebangsaan cina.

Ulasan: Kesimpulan yang dibuat tidak relevan dengan pernyataan premis dan isu.

Contoh:
Premis: Kenderaan yang bergerak perlahan dapat mengurangkan kemalangan jalan
raya di musim perayaan.
Isu: Semua had laju kenderaan di musim perayaan akan diturunkan.
Kesimpulan: Had laju yang rendah di musim perayaan akan mengurangkan kemalangan
jalan raya.

Ulasan: Ini menunjukkan ada sedikit perkaitan antara premis, isu dan kesimpulan. Akan menjadi lojikal sekiranya dikatakan seperti berikut:

Premis: Sekiranya had laju motokar dikurangkan, maka kemalangan jalan raya akan berkurangan.
Isu: Had laju motorkar dikurangkan.
Kesimpulan: Oleh sebab itu, kemalangan jalan raya akan berkurangan,

Contoh:
Premis: Pencuci muka mampu memberikan kulit wajah kelihatan anggun dan menarik.
Isu: Rahimah menggunakan Olay setiap kali semasa mandi.
Kesimpulan: Setelah menggunakan Olay, Wajah Rahimah kelihatan anggun dan menarik.

Ulasan: Tidak dapat membina silogism berstruktur.

Contoh:
Apabila diminta memberi contoh Falasi Hitam-Putih, jawaoannya seperti berikut:
Amaran Kerajaan terhadap Noor Jan yang berniat memberikan pengurniaan darjat kepada orang pilihannya. ”entikan rancangan mengurniakan darjah kebesaran kepada orang ramai atau hadapi tindakan undang-undang. Kata dua Jabatan Perdana Menteri kepada penuntut takhta Kesultanan Melaka, Raja Noor Jan Shah Raja Tuah. “Sebarang pengurniaan gelaran darjah kebesaran, bintang dan pingat di Malaysia, yang tidak diiktiraf kerajaan, boleh dikenakan tindakan sewajarnya oleh pihak berkuasa.”
Menurut kenyataan ini, kerajaan hanya ,memberi kata dua kepada Nor Jan sama ada berhenti mengurniakan darjah kebesaran kepada orang ramai atau menghadapi tindakan kerajaan.

Ulasan: Tidak ada isu.

Contoh Falasi Boneka
Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menegaskan, amalan berkongsi perayaan kaum di negara ini tidak mencemarkan agama sebaliknya ia dapat mengeratkan lagi perasaan muhibah di kalangan rakyat Malaysia. ”Kita seolah-olah telah lakukan sesuatu yang melanggar akidah dan agama, (sedangkan) tidak ada langsung. Seolah-olah orang bukan Islam pergi ke masjid, orang Islam pergi ke candi (kuil) atau tempat-tempat yang ada hubung kait dengan agama masing-masing. Bukan macam itu. Kita ucapkan Selamat Hari Raya kepada mereka, kepada isteri dan anak-anak mereka. Tiada masalah langsung malah ia bukan berhubung kait dengan perbuatan mencemarkan agama kita atau agama mereka... tidak.”

Falasi yang digunakan adalah falasi Boneka. Ini kerana Perdana Menteri tidak setuju dengan pandangan sesetengah pihak yang melarang diadakan sambutan “kongsi raya” dan beliau sengaja membesar-besarkan alasan bahawa sambutan tersebut tidak menyalahi syarak tanpa adanya sebarang bukti.

Ulasan: Tidak ada premis, tidak ada isu.

Contoh:
Seterusnya, terdapat juga falasi bersandarkan pada orang lain yang berlaku apabila kita percaya bahawa ada orang lain yang berkata hal itu benar. Sebagai contoh dalam keratan akhbar Kosmo (25 September 2006) yang melaporkan ‘Malang bagi seorang lelaki apabila ditemui mati akibat diserang histeria ketika membuang air besar di tepi jalan di kilometer 9.6, Lebuh Raya Elite pagi semalam’. Kenyataan tersebut hanya dilaporkan oleh akhbar dan masyarakat kebanyakannya terus mempercayai lelaki tersebut mati akibat serangan histeria tetapi tidak mustahil terdapat juga sebab lain yang tidak diketahui. Tetapi, apabila akhbar menyatakan bahawa lelaki tersebut mati akibat histeria maka semua orang turut mempercayainya. Jadi, kenyataan tersebut juga mempunyai falasi.

Ulasan: Apa falasinya?

Tradisi berfikir secara lojikal begini adalah sesuatu yang artifisial dalam budaya orang timur. Ia perlu dipelajari. Apalah yang kita hairankan. Para pemimpina kita juga membuat kesilapan berfikir ini dengan melahirkan falasi yang lebih serius. Serius benar apabila ia melibatkan tindakan negara yang melibatkan belanja dan kos dan masa yang besar. Ia melibatkan perjudian masa depan murid dan pelajar. Lihat contoh berikut:

a. Dalam perhimpunan UMNO (2006) ada seorang perwakilan, yang juga adalah wakil rakyat, mengemukakan hujah begini mengenai isu PSMI. Beliau berkata, “Saya pun ada buat research sikit. Saya tanya anak penakan (saudara) saya, dia fahamkan belajar dalam bahasa Inggeris. Dia kata tidak ada masalah pun. Jadi kenapa kita mesti balik ke bahasa Melayu.” Struktur lojik beliau adalah begini:

Premis: Apabila anak saudara saya tidak ada masalah belajar sains dan matematik dalam bahasa Inggersis, maka semua pelajar dalam negara ini mesti tidak ada masalah juga.
Isu: Anak saudara saya tidak ada masalah.
Kesimpulan: Semua murid di Malaysia pasti tidak menghadapi masalah.

Kenyataan yang dijadikan premis itu tidak sah. Apa yang dialami oleh satu dua orang tidak boleh dijadikan kesimpulan silogisme induktif yang sah. Perkara yang berlaku pada satu orang tidak boleh mewakili semua orang. Lagi pun kekuatan pernyataan itu sangat lemah. Penyelidikan yang berwibawa bukan begitu caranya. Laporan peribadi daripada anak penakan beliau tidak bolehpun dipercayai. Penyelidikan melalui pemerhatian lebih wajar dalam hal ini.

b. Seorang pensyarah universiti pun ada membuat kesimpulan demikian. Contohnya pensyarah itu berkata, ”Orang Melayu tidak membaca, kerana saya dapati jualan akhbar Melayu jatuh.” Struktur hujahnya adalah begini

Premis: Apabila jualan akhbar Melayu jatuh, maka orang Melayu tidak membaca.
Isu: Jualan akhbar Melayu jatuh.
Kesimpulan: Maka betullah, orang Melayu tidak membaca.

Tentu sekali premis ini tidak sah. Ada banyak sebab lain jualan akhbar Melayu merosot. Unsur kredibiliti akhbar itu sendiri adalah lebih menentukan jualannya.

c. Malah kita mendengar ’menteri’ juga mengeluarkan pendapat demikian. Umpamanya dalam hal persepsi terhadap bahasa Inggeris.

Premis: Orang yang pandai berkomunikasi dalam bahasa Inggeris mendapat kerja.
Isu: Pelajar Melayu tidak pandai berkomunikasi dalam bahasa Inggeris.
Kesimpulan: Oleh sebab itu pelajar Melayu tidak mendapat kerja.

Dan, baru-baru ini timbul pula falasi begini. Pelajar IPTA tidak adapat kerja keraja tidak ada ”soft skills,” lalu mereka diajarkan soft skills. Struktur hujahnya adalah seperti berikut:

Premis: Orang yang tidak ada soft skill tidak mendapat kerja.
Isu: Semua pelajar IPTA tidak ada soft skill.
Kesimpulan: Semua pelajar IPTA tidak dapat kerja.

Oleh sebab kita semua mahu graduan IPTA kita mendapat kerja, maka kita pun mengajarkan mereka bahasa Inggeris dan soft skill. Tetapi ternyata mereka masih tidak mendapat kerja. Tetapi setelah belajar bahasa Inggeris dan soft skill, mereka masih tidak mendapat kerja. Ada juga yang mengatakan graduan guru pun tidak mendapat kerja kerana salah latihan. Kalau itu menjadi premisnya maka tidak hairanlah ’menteri’ meminta mereka dilatih semula. Tetapi mereka masih tidak mendapat kerja.

Mungkin jelas kepada mereka sekarang bahawa graduan kita tidak dapat kerja itu, adalah kerana sebab lain. Tidakkah kita terfikir bahawa mereka tidak mendapat kerja kerana pekerjaan yang tidak ada. Oleh sebab itu struktur silogismenya harus begini.

Premis: Apabila graduan menganggur, ternyata perkerjaan tidak ada.
Isu: Graduan kita menganggur.
Kesimpulan: Oleh sebab itu, sah pekerjaan tidak ada.

Sekiranya ini yang menjadi premis dan kesimpulan, maka kerajaan akan berusaha menggerakkan ekonomi bagi mewujudkan lebih banyak pekerjaan, bukan memberi solusi yang tidak dapat memberi pekerjaan.

Ulasan sampingan yang terdapat dalam menganalisis 113 jawapan pelajar adalah, ternyata bahan bacaan mereka sangat dangkal. Mereka membaca Kosmo dan Mastika. Kita berharap pelajar di IPTA membaca buku, jurnal dan majalah ilmu.

Cabaran dan Saranan

Ada beberapa perkara penting yang perlu dilakukan dalam mengajarkan berfikir. Kita tentu boleh sahaja mengajarkan kemahiran berfikir seperti sekarang. Kita mengajar lojik dan falasi supaya kita mengenali kenaytaan yang falasi, kita boleh sahaja mengajarkan berfikir kreatif dan kritis, meminta pelajar an pegawai berfikir di luar kotak, tetapi kecekapan dalam berfikir akan hanya tercapai apabila kita memenuhi syarat-syarat lain.

Mempunyai himpunan ilmu asas. Kemahiran berfikir itu hanyalah teknik, ia perlu memproses bahan. Apa bahannya. Kita dapat sahaja melihat bagaimana orang yang mempunyai kemahiran membuat roti dapat menghasilkan roti apabila dia diberi tepung sebagai bahan untuk diuli. Orang yang diajar kemahiran berfikir perlu ilmu dan maklumat untuk berfikir an menjana idea baru. Tanpa ilmu, tanpa maklumat apa yang hendak difikikan. Kita kembali kepada persoalan dasar, pelajar mesti menguasai maklumat dan ilmu. Apabila itu berlaku barulah mereka mempunyai bahan untuk difikirkan.
Kita memberi tumpuan juga kepada lojik dan falasi. Inilah keperluan yang berlaku pada setiap hari.
Lebihkan latihan membuat pemikiran abstrak. Itulah yang paling lemah dalam kalangan pelajar pasca sarjana. Kegagalan berfikir secara abstrak menyebabkan mereka gagal membentuk hipotesis daripada apa yang diamati. Mereka gagal menyorot permasalahan, pokok persoalan, dan sebagainya.
Lebihkan latihan berfikir inventif dan inovatif. Malah inilah yang dapat melahirkan idea, konsep, proses, alat dan nama baru, iaitu teknologi baru. Berfikir secara kritis tidak dapat melahirkan apa-apa yang baru, melainkan pembaikan sahaja.
Ubah falasi yang ilmu dan maklumat adalah segala-galanya. Pada zaman kegemilangannya, Baghdad megah dengan Baitul Hikmah dan ilmunya. Ia diranapkan oleh Haluga Khan padan tahun 1258 kerana ilmunya tidak dijadikan teknologi, teknologi berperang.
Galakkan penyelidikan membina teori baru, konsep baru, proses baru, membaiki teori yang sedia ada, menghasilkan alat dan prosedur baru, dll.
Gugurkan objektif ”pelajar mesti mahir memberi pendapat yang bernas, mempengaruhi orang, dll. Pendapat tidak boleh bernas dan mempengaruhi orang. Dalam komunikasi, yang mempengaruhi orang adalah fakta, dapatan penyelidikan pakar, statistik, ahli pakar; bukan pendapat peribadi.

KESIMPULAN
Cabaran yang menghadapi kita adalah memahami kemahiran apa yang perlu kita ajarkan kepada siswa kita.

Tidak ada kemahiran baharu daripada apa yang sudah diperkenalkan.
Cuma, kita perlu memberi perhatian kepada tahap kecekapan. Pencapaian tahap kecekapan yang boleh memanfaatkan kemahiran adalah rata-rata memerlukan himpunan ilmu asas. Berkomunikasi memerlukan ilmu supaya mencapai kecekapan tinggi, membaca memerlukan ilmu asas bagi mencapai kecekapan tinggi, berfikir memerlukan ilmu asas bagi mencapai kecekapan tinggi, menggunakan komputer juga memerlukan ilmu asas yang banyak.
Pertingkatkan kecekapan membaca dengan langkah-langkah tegas.
Adalah penting untuk kita belajar kemahiran menggunakan komupter dan sofwernya dalam proses belajar dan bekerja sekarang. Kemahiran tiak mencukupi. Kecekapan hanya tercapai apabila kita dapat menggunakan komputer bagi menjalankan kerja-kerja kita, termasuklah memanfaatkan sofwernya. Ini jelas sekali dalam keperluan kepengarangan, perakaunan, mereka bentuk, menyelesaikan masalah dll.
Tahap kecekapan yang lebih baik dalam komunikasi juga memerlukan kefahaman budaya yang tinggi.

Pendek kata, dalam konteks pembelajaran sekarang, himpunan ilmu adalah penting. Tanpa himpunan ilmu, kita akan menghadapi kendala dalam membina sebarang kemahiran, terutama sekali membaca dan berfikir.


RUJUKAN

Hamel Gary & Prahalad C.K., (1994). Competing For The Future, Boston: Harvard Busi. Sch. Press.
Hofstede Geert, (1991). Cultures and Organizations Software of The Mind, Cambridge: Lorriman John & Kenjo Takashi. (1994). Japan's Winning Margins, Oxford: Oxford University Press.
Lampikoski Kari & Emden Jack. (1996). Igniting Innovation, England: John Wiley & Sons.
Murakami T., & Nishikawa T. (1991). Strategy For Creation (terj.). Cambridge: Woodhead Pub. Ltd.
McGraw-Hill Book Co., Cambridge.
Rahimah Ahmad (1996) Profil Tabiat Membaca Penduduk Malaysia 1996
Rahimah Ahmad. 2005. Profil Tabiat Membaca Penduduk Malaysia 2005
Tatsuno Sheridan, (1990). Created In Japan: From Imitators to World-Class Innovators, Harper Busi.

No comments: