Tuesday, August 19, 2008

BAHASA MELAYU SEBAGAI WADAH ILMU DAN KOMUNIKASI PRAKTIK: HAKIKAT, CABARAN DAN HALATUJU

A Three-Day Round-Table Meeting on Malay Language, Knowledge and Communication
26-28 March 2008, Leiden University, The Netherlands

MENILAI PERANCANGAN BAHASA MELAYU SETAKAT INI

Professor Emeritus Abdullah Hassan, Ph.D.
Universiti Pendidikan Sultan Idris, 35900 Tanjung Malim, Malaysia


Abstract
Language Planning in Malaysia This Far. Language planning is often defined as efforts to create or improve a language’s spelling system and its pronunciation, grammar and lexicon (terminologies). The language cultivation part is often not addressed and discussed. As such this paper will analyze and discuss the Malay language planning efforts undertaken thus far by agencies like the Dewan Bahasa dan Pustaka, educational institutions (universities), publishers (and the media), etc. It will evaluate the success achieved. Greater focus will be given to the efforts to enrich the repository of knowledge in Malay, looking into success todate, problems encountered, and the future needs to be addresssed.

PENGENALAN

Bagi membincangkan prestasi bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu, pengarang membuat rujukan khususnya kepada bahan penyelidikan peribadi yang terkumpul mengenai permasalahan ini. Sumber keduanya adalah daripada kertas kerja dalam semua Kongres Bahasa dan Persuratan Melayu 1 – VII, dan Persidangan Penterjemahan Antarabangsa 11 yang berlaku dalam tahun-tahun 2002-2007. Kongres Bahasa dan Persuratan Melayu Ke-VII ini berlangsung pada 6 - 8 November 2006, di Balai Budaya Tun Syed Nasir, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Kuala Lumpur, kita dapat menyimpulkan suatu keadaan yang tidak menentu, dan taraf bahasa Melayu tidak terjamin oleh janji-janji Kerajaan memperkasakan dan mengantarabangsakan bahasa Melayu. Dalam ungkapan demikian tersirat maksud yang ia masih belum demikian, maka ia menjadi isu yang perlu dikongreskan.

Maka, dalam upacara perasmian Kongres VII tersebut YBM Tengku Razaleigh bin Hamzah, Ahli Parlimen Gua Musang, dengan tepatnya mengungkapkan isu yang dihadapi oleh bahasa Melayu mengenai status dan fungsinya sebagai Bahasa Kebangsaan. Beliau menggesa Kerajaan Malaysia mengkaji semula dasar menggunakan bahasa Inggeris bagi mengajarkan Sains dan Matematik. Bahasa Melayu adalah Bahasa Kebangsaan Malaysia, dan hendaklah digunakan bagi menjalankan fungsi rasmi negara, termasuklah menjadi bahasa pengantar pendidikan. Malah, dalam majlis penutup Kongres VII yang disempurnakan oleh YB Senator Dato' Dr. Mohd Puad Zarkashi, Ketua Penerangan UMNO Johor, isu ini diunkapkan lagi. Beliau menegaskan betapa pentingnya dikembalikan pengajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Melayu. Beliau berjanji membawa Resolusi Kongres ke Perhimpunan Agung UMNO 2006 yang berlangsung pada 13-17 November 2006. Beliau berbuat begitu, namun liputan akhbar mengenainya disepikan.

Sesi sidang bermula pada 7 November bertempat di Balai Budaya Tun Syed Nasir, DBP. Kongres membahaskan lima persoalan bahasa dan persuratan Melayu, seperti berikut.

ISU SEMASA MENGENAI BAHASA PENGANTAR PENDIDIKAN

Begitu meyakinkan kejayaan dasar pendidikan Malaysia melalui Dasar Bahasa Kebangsaan, tiba-tiba, perubahan dilakukan. Walaupun ini tidak dikatakan dilakukan secara tiba-tiba, tetapi bunga-bunga kelihatan seawal 1995. Kementerian Pendidikan Malaysia telah meliberalisasi dasar bahasa pengantar di Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS). Perdana Menteri telah mengizinkan bahasa Inggeris digunakan bagi mengajarkan sains dan teknologi di Institusi Pengajian Tinggi ITPA (Sunday Times 9 Julai 1995). Ini diikuti pula oleh, Akta Pendidikan 1996, yang membenarkan universiti dan kolej swasta ditubuhkan dengan menggunakan bahasa Inggeris keseluruhannya. Kemudian, pada tahun 2002, Perdana Menteri, membuat keputusan mendadak dalam Senat menukarkan pengajaran Sains dan Matematik ke dalam bahasa Inggeris mulai tahun 2003 di semua peringkat pendidikan.

Kesan Dasar Menggunakan Bahasa Inggeris sebagai Pengantar Sains dan Matematik

Pelaksanaan dasar bahasa pengantar itu diramalkan menimbulkan proses penyingkiran bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar pendidikan secara sistematis. Ini diramalkan dalam Kongres VI yang dilangsungkan pada 2002.

Pada tahun 2003 dimulakan pengajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Melayu di sekolah rendah. Ia dikatakan hanya melibatakan dua mata pelajaran, iaitu:

Penggunaan bahasa Inggeris 40% untuk Sains dan Matematik
Penggunaan bahasa Melayu 60% untuk bukan Sains dan Matematik.

Yang jelas berlaku adalah hakikat bahawa peratusan ini meningkat dalam sekolah menengah, menjadi seperti berikut:

Penggunaan bahasa Inggeris 80% untuk Sains dan Matematik
Penggunaan bahasa Melayu 20% untuk bukan Sains dan Matematik.

Dan pada tahap pendidikan universiti, penggunaan bahasa Inggeris terus meningkat:

Penggunaan bahasa Inggeris 91% untuk Sains dan Matematik
Penggunaan bahasa Melayu 9% untuk bukan Sains dan Matematik.

Ini berlaku lantaran semua mata kuliah yang berasaskan sains dan matematik juga dijalankan melalui bahasa Inggeris. Bahkan, mata kuliah yang tidak ada kaitan dengan sains dan matematikpun diarahkan diajarkan dalam bahasa Inggeris demi meningkatkan taraf pendidikan ke tahap antarabangsa, UPSI 2002, dan UM (Akademi Pengajian Melayu 2006). Pegawai dan ahli politik negara terlalu taksub dengan pendirian ini sehinggakan tidak memperdulikan hakikat bahawa Universiti Beijing dan Universiti Tokyo yang menduduki tempat dalam 20 teratas di dunia (2006) walaupun tidak menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar.

Kejayaan Dasar Bahasa Melayu Sebagai Bahasa Pengantar

Sebenarnya pelaksanaan dasar bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar memang sudah berhasil. Ini dilaporkan dengan meyakinkan oleh Shaharir Mohd Zain dalam Kongres Bahasa dan Persuratan Melayu Keenam (2002). Beliau membuat kajian tentang penggunaan bahasa peribumi dalam mengajarkan Sains dan Matematik, khususnya tentang pencapaian pelajar-pelajar sekolah menengah seluruh dunia (kira-kira 40 buah negara yang mengambil bahagian) oleh pengkaji di Amerika Syarikat di bawah tajaan NSF-nya. Kini sudah 4 kali dilakukan dan kali terkahirnya setakat ini ialah 1999 (lihat Newsweek December 2, 1996 dan Internett 1). Setiap kali kajian itu dilakukan, hasilnya sepatutnya menyedarkan para pencinta bahasa Inggeris di Malaysia bahawa pencapaian negara-negara berbahasa Inggeris (sekalipun negara Amerika Syarikat, United Kingdom, Australia, New Zealand, Kanada, dan Ireland) adalah tidak mengagumkan. Prestasi pelajar di negara-negara ini mendapat kedudukan di bawah negara-negara maju lain yang tidak berbahasa Inggeris. Hasil kajian 1995 mendapati negara berbahasa Kecinaan seperti Jepun, Korea, Taiwan, Singapura adalah lebih tinggi. Kemudian ini diikuti oleh negara-negara di Eropah yang mendapat tempat selepasnya hingga ke-15. Jelas, negara berbahasa Inggeris itu mendapat tempat ke-16 ke bawah dalam sains dan ke-10 ke bawah dalam Matematik.

Yang menariknya lagi Thailand, yang menggunakan bahasa sendiri, berprestasi yang sebanding dengan negara-negara berbahasa Inggeris itu. Dan, negara yang menggunakan bahasa asing, bahasa penjajahnya seperti Sepanyol, Portugis, Perancis dan Inggeris, dalam sistem pendidakannya mendapat tempat terbawah. Malaysia yang menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar pendidikan, masuk dalam penilaian ini hanya tahun 1999 dan pencapaian kita juga agak baik, iaitu dapat mengatasi kebanyakan negara-negara yang berbahasa Inggeris. Kedudukan negara-negara berbahasa Inggeris masih tidak berubah. Satu-satunya negara yang tidak menggunakan bahasa sendiri dalam sistem pendidikannya tetapi berprestasi baik adalah Singapura, iaitu mendapat kedudukan pertama dalam 1995 dan ketiga dalam 1999. Kedudukan negara-negara dalam pertandingan tahunan Olimpiad Antarabangsa Matematik, Fizik dan Kimia juga lebih kurang seperti kedudukan dalam ujian yang tersebut di atas juga.

Semuanya ini hanya manifestasi hukum sosial tentang kerelevanannya bahasa sendiri dalam pembanguan, dan juga menunjukkan adanya faktor lain lagi dalam pencapaian ilmu, bukannya soal kesuperioran bahasa Inggeris seperti yang dibayangkan oleh Dasar Bahasa Kerajaan yang baru ini. (Shaharir Mohd. Zain, 2002).
ISU-ISU BAHASA MELAYU DALAM KONGRES VII

Ada empat isu yang ditimbulkan mengenai bahasa dan budaya Melayu semasa, iaitu: Permasalahan Bahasa, Permasalahan Kebudayaan, Permasalahan Persuratan (Kesusasteraan), dan Permasalahan Pengantarabangsaan.

1. Permasalahan Persepsi Terhadap Bahasa Melayu

Permasalahan bahasa ini dibincangkan oleh Dato’ Dr. Hassan Ahmad dari Yayasan Karyawan, Prof. Awang Sariyan dari UPM, dan Hajah Noresah Baharom dari DBP.

Salah Persepsi Golongan Elit Melayu yang Menjadi Pemimpin

Krisis identiti dalam golongan elit Melayu yang menjadi pemimpin perlu dipertanggungjawabkan dalam membuat perubahan dasar pendidikan yang tidak mengambil kira kepentingan rakyat.

Dalam Kongres Bahasa dan Persuratan Melayu Ketujuh (2006) Dato' Dr Hassan Ahmad dari Yayasan Karyawan, menyatakan permasalahan bahasa ini dengan tepat. Oleh sebab itu kertas ini mendokong dan menyampaikan pendapat beliau bagi membincangkan masalah dalam melaksanakan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dan Bahasa Kebangsaan Malaysia. Pada beliau, masalah dalam melaksanakan bahasa Melayu itu sebagai bahasa rasmi negara Malaysia timbul akibat golongan elit Melayu yang berkuasa dalam kerajaan mempunyai persepsi dan sikap yang salah terhadap bahasa Melayu itu sendiri, iaitu:

a. menganggap bahasa Melayu itu tidak maju walaupun sebenarnya ia adalah bahasa maju yang sudah mencipta kemajuan manusia di Malaysia; dan
b. sikap orang Melayu yang tidak yakin terhadap bahasanya sendiri.

Inilah yang menjadi penghalang utama dalam usaha melaksanakan dasar bahasa yang digubal sejak tahun 1957. Ia menyebabkan elit Melayu yang berkuasa pada hari ini memilih kembali kepada bahasa Inggeris setelah mencapai kejayaan dalam pelaksanaan bahasa Melayu selama ini.

Jelaslah bahawa langkah memupuk bahasa Melayu itu supaya menjadi alat bagi menyampaikan pendidikan (ilmu), mentadbirkan dan membangunkan (memajukan) negara, sesuai dengan tarafnya sebagai bahasa rasmi dan bahasa kebangsaan Malaysia, sebenarnya tidaklah berkaitan dengan bahasa Melayu itu. Masalah itu adalah berkaitan dengan masalah yang ditimbulkan di luar sistem bahasa itu, yakni salah persepsi terhadap matlamat dasar bahasa yang berkuat kuasa sekarang, dan salah persepsi terhadap keupayaan bahasa Melayu bagi menjadi bahasa pembangunan negara. Sikap yang salah inilah yang telah mempengaruhi golongan elit Melayu yang berkuasa dalam kerajaan bertindak negatif terhadap bahasa Melayu, dan yakin dalam melaksanakan dasar bahasa yang ada.

Akibatnya pada tahun 2003, pemimpin Melayu sendiri membuat keputusan mengubah dasar penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar sains dan matematik di sekolah dan di IPTA, dan menggantikannya dengan bahasa Inggeris seperti pada zaman sebelum kemerdekaan.

Keputusan yang tidak waras ini dibuat berdasarkan kepercayaan bahawa bahasa Melayu tidak berupaya memajukan bangsa dan negara. Pada mereka, bangsa Melayu tidak akan maju jikalau tidak menguasai bahasa Inggeris. Namun, sikap begini diungkapkan dalam suasana rakyat Malaysia umumnya, dan Melayu khususnya mencapai kejayaan demi kejayaan dalam sistem pendidikannya.

Pada Dato’ Hassan Ahmad, sikap elit Melayu ini adalah semata-mata didorong oleh kepentingan mahu mengekalkan kepentingan golongan sendiri, supaya dapat memisahakan dan meneruskan kedudukan dan kuasa sendiri. Bangsa lain tidak dan kerana itu mereka maju. Penulis menganggap bahawa ini adalah dasar yang mengembalikan kuasa bahasa Inggeris di negeri ini sebagai bahasa penjajahan.

Penulis akan membincangkan tiga jenis kesalahan persepsi terhadap bahasa: (a) persepsi atau konsep yang salah terhadap apa yang disebut ‘bahasa yang maju’ dan ‘bahasa yang tidak maju’ dan hubungannya dengan ‘kemajuan manusia’ atau negara; (b) persepsi yang salah terhadap matlamat atau fungsi politik dasar bahasa atau bahasa Melayu; dan (c) sikap orang Melayu terhadap bahasanya sendiri.

Ketiga-tiga kesalahan persepsi atau sikap bahasa yang salah itulah yang menjadi penghalang besar dalam usaha untuk melaksanakan dasar bahasa yang digubal sejak tahun 1957 hingga hari ini. Masalah inilah yang tidak diberikan perhatian secukupnya dan secara sistematik dalam proses dan strategi perancangan bahasa Melayu selama ini.

Keputusan Politik Perdana Menteri

Prof. Dr. Awang Sariyan dari Universiti Putra Malaysia, menyesali tindakan pemimpin negara yang menolak kedudukan bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan. Ada pemimpin Melayu, dan malah ada seorang menteri kanan mengisytiharkan bahawa di kementeriannya segala urusan dilaksanakan dalam bahasa Inggeris. YBhg, Tun Dr. Mahathir Mohamad sewaktu menjadi Perdana Menteri memutuskan supaya mata pelajaran Sains dan Matematik dan subjek-subjek yang berkaitan diajarkan dalam bahasa Inggeris bermula pada tahun 2003. Malah, apabila didatangi oleh perwakilan yang menyatakan tentangan, beliau mempercepatkan rancangan menggunakan bahasa Inggeris daripada tahap rendah, kepada semua tahap pendidikan dengan serta merta. Tegas beliau, ini dilakukan dengan tidak mendapat persetujuan Parliamen, dan oleh sebab itu tidak sah.

Walau bagaimanapun, dalam masa elit Melayu sibuk memaksa dan mengubah dasar bahasa pengantar pendidikan sains dan matematik kepada menggunakan bahasa Inggeris, kaum Cina di Malaysia melalui Dong Jiao Zhong membantah keras. Mereka menolak penggunaan bahasa Inggeris bagi mengajarkan Sains dan Matematik. Mereka berhasil mempertahankan penggunaan bahasa Cina di sekolah Cina! Mereka hanya bersetuju menggunakan bahasa Inggeris apabila kedudukan bahasa Cina dikekalkan, dan bahasa Inggeris itu hanya digunakan bagi mengulang pengajaran yag dilakukan dalam bahasa Inggeris. Dan ironisnya, pemimpin Melayu, Menteri Pendidikan, Tan Sri Musa Mohamed, tidak pun membenarkan supaya buku teks dicetak dalam dua bahasa Melayu dan Inggeris. Tindakan beliau mengakibatkan bahasa Melayu dihapuskan daripada pengajaran Sains dan Matematik.

Perancangan Ejaan, Tatabahasa dan Istilah

Hajah Noresah Baharom, Pengarah Jabatan Bahasa, Dewan Bahasa dan Pustaka, meyorot apa yang beliau sangkakan kejayaan DBP selama 50 tahun. DBP berjaya menyelaraskan sistem ejaan antara negara Brunei, Indonesia dan Malaysa, mencipta 400,000 istilah, menerbitkan lebih daripada 10,000 judul buku bidang i1mu. Namun, sejak 2005 usaha DBP menerbitkan buku ini jelas menurun daripada jumlah sekitar 500 hingga 700 setahun kepada 180 hingga 200 judul setahun tersebut. DBP juga dikatakan berjaya menjalin kerjasama kebahasaan dengan Thailand, Rusia, Korea dan Australia. Inilah yang dikatakan kejayaan DBP dalam dan luar negara.

Ulasan

Penulis yang mengulas ketiga-tiga kertas kerja di atas. Beliau menyokong pernyataan Dato’ Dr. Hassan Ahmad dengan bahawa fenomena begini adalah fenomena yang dikatakan minda tertawan. Ia menyebabkan orang yang pernah belajar melalui bahasa asing akan terus mengagumi bahasadan budaya itu dan memandang remeh pada bahasa dan budaya sendiri (Malek Bennabi, 1955). Inilah fenomena yang tidak perlu diteruskan, dan kita mesti kembali ke bahasa Melayu. Mengenai bantahan Prof. Dr. Awang Sariyan terhadap penggunaan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar Sains dan Matematik, beliau menyebut hasil mengenai dasar dwibahasa (Byalistock 2001) dalam pendidikan. Ia menyebabkan kanak-kanak miskin yang tidak menguasai bahasa Inggeris akan menghadapi rintangan bahasa dan menyebabkan mereka tersisih daripada arus perdana pendidikan. Ini berlaku apabila bahasa pengantar menjadi penghalang maka mereka tidak menguasai ilmu sains dan matematik pada tahap sekolah rendah dan menengah, maka mereka akan tersisih daripada pendidikan tinggi. Mereka berada dalam keadaan kejahilan yang bertokok tambah. Mengenai kejayaan DBP yang dibentangkan oleh Hajah Noresah Baharom, beliau mencadangkan supaya definisi kejayaan itu diungkapkan semula. Kejayaan perancangan bahasa itu bukan pada sistem ejaan, bilangan istilah dan bilangan memorandum persefahaman dengan institusi luar negara. Ejaan dan istilah adalah alatnya sahaja, dan kejayaan sebenar adalah pada pembinaan kepustakaan dalam bahasa Melayu. Beliau menyarakan supaya DBP terus menumpukan perhatian kepada penerbitan buku ilmu.





2. Permasalahan Kebudayaan Kebangsaan

Kongres VII juga membincangkan dua kertas kerja mengenai permasalahan Kebudayaan Kebangsaan Malaysia, dibentangkan oleh Prof. Dato' Dr. Zainal Kling dari GAPENA dan Universiti Malaya dan YBhg Prof. Dr Ahmat Adam dari Persatuan Sejarah Malaysia.

Prof. Dato’ Zainal Kling mengungkapkan permasalahan Kebudayaan Kebangsaan Malaysia itu daripada persepsi kepimpinannya, khususnya Perdana Menterinya Dato’ Seri Abdullah Badawi yang melihat persoalan terkini sebagai masalah 'mengurus kejayaan' dan persoalan itu menyangkut isu etika dan moral dalam suasana pembangunan material, tetapi masih gagal menanganinya dari sudut etika dan moral. Manakala Tun Abdul Razak pula melihat permasalahan pada zamannya sebagai kegagalan jentera pasaran bagi membawa keadilan kepada Melayu yang tertindas dalam negeri sendiri sejak zaman penjajah Inggeris. Oleh sebab itu beliau memperkenalkan dasar sosioekonomi baru dengan membawa perubahan struktural yang positif kepada orang Melayu. Sementara Dr. Mahathir Mohamad yang dikatakan seorang Melayu ultra, namun beliau adalah seorang yang liberal, yang langsung mengetepikan budaya Melayu serta nilai Melayu hingga Melayu itu menjadi kehilangan etika Melayunya, semata-mata demi membangunkan 'orang' Melayu.

Prof. Dr. Ahmat Adam, mengimbau kembali timbulnya Dasar Kebudayaan Kebangsaan hasil Kongres Kebudayaan Kebangsaan, di Universiti Malaya, 16-20 Ogos 1971, akibat peristiwa 13 Mei 1969. Dalam pelaksanaannya, masalah ditimbulkan oleh Malaysian Chinese Association (MCA) dan Parti Gerakan Malaysia yang mahu diwujudkan multibudaya. Keadaan menjadi lebih gawat apabila soal bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan mula dipandang rendah, apabila Dr. Mahathir Mohamad meletakkan bahasa Inggeris sebagai bahasa 'utama' demi kemajuan. Ini sekali gus menukar haluan elit Melayu yang mula memandang bahasanya sendiri tidak mempunyai nilai ekonomi, sebaliknya cuma sebagai bahasa pasar, bukannya bahasa intelektual.

Sekali lagi, peranan bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan diperhatikan sebagai suatu faktor penting, dan kesannya terhadap pemantapan Kebudayaan Kebangsaan tidak adapat diperkecil.

3. Permasalahan Persuratan

Isu persuratan Melayu dibincangkan oleh Hajah Zalila binti Sharif, dari Dewan Bahasa dan Pustaka, Prof. Dr. Haji Mohd Sahlan bin Mohd Saman, dari Universiti Kebangsaan Malaysia, dan Prof. Dr. Mohd Salleh bin Yaapar dari Universiti Sains Malaysia. Rata-rata mereka ini menganggap persuratan Melayu itu adalah kesusasteraan Melayu. Di sini terletak suatu salah anggapan. Yang dimaksudkan dengan Persuratan Melayu itu digambarkan dengan jelas dialam Kongres III, dengan maksud ilmu pengetahuan. Maka dalam kongre situ dibincangkan juga isu pembangunan ilmu pengetahuan, bukan hanya kesusasteraan.

Puan Hajah Zalila binti Sharif, menyatakan bahawa kajian menunjukkan pelajar tidak meminati subjek kesusasteraan kerana nilai tidak ada nilai komersialnya. Malah sekolah hanya mengajarkan sastera sebagai komponen sastera (Komsas) dalam mata pelajaran Bahasa Melayu. Oleh sebab itu dicadangkan supaya sastera diwajibkan untuk semua pelajar.

Prof. Dr. Haji Mohd Sahlan Mohd Saman, menyatakan berlaku kemerosotan nilai Persuratan Melayu di UKM, walaupun ia meningkatkan program Persuratan Melayu ke peringkat antarabangsa, dan berjaya menghasilkan ramai pakar dan penyelidik. Perubahan nama jabatan daripada Institut Bahasa, Kesusasateraan dan Kebudayaan Melayu (IBKKM, 1972) kepada Jabatan Persuratan Melayu (1976), dan kemudian kepada Program Persuratan Melayu, adalah mengecilkan visi Persuratan Melayu itu. Namun persoalan itu dapat diatasi sedikit dengan pembentukan Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA).

Prof. Dr. Mohd Salleh bin Yaapar (USM), membincangkan pencapaian dan masalah DBP. Beliau menyatakan kembali bahawa DBP ditubuhkan pada 1956 bagi mendaulatkan bahasa Melayu itu menjadi bahasa rasmi dan Bahasa Kebangsaan. Namun, keadaan semasa meletakkan bahasa dan persuratan Melayu itu pada keadaan yang mencemaskan, terutama apabila bekas Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad, pada 19 Julai 2002, mengumumkan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar Sains dan Matematik menggantikan bahasa Melayu. Namun, DBP membuat sumbangan yang tidak ternilai harganya dalam tempoh 50 tahun kewujudannya, tetapi mulai tahun 2003 kejayaan tersebut mula menurun ke taraf yang dapat dikatakan daif.

4. Permasalahan Bahasa dan Persuratan Melayu Antarabangsa

Isu persuratan Melayu pada tahap antarabangsa dibentangkan oleh Dato' Dr. Haji A Aziz Deraman (GAPENA) dan Prof. Emeritus Tan Sri Dato' Pendeta Dr. Ismail Hussein

Dato’ A. Aziz Deraman, mengatakan bahawa permasalahan bahasa dan persuratan Melayu antarabangsa ini banyak dipengaruhi oleh cabaran sikap bangsanya sendiri yang meragukan keupayaan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu. Sedangkan bahasa dan persuratan Melayu sudah sekian lama mendapat tempat dalam program pembelajaran, penyelidikan dan pengajian di Eropah, Amerika, Asia dan Oceania. Beliau meramalkan bahawa kejayaan pengantarabangsaan bahasa dan persuratan Melayu dalam abad ke-21 bergantung pada permuafakatan dan kesedaran umat Melayu itu sendiri. Beliau merancangkan banyak lawatan dan menanda tangan banyak memorandum persefahaman dengan institusi di yang berminat terhadap bahasa Melayu, mempercayai itulah kaedah yang betul menyebarkan bahasa Melayu pada tahap antarabangsa. Malah tidak satu pun daripada memorandum persefahaman itu menghasilkan sebarang tindakan bagi mengantarabangsakan bahasa Melayu. Pandangan ini adalah suatu kepercayaan yang teramat mudah bagi menghasilkan kesan yang dikehendaki.

Prof. Emeritus Tan Sri Dato' Pendeta Dr. Ismail Hussein menyatakan tentang kecemerlangan bahasa Melayu yang menjadi wahana tamadun Melayu¬ Polinesia yang menyimpan segala khazanah kepustakaannya. Namun minat politik dan akademik di Malaysia terhadap bahasa Melayu pula sering diselubungi oleh sikap dan tindakan yang bertentangan. Beliau mengkhuatiri betapa hubungan bahasa Melayu dan bahasa Indonesia sebagai bahasa ilmu dan budaya tinggi itu sudah nampak akan terputus dan kita akan membina dua bahasa kebudayaan Melayu di dunia. Pada beliau GAPENA dapat terus memainkan peranan mengantarabangsakan sastera Melayu melalui siri dialog dan Pertemuan Sasterawan Nusantara. Aktiviti GAPENA mencakupi siri Pertemuan Dunia Melayu yang diselenggarakan di luar wilayah Nusantara, seperti di Sri Lanka (1985), di Vietnam (1992), di Afrika Selatan (1993), di Yunnan, China (1994), di Mindanao (1996), di Tanah Suci Mekah (2000 dan 2006).

5. Pernyatan 16 Pertubuhan Bukan Kerajaan

Sidang terakhir Kongres VII, menyatakan pandangan dan sarangan aripada 16 pemimpin Pertubuhan Bukan Kerajaan, iaitu:

1. Tan Sri Abdul Khalid Abdullah, Dewan Perhimpunan Melayu Kedah mengususlkan supaya pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik dikembalikan menggunakan bahasa Melayu, dan segala kegiatan membangunkan bahasa perlu diteruskan.
2. Dr. Haji Zakaria Hashim, Persatuan Pendidik Bahasa Melayu Malaysia, menyokong usul pelaksanaan peruntukan bahasa Melayu dalam perlembagaan bagi memperkukuh bahasa Melayu
3. Dato’ A. Rahman Hassan, Majlis Muzik Malaysia menggesa supaya Dasar Kebudayaan Kebangsaan dilaksanakan sepenuhnya, dan mengusulkan supaya penggiat seni perlu menggunakan bahasa Melayu yang betul, dan wakil GAPENA dan DBP yang pergi keluar negara hendaklah mempromosi budaya dan lagu-lagu Melayu yang sebenar.
4. Tuan Hashim Adnan, Persatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Cawangan Perak menyarakan supaya para cendekiawan Melayu perlu berganding bahu dalam usaha memartabatkan bahasa Melayu dalam negara demi mengekalkan kedaulatan bangsa Melayu itu sendiri.
5. Tuan Jaafar Alam, Persatuan Rumpun Melayu Lahad Datu, mencadangkan kongres diadakan di Sabah dan diadakan dua tahun sekali.
6. Tuan Haji Ahmad Zahidi Haji Hussin, Persatuan Penghulu dan Penggawa Malaysia (Pahang), kongres ini perlu digiatkan lagi dengan tidak mengira kaum dan kedudukan dalam masyarakat.
7. Tuan Haji Mohamad Azmi Abdul Hamid, Teras Keupayaan Melayu, supaya diteruskan usaha mendaulatkan bahasa Melayu dengan tidak perlu berkompromi.
8. Prof. Dato’ Mohd Ghaus Nasarudin, Persatuan Melayu Pulau Pinang, mengatakan kita perlu bertindak bagi meningkatkan ilmu dalam bahasa Melayu supaya setaraf dengan tahap antarabangsa, dan seni budaya lama seperti mak yong dan wayang kulit mesti dipelihara.
9. Haji Rejab Ismail, Persatuan Penulis Melayu Perlis, menggesa supaya para pemimpin menyokong semua kegiatan kebahasaan dan kesusasteraan, dan Resolusi Kongres ke-VII disampaikan sendiri oleh YBM Tengku Razaleigh Hamzah kepada Perdana Menteri.
10. Tuan Haji Mohd. Nor Long, Persatuan Sejarah Malaysia menggesa supaya pengajaran Sains dan Matematik kembali semula dilaksanakan melalui bahasa Melayu dengan serta-merta.
11. Tuan Mohd Hilmi Ramli, Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia, menyarakan supaya diwujudkan barisan pelapis pejuang bahasa Melayu daripada golongan muda, menggalakkan mereka aktif dalam kegiatan kebahasaan, kesusasteraan, seni, dan kebudayaan, dengan memberi kepercayaan penuh kepada mereka dalam melaksanakan program bahasa dan sastera.
12. Tuan Jais Sahok, Persatuan Karyawan Melayu Sarawak (PERKASA), menganjurkan supaya dikaji sokongan dan bantahan untuk pengajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris, dan mesti ditingkatkan penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu.
13. Haji Kasim Tukiman, Persatuan Penulis Johor, mencadangkan supaya Badan Bukan Kerajaan bekerja sama dengan kerajaan bagi mempastikan kelangsungan bahasa Melayu, memasukkan semula roh Melayu dan nilai-nilai Islam dalam jentera pentadbiran negara, dan memugar DBP agar menjadi lebih relevan dengan keperluan semasa dengan diletakkan di bawah JPM.
14. Dr. Mohd Saiful Hak Hussein, Yayasan Jaringan Perdagangan Melayu Malaysia, mencadangkan supaya dikuatkuasakan bahasa Melayu di sekolah dan di IPT.
15. Mohd Sabri Mohd Arshad, Persatuan Guru-guru Melayu Malaysia Barat mencadangkan supaya pengajaran Sains dan Matematik dikembalikan semula ke kepada bahasa Melayu kerana prestasi mutakhir pelajar luar bandar mendukacitakan.
16. Dato’ Mohd Yazid Othman, Persatuan Wartawan Melayu Malaysia, menyarankan supaya para sasterawan mesti berterus-terang dan mengelakkan bahasa yang abstrak supaya pemikiran yang hendak disampaikan lebih mudah diterima, dan para wartawan diminta mendedahkan pemimpin yang menghancurkan bahasa dan kebudayaan Melayu.

Resolusi Kongres VII

YBhg Datuk Abdul Latiff bin Abu Bakar menyampaikan Resolusi Kongres Bahasa dan Persuratan Melayu VII. Kongres menegaskan kembali: (1) Kongres memberi keyakinan kepada Dasar Kebudayaan Kebangsaan sebagai landasan kaedah pembinaan kebudayaan kebangsaan Malaysia; (2) Menuntut supaya status bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar utama dalam sistem pelajaran dikembalikan kepada keadaannya sebelum 2002 termasuk proses pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik, dan supaya kerajaan membina kepustakaan Melayu dan melengkapkan kepustakaan ilmu dalam bahasa Melayu; (3) Menggesa dittingkatkan mutu sastera melalui pelbagai strategi termasuk penterjemahan karya agung dan dukungan yang kuat terhadap para karyawan dalam pelbagai aspek; (4) Kongres mengiktiraf pencapaian DBP dalam pelbagai kegiatan selama 50 tahun.


ISU BAHASA MELAYU SEBAGAI BAHASA ILMU

Kejayaan penyampaian ilmu menerusi sesuatu bahasa sewajarnyalah diukur menerusi pencapaian pelajar berkenaan semasa dan selepas belajar, penulisan ilmu dalam bahasa tersebut, dan akhirnya penghayatan bahasa tersebut dalam kehidupan harian di dalam dunia keilmuaan, dan keprofesionalannya di dalam mahupun di luar negara.

Penyampaian Sains dan Metematik dalam Bahasa Melayu di Peringkat Universiti

Dalam hal ini Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) memulakan kejayaan pendidikan Sains dan Matematik melalui bahasa Melayu di Malaysia dengan melahirkan 40 orang graduan pertamanya dalam bidang Sains dan Teknologi pada 1973, dan seterusnya 37 orang dalam bidang perubatan pada tahu 1979. Sementara itu, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) pula membuktikan kemampuan bahasa Melayu dalam pelbagai bidang kejuruteraan dengan melahirkan graduannya pada tahun 1979. Kemudian, UKM terus memajukan budaya berbahasa Melayu dalam bidang kejuruteraan mulai 1988, dengan melahirkan graduan kejuruteraan pula. Ini diikuti oleh semua universiti di Malaysia mengeluarkan ribuan graduan Sains dan Matematik dalam bahasa Melayu pada setiap tahun. Pada tahun 1983, setiap universiti, Universiti Malaya (UM), Universiti Sains Malaysia (USM) dan Universiti Pertanian Malaysia (UPM), yang dahulunya menggunakan bahasa Inggeris bertukar menggunakan bahasa Melayu. Sehingga 1995, UKM melahirkan 2,089 orang graduan ijazah pertama perubatan. Dianggarkan sejak 1987, sekurang-kurangnya secara puratanya 4,000 graduan sains dan teknologi aliran Melayu dihasilkan oleh universiti-universiti awam Malaysia setiap tahun. Begitu juga bidang Teknologi Maklumat (TM) mula disampaikan dalam bahasa Melayu di UKM sejak tahun 1975 di bawah program Sains Komputer, dan graduan dalam bidang

Dalam bidang bukan sains, kejayaan ini sudah bermula satu dekad lebih awal. Seawal 1960-an, kursus-kursus Pengajian Melayu di UM, yang meliputi empat jurusan, iaitu Sastera, Sosiologi, Linguistik dan Umum memang sudah menghasilkan antara 500 hingga 700 graduan yang mengikuti keseluruhan kursusnya dalam bahasa Melayu. Jabatan Pengajian Melayu, pada hakikatnya adalah sebuah Fakulti, dan pada masa ini ditingkatkan menjadi sebuah Akademi. Dalam keghairahan menukarkan bahasa pengantar kepada bahasa Inggeris, Akademi Pengajian Melayu juga menerima arahan yang sama, tetapi terus mengekalkan bahasa pengantarnya dalam bahasa Melayu.

Penerimaan Masyarakat Terhadap Graduan Aliran Melayu

Walaupun universiti berjaya melahirkan berpuluh ribu graduan melalui pendidikan dalam bahasa Melayu, tetapi penerimaan masyarakat Malaysia sendiri terhadap graduan tersebut tidaklah dapat dikatakan sama berhasilnya. Malah pemegang ijazah aliran Melayu sentiasa menjadi pilihan kedua atas sebab mereka tidak fasih berbahasa Inggeris. Dapat dikatakan majikan-majikan sektor swasta di Malaysia agak berlainan daripada rakan mereka di Thailand dan Indonesia dan negara-negara maju. Mereka ini tidak menghormati kedudukan bahasa kebangsaannya dalam urusan pekerjaan hariannya. Sebarang kempen penggunaan bahasa kebangsaan dalam sektor swasta tidak dihiraukan oleh pihak swasta. Bahkan mereka banyak mengetengahkan pendapat yang mengatakan kelemahan pelajar universiti tempatan. Malah pensyarahnya sering dikatakan tidak mempunyai pencapaian sebagai cendekiawan dan kedudukannya dalam bidang antarabangsa.

Kritikan yang bercorak akademik ini juga ditujukan kepada pencapaian prasiswazah aliran Melayu itu dalam bahasa Inggeris. Mereka menuduh bahawa ahli akademik aliran Melayu kurang bermutu berbanding dengan graduan UM pada zaman bahasa Inggeris. Oleh sebab itu Shaharir Mohd. Zain menjalankan penelitian bagi melihat prestasi graduan bahasa Melayu ini dalam mengikuti kursus Sarjana dan Doktor Falsafah atau ijazah dalam bidang kepakaran masing-masing. Para graduan aliran Melayu dari UKM sejak awal lagi membuktikan kemampuannya memperolehi ijazah kedua (Sarjana), ijazah ketiga (Dotor Falsafah) atau ijazah kepakaran dalam bidang perubatan sama ada di dalam atau luar negara. Dapatan penelitian ini menunjukkan ahli akademik yang mendapat ijazah pertama dari UKM ini yang berjaya mengikuti kursus pascasiswazah dalam bahasa Inggeris (dan dalam bahasa-bahasa Eropah seperti Perancis dan Jerman, dan bahasa Asia seperti Jepun dan Korea). Dengan demikian kita tidak dapat mengatakan mereka ini medioker (mediocre) atau ’cukup makan’ sahaja dan tidak setanding dengan graduan universiti lain dalam dunia. Namum perangkaan berikut membuktikan bilangan tenaga akademik di UKM, UPM dan UTM yang mendapat ijazah pertama daripaa UKM dan berhasil meneruskan pengajian Sarjana dan Doktor Falsafah di universiti luar negeri adalah seperti berikut.

Ahli Akademik yang Mendapat Ijazah Pertama daripada UKM di beberapa buah Universiti Awam 1994

Bidang UKM UKM UPM UPM UTM UTM
Sarjana Doktor Falsafah Sarjana Doktor Falsafah Sarjana Doktor Falsafah
Fizik 63 40 20 30 40 40
Geologi 60 70 - - - -
Biologi 29 50 14 1 - -
Kimia 60 60 45 50 50 60
Matematik 36 50 14 30 14 70
Perubatan 31 27 - - - -

Sumber: Buku-buku panduan universiti berkenaan pada 1994/95

Peranan Bahasa Melayu dalam Menyampaikan Ilmu Tinggi

Universiti Kebangsaan Malaysia juga terus menggunakan bahasa Melayu bukan sahaja sebagai bahasa ilmu ijazah pertama, tetapi berhasil mengendalikan kursus pascasiswazah sains dan teknologi dalam bahasa Melayu. Sehingga 1994, UKM telah melahirkan 272 tesis pascasiswazah dalam bidang ini, iaitu 247 buah tesis peringkat Sarjana dan 25 buah tesis peringkat Doktor Falsafah. Setelah mendapat ijazah pertama masing-masing dalam tahun 1985. Bahkan sehingga kini, UKM berjaya menghasilkan bilangan tesis pascasiswazah dengan banyaknya, dianggarkan kira-kira 200 buah tesis setahun. Malah pada dalam konvokesyen UKM tahun 2001 (buku cenderamata konvokesyen UKM 2001) seramai tidak kurang daripada 230 orang graduan Sarjana dan 30 orang pelajar Doktor Falsafah. Lulus dalam bidang masing-masing, Di samping itu ada pula 160 orang lagi pelajar perubatan yang dianugerahi ijazah kepakaran perubatan.

Sekiranya kita mengambil kira tesis daripada universiti awam yang lain yang sebahagian besarnya juga ditulis dalam bahasa Melayu terutamanya sejak 1990-an, maka kini sudah lahir ribuan tesis Sarjana dan Doktor Falsafah. dalam bidang-bidang sains dan teknologi ini yang dilahirkan dalam bahasa Melayu. Segala buah fikiran atau hasil-hasil dalam tesis berbahasa Melayu ini telah disebarkan ke seluruh dunia oleh penulis tesis dan penyelianya menerusi persidangan dan jurnal antarabangsa yang sekaligus para sarjana dunia yang berminat dengan perincian hasil-hasil tersebut terpaksalah merujuk tesis-tesis dalam bahasa Melayu itu. Ini sedikit sebanyaknya telah meletakkan bahasa Melayu di peringkat antarabangsa. Penulisan puluhan ribu tesis Sains dan Teknologi dalam bahasa Melayu itu menunjukkan bahawa dakwaan kononya pendidikan dalam bahasa Melayu tidak bertaraf dunia itu tidak benar.

Pada peringkat pengajian pascasiswazah dalam bidang Sains dan Teknoloi, sejak 1995 lagi, UKM menghasilkan kira-kira purata 40 orang Sarjana dan 4 orang Doktor Falsafah setahun. Di UTM, program Sarjana dalam TM (sains komputer) bermula sejak 1983 lagi (Sesawang UTM). Sekurang-kurangnya seramai itulah juga pengeluaran siswazah ini di universiti-universiti awam yang lain. Ini bermakna dianggarkan kini sudah ada lebih seribu siswazah TM pada peringkat Sarjana dan hampir 300 orang Doktor Falsafah aliran Melayu dalam bidang TM. Dalam konvokesyen tahun 2001, umpamanya, UKM melahirkan 68 orang Sarjana dan 8 orang Doktor Falsafah dalam bidang TM (Buku cenderamata konvokesyen UKM 2001). Lagi sekali hasil-hasil daripada tesis ini sudah pun diterbitkan dalam prosiding dan jurnal antarabangsa yang menunjukkan penyelidikan dalam bahasa Melayu memang bertaraf dunia!

Ahli akademik yang dilahirkan oleh bahasa Melayu ini mencatat kejayaan demi kejayaan dalam bidang sains dan teknologi. Mereka mendapat pengiktirafan dan menerima berbagai-bagai hadiah, anugerah, biasiswa dan zamalah antarabangsa. Hampir setiap tahun juga mereka mencatat kejayaan dalam endidikan Sains dan Teknologi melalui bahasa Melayu. Mereka ini adalah pelajar yang mendapat pendidikan sekolah menengah dan lulus Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), dan kemudiannya lulus ijazah pertama dalam aliran Melayu.

MEMBINA KEPUSTAKAAN DALAM BAHASA MELAYU

Walaupun ada kejayaan-kejayaan dari segi penyampaian ilmu seperti yang dihuraikan di atas, kita tidak dapat mengatakan dengan pasti bahawa bahasa Melayu itu sudah betul-betul berhasil dalam menyampaikan ilmu. Kita melihat tiga faktor yang lebih asas, iaitu pembinaan kepustakaan ilmu dalam bahasa Melayu. Ini perlu kita lihat daripada tiga sisi, iaitu: (1) pembinaan peristilahan yang membolehkan pengungkapan ilmu dilakukan, (2) penulisan buku ilmu dalam bahasa Melayu, dan (3) penterjemahan buku ilmu ke dalam bahasa Melayu. Hanya setelah bahasa Melayu itu mengandungi kepustakaan ilmu yang lengkap baharulah dapat dikatakan kejayaan perancangan bahasa itu berlaku dengan sempurna.

1. Peristilahan Sains dan Teknologi dalam Bahasa Melayu

Menurut Pengarah Jabatan Bahasa DBP, setakat ini 400,000 istilah sudah dibentuk bagi membolehkan ilmu diungkapkan dalam bahasa Melayu. Jumlah sebesar ini memang dapat kita lihat adalah lima kali ganda berbanding kata masukan Kamus Dewan Edisi 4 (2005). Hasilnya, turut berhasil diusahakan adalah kamus-kamus istilah yang telah dibina lengkap untuk bidang sains asas, ilmu bukan sains dan sains gunaan.

Dalam Kongres VI, Prof. Shaharir Mohd Zain (2002) menceritakan bahawa kejayaan bahasa Melayu dalam dunia keilmuan antarabangsa adalah terhambar dalam kejayaan para sarjana yang berbudaya bahasa Melayu telah mencipta istilah dalam bidangnya masing-masing dalam bahasa Melayu. Yang paling banyak kejayaannya adalah adalah dalam bidang sains biologi, iaitu tentang penamaan pokok dan haiwan. Umpamnya, mengikut Mohamad Salleh (2002) seorang profesor entemologi yang diiktiraf dalam medan antarabangsa walaupun ijazah pertama dan keduanya dalam aliran Melayu. Beliau mencipta ratusan istilah asli bahasa Melayu. Melalui kreativitinya, beliau membina istilah (perkataan) Melayu dengan berasaskan nama warna bagi dijadikan sebahagian daripada nama kumbang yang dijumpainya: hijau (Arthrotus hijau), hitam (Atrachya hitam), bopeng (Dercetina bopeng), biru (Itylus biru), kuning (Ophrida kuning), merah (Monolepta merah), tompok (Sphenoraia tompok); dan perkataan-perkataan biasa seperti ajaib (Sarawakiola ajaib), bukit (Medythia bukit), cantik (Monolepta cantik), dwiwarna (Nadrana dwiwarna), jalur (Podontia jalur), indah (Pseudosastra indah), kenit (Monolepta kenit), kurnia (Trichomimastra kurnia), lapan (Xenoda lapan), lawa (Paleosepharia lawa), molek (Metrioidea molek), dan warisan (Liroetiella warisan). Di samping itu ada pula yang diberi nama sempena nama-nama tempat di Malaysia dan orang Melayu seperti pahangi (drp Pahang, Aplosonyx pahangi) dan ismaili (drp Ismail, Arcartes ismaili) dan sebagainya. Semua ini sudah diterima antarabangsa dan sekaligus bahasa Melayu telah pun mencapai taraf bahasa sains antarabangsa dalam bidang tatanama ini. Kejayaan begini menyebabkan mereka tidak dapat memahami pewajaran dasar kembali kepada bahasa Inggeris bagi mengajarkan sains.

2. Penulisan Buku dalam Bahasa Melayu

Perkembangan lojikal seterusnya selepas membina istilah adalah penulisan buku ilmu dalam bahasa Melayu. Malah inilah yang sering dijadikan alasan oleh pihak yang merendahkan kemampuan penyebaran ilmu menerusi bahasa Melayu, bahawa bahasa Melayu tidak mempunyai bilangan buku yang mencukupi. Falasi mereka seterusnya adalah apabila buku dalam bahasa Melayu tidak mencukupi, maka pelajar universiti dalam aliran Melayu tidak pula berkebolehan membaca ilmu daripada buku dalam bahasa Inggeris. Oleh sebab itu, maka disarankanlah supaya lebih baik ditukar bahasa pengantar kepada bahasa Inggeris sahaja. Sama ada kesimpulan begini mempunyai kebenaran atau tidak, bukanlah menjadi perkiraan mereka. Jadual beriku menunjukkan ada benarnya buku-buku Sains dan Teknologi dalam bahasa Melayu memang tidak banyak. Daya menerbitkan buku dalam bahasa Melayu ini hanya sekitar 80 buah setahun. Malah Shaharir Mohd. Zain (1996) membuat tinjauan bahawa pada tahun 1994 ada sejumlah 1,863 ahli akademik bumiputera, dan 984 daripadanya berkelulusan Doktor Falsafah atau yang setara, dan 879 orang yang berijazah Sarjana atau setara. Oleh sebab itu tidak hairanlah masih banyak kursus yang belum mempunyai sebuah bukupun dalam bahasa Melayu sebagai buku teks. Dalam kajian pada tahun 1991, Shaharir Mohd. Zain mendapati hanya 30% daripada kursus dalam program bidang Sains Fizik dan Sains Matematik yang ada sekurang-kurangnya sebuah buku teks dalam bahasa Melayu; manakala bidang sains biologi hanya sebanyak 17%, dan kejuruteraan hanya 6%.

Ini bermakna para pelajar Sains dan Tenologi ini menerima kuliahnya dalam bahasa Melayu, tetapi secara tidak formalnya mereka terpaksa membaca menerusi bahasa Inggeris. Ini juga menuntut supaya mereka fasih berbahasa Inggeris, malah 12% daripada kuliah ijazah pertama mereka adalah dalam bahasa Inggeris. Ini juga membuktikan bahawa dakwaan pelajar aliran Melayu tidak mampu mendapatkan ilmu dalam bahasa Inggeris itu adalah tidaklah benar. Namun, memang taraf bahasa Inggeris mereka berbeza-beza. Pada tahun 1990-an, didapati hanya 30% daripada pelajar yang diterima masuk itu mencapai tahap kefasihan berbahasa Inggeris yang memuaskan berbanding keperluan seorang pelajar universiti. Dapatan seorang pensyarah Inggeris di UM juga mengatakan perkara yang sama (2002), iaitu 70% daripada pelajarnya tidak mencapai tahap kefasihan berbahasa Inggeris yang memuaskan. Lalu pernyataan ini dimanipulasi bagi mewajarkan pengajaran Sains dan Matematik itu. Kelemahan demikian adalah ekoran yang lojikal daripada sistem pendidikan yang tidak menggunakan bahasa Inggeris dan dapat diatasi dengan meningkatkan matlamat pengajaran bahasa Inggeris kepada pelajar.

Berikut adalah bilangan buku Sains dan Teknologi yang ditulis dalam bahasa Melayu.

Bilangan Buku Sains dan Teknologi Peringkat Universiti dalam Bahasa Melayu untuk 1980-1994

Penerbit Jumlah Buku Asli dan Terjemahan
DBP
UKM
IPT yang lain 700 buah
109 buah
264 buah
Jumlah 1,073 buah

Sumber: Shaharir Mohd. Zain (1991) dan Mohd Yusof (1995)

Jumlah buku Sains dan Teknologi dalam bahasa Melayu amat kurang, dan sering dimanipulasi bagi menggantikan bahasa pengantar universiti dengan bahasa Inggeris. Ada banyak faktor yang menimbulkan situasi begini. Faktor utamanya adalah usaha kita yang tidak berfokus dalam menghasilkan buku terjemahan tersebut. Sekiranya kita belajar daripada sejarah penterjemahan ilmu dalam zaman Bait al-Hikmah pada Zaman Kegemilangan Tamadun Islam, dan Pusat Terjemahan Toledo pada Zaman Pertengahan Eropah, maka kita akan dapat memulakan tradisi ilmu itu dengan karya terjemahan. Hanya kira-kira 150 tahun kemudiannya barulah berkembang penulisan karya asli. Ini bermakna kita perlu mengembangkan strategi menterjemahkan ilmu dahulu ke dalam bahasa Melayu.

Perkembangan yang berlaku di Malaysia mengenai usaha begini menimbulkan suatu keadaan yang sebaliknya. Institut Terjemahan Negara Malaysia Berhad (ITNMB) ditubuhkan paa 1993, tetapi malangnya pada tahun yang sama jugalah negara mula mengubah dasar bahasanya bagi membolehkan bahasa Inggeris digunakan sebagai bahasa pengantar pengajaran Sains dan matematik. Malah Akta Pendidikan IPTS 1995 memberi laluan mudah bagi menubuhkan kolej atau universiti swasta yang menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar. Kini dikatakan ada sejumlah 700 kolej sedemikian. Kedua, dasar yang lebih merosakkan kedudukan bahasa Melayu dalam sistem pendidikan negara adalah dasar menggunakan bahasa Inggeris bagi mengajarkan Sains dan Matematik. Dasar begini meletakkan DBP yang menjadi badan penterjemah ilmu sebelum 1993, dan ITNMB selepas 1993 dalam keadaan bersalah. Akibatnya, DBP tidak lagi menterjemah, dan ITNMB belum mahir menjalankan tugas menterjemah.

Keperluan untuk Pembaca Tahap Sekolah Rendah dan Menengah

Kepakaran DBP adalah menerbitkan buku-buku untuk sekolah rendah dan menengah. Malah usaha menerbitkan buku ilmu tahap universiti sering menimbulkan masalah dan sering tidak membawa pulangan kewangan yang berpada. Oleh sebab bilangan pembacanya tidak ramai, maka bayaran royalti juga adalah kecil dan tidak menggalakkan penulis bertungkus lumus menghasilkan buku. Menterjemah mungkin lebih mudah dijalankan tetapi isu hakcipta adalah rumit sekali. Pada tahun 1967, sepuluh tahun selepas ditubuhkan, DBP hanya menerbitkan 545 judul buku, dan bilangan buku pengajian tinggi adalah rendah. Umpamanya sekitar tahun 1990, ada hampir 7,000 kursus di universiti, dan hanya 380 judul buku teks dan rujukan yang diterjemahkan. Pelajar esti membaca bahan dalam bahasa Inggeris.

Situasi ini menjadi meruncing selepas 1995 apabila usaha menterjemah buku kelihatan tidak diperlukan. Roosfa Hashim (2003) memberi perangkaan yang menunjukkan bilangan buku yang diterbitkan oleh universiti untuk pengajian tinggi semakin menurun.

No Tahun Bilangan Buku
1. 1990 21
2. 1991 21
3. 1992 24
4. 1993 34
5. 1994 33
6. 1995 10
7. 1996 13
8. 1997 14
9. 1998 17
10. 1999 18
11. 2000 9
12. 2001 6
13. 2002 7
14. 2003 3

Sumber MAPIM 1990-2003

Buku untuk Bacaan Awam

Bilangan buku yang diperlukan bukanlah semata-mata untuk pelajar di universiti dan kolej. Buku bacaan bagi pembaca umum juga diperlukan. Berikut adalah perangkaan buku yang diterbitkan dalam negara-negara ASEAN berbanding jumlah penduduk. Vietnam adalah negara ASEAN yang paling aktif menerbitkan buku pada tahun 2007. Namun, jumlah buku dalam bahasa Melayu tidaklah banyak. Ini ketara daripada bilangan syarikat penerbit yang menerbitkan buku di Malaysia. Antara tiga penerbit terbesar, DBP, Utusan P&D), dan PTS P&D terdapat sekitar 1,000 buah judul setahun. Yang lainnya adalah dalam bahasa Cina dan Inggeris. Oleh sebab itu, apabila kita memikirkan memandaikan rakyat untuk pembangunan, perhatian juga perlu diberikan kepada penerbitan buku am untuk pembaca awam.

No Negara Penduduk Bilangan Buku
1. Vitenam 83 juta 20,191 buku
2. Thailand 64 juta 11,600 buku
3. Indonesia 220 juta 10,000 buku
4. Malaysia 26 juta 8,550 buku
5. Filipina 85 juta 5,429 buku

Jadual Penerbitan Buku Negara-Negara Tenggara Asia 2007

3. Institut Terjemahan Negara Malaysia Berhad

ITNMB ditubuhkan hasil perjuangan mereka yang mahukan proses penterjemahan ilmu ke dalam Bahasa Melayu berjalan lebih pesat daripada yang dapat dilakukan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka. Tanpa ilmu rakyat Malaysia tidak akan membangun. ITNMB yang terletak di bawah pengawasan Kementerian Pendidikan masih belum menunjukkan kemampuannya untuk melaksanakan tugas ini. Ini menjadi ketara apabila Unit Terjemahan, Pusat Pendidikan Renong, yang telah ditubuhkan pada bulan Januari 1997 dapat menghasilkan dua puluh buku terjemahan untuk pengajian tinggi dengan perbelanjaan RM1.5 juta. Pada masa itu prestasi Unit Terjemahan Renong adalah jauh lebih tinggi daripada prestasi Institut Terjemahan Negara Malaysia Berhad (ITNMB).

Dalam Persidangan Penterjemahan Antarabangsa pada November 2006, Raja Mashitah menyusun perangkaan berikut, iaitu sebahagian daripada buku ilmu dan am yang diterbitkan oleh DBP dan universiti-universiti tempatan.

Bidang DBP PKM UM UKM USM UTM UPM UPENA
Islam 105 1
Sosiologi 25
Linguistik 21
Biografi 3
Bacaan 8
Ekologi 6
Ekonomi 32
Ensiklopedia 26
Falsafah 5
Geografi & Sejarah 72 1
Geologi 23 1
Insurans 2
Jurutera dan Teknologi 45
Cerpen 20 4
Drama 7 2 2
Kritikan 23 2
Novel 59 1 1
Puisi 10 5 1
Sastera Rakyat 6 9 1
Komputer 10 1 13
Komunikasi 17 1
Makanan & Pemakanan 8
Matematik & Statistik 37 2 7 1 1
Pelancongan 2
Pemasaran 4
Pendidikan 10
Penerbitan 6
Pentadbiran & Pengurusan 9
Perpustakaan & Maklumat 3
Sains 95 1
Biologi 44 1 2
Fizik 10 6
Kimia 45 6 13 6
Pertanian 13
Perubatan 35 7 3
Politik 11
Arkitetur 7
Undang-undang 14
Jumlah 878 17 21 4 37 67 2 6

Ternyata, bilangan sekecil ini tidak mencukupi untuk memberi pendidikan kepada sebuah negara seperti Malaysia yang kadar literasinya adalah 98%. Keperluan ini adalah bertambah penting apabila kita melihat perkembangan terakhir tentang profil membaca rakyat Malaysia.

Lihat perangkaan berikut:

 1960-an 1.5 halaman setahun (?)
 1996 Rahimah Ahmad, kadar literasi 98%
 2005 Rahimah Ahmad 2.5 buku setahun

Namun, kita perlu berhati-hati. Kadar yang tinggi ini mungkin diherotkan oleh pprojek NILAM di sekolah-sekolah. Projek membaca di sekolah menggalakkan kanak-kanak membaca. Laporan yang didapati dari sekolah rendah adalah, ramai kanak-kanak yang diberi pengiktirafan anugerah emas apabila membaca lebih daripada 120 buah buku setahun, anugerah perak kepada yang membaca 80 hingga 120 buku setahun dan gangsa 50 – 80 setahun?

Tetapi buku yang dibaca adalah buku-buku cerita nipis.

Namun, maklum balas darpada penerbit adalah menggalakkan. Syarikat-syarikat penerbit buku seperti UP&D, PTS P&D, Fajar-Oxford, Sasbadi dan Pelangi menjalankan perniagaan penerbitan buku yang bernilai antara RM17 hingga RM80 juta setahun. Perniagaan begini memberi gambaran bahawa tabiat membaca penduduk Malaysia memang meningkat. Oleh sebab itu perhatian perlu diberikan kepada penerbitan buku.

Daripada segi bahasa, kita mungkin bertanya apakah perlu kita menerbitkan dalam bahasa Melayu. Jawapannya tentu sekali. Berbanding dengan perangkaan belian buku jelas dapat dilihat suatu tred yang meningkat. Perkembangan pesat syarikat penerbitan UP&D, PTS P&D, dan DBP yang menerbitkan buku-buku bahasa Melayu, membuktikan bahawa permintaan buku-buku dalam bahasa Melayu sedang meningkat. Buku-buku Melayu suah mula dipamer dan dijual melalui rangkaian kedai buku besar seperti MPH, Kinokunya, Popular dan Rythm. Ini bermakna kelas menengah yang mengunjungi kedai buku tersebut sudah mula membeli dan membaca buku-buku dalam bahasa Melayu.

Di samping itu, memang diakui bahawa jualan buku bahasa Inggeris mencatat volum besar, namun jualan per judul masih menunjukkan buku-buku Melayu lebih banyak dijual. Sebuah judul buku bahasa Inggeris di MPH akan terjual sebanyak 50-100 naskhah per judul. Buku Melayu ada yang mencapai 200-300. (Jualan buku Harry Porter dalam bahasa Melayu mencapai lebih 150,000 naskhah per judul) Ini dapat dilihat dalam senarai buku terlaris MPH pada setiap bulan.

BEBERAPA PENGAMATAN

Negara seperti Denmark, Belanda, Holland, Norway, Belgium, Sweden, Iceand dan Luxemberg dll. mempunyai kepustakaan dalam bahasa sendiri. Memang ada korelasi antara negara maju dengan bilangan buku yang terdapat dalam bahasa negara tersebut. Ternyata negara-negara yang belum mempunyai kepustakaan sendiri, tidak dapat membangun. Pengliberalisasian dasar bahasa menyebabkan buku-buku ilmu tidak digalakkan ditulis dalam bahasa Melayu lagi. Dalam Kongres V, Mei 1998, penulis mengemukakan persepsi berikut. Dengan mengajarkan ilmu dalam bahasa Inggeris, tidak timbul keperluan buku bahasa Melayu. Namun, kepustakaan Melayu mesti terus dibina sebagai prasyarat kepada pembangunan.

Pusat Penyerahan Negara, mencatatkan bahawa bilangan buku pengajian tinggi yang diterbitkan di dalam negara telah menurun daripada 400 judul (1981) kepada 267 (1991), dan kepada 81 judul (1996). Itupun, cuma 70 judul dalam bahasa Melayu. Ini adalah satu perkara yang mesti diberi perhatian segera oleh Dewan Bahasa dan Pustaka, penerbit-penerbit universiti, dan Institut Terjemahan Negara Malaysia Berhad.

Tugas ini terletak di bahu penerbit universiti-universiti dan DBP. DBP sudah wujud selama 40 tahun (pada tahun 1998), hasil perjuangan Kongres Bahasa dan Persuratan Melayu III, dan telah mencapai banyak tujuan-tujuan asas penubuhannya. Oleh sebab itu DBP tidak perlu mengulang-ulang perjuangan yang sudah selesai. DBP perlu meneruskan yang masih belum selesai. Pada masa DBP ditubuhkan, ia ditugaskan untuk mencipta ejaan, istilah, kamus dan tatabahasa. Di samping itu ia ditugaskan juga menyatukan bahasa Melayu serantau. Ia juga ditugaskan mengembangkan sastera Melayu. Ia juga ditugaskan membawa ilmu masuk ke dalam bahasa Melayu. Semua tugas ini selesai dilaksanakan oleh dua generasi pemimpin dan pegawai DBP yang lalu. Yang belum selesai ialah pembinaan kepustakaan dalam Bahasa Melayu.

Dalam menilai pembinaan sesebuah bahasa dan budaya sesuatu bangsa, kita melihat kepustakaan yang wujud dalam bahasa itu. Pada generasi ketiga DBP ini, terletak tanggungjawab meneruskan perjuangan bahasa, iaitu membina kepustakaan dalam bahasa Melayu. Bagi mencapai tujuan ini, dana penerbitan DBP mesti diadakan. Pihak DBP juga mesti melihat strategi-strategi lain untuk menerbitkan buku.

Pada penerbit-penerbit universiti, penulisan buku ilmu untuk kursus-kursus yang diajarakan di universiti, mesti menjadi satu tanggungjawab. Menteri Pendidikan juga mengatakan penerbitan buku ilmiah di negara ini tidak selari dengan bilangan mata kursus yang ditawarkan di universiti tempatan, terutama dalam bahasa Melayu. Beliau juga mengakui bahawa ini akan menyulitkan pelajar berbahasa Melayu, dan melambatkan usaha memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu (ucapan beliau di Kementerian Pendidikan pada 23.4.98). Di universitilah terdapatnya kepakaran-kepakaran bidang ilmu. Di universitilah terletaknya tanggungjawab menerbitkan buku-buku ilmu yang diperlukannya.

CADANGAN

Berdasarkan pada:

1. Profil membaca yang kian meningkat
2. Keperluan pada bahan bacaan ilmu dalam bahasa Melayu

Maka, demi keperluan memajukan bangsa dan negara, Kerajaan hendaklah memberi perhatian kepada penerbitan buku dalam bahasa Melayu, sama ada:

1. Menerbitkan karya asli, atau
2. Menterjemah daripada sumber dalam bahasa lain ke dalam bahasa Melayu.

Melalui pembinaan dan sokongan kepada industri perbukuan, dengan:

1. Menyediakan dana membantu syarikat penerbitan
2. Membantu membiayai lesen hakcipta buku yang hendak diterjemahkan


BIBLIOGRAFI

1. Abdullah Hassan, 1987, 30 Years of Planning the Malay Language (in Malay), Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
2. Abdullah Hassan, 1994. Language Planning in Southeast Asia, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
3. Asaratnam, Sinappan, 1970, Indians in Malaysia and Singapore, Kuala Lumpur: Oxford University Press.
4. Arnberg, L. 1979, Raising Children Bilingually: The Pr- School Years. Clavendon, UK: Multilingual Matters.,
5. Asmah Hj. Omar, 1976, The Teaching of Bahasa Malaysia in the Context of Language Planning, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
6. Bialystok, E., 2001, Bilingualism in Development: Language Literacy and Development, Cambridge: Cambridge University Press.
7. Chelliah, D.D., 1948, A History of the Educational Policy of The Straits Settlements with Recommendations for a New System Based on Vernaculars, Kuala Lumpur: Government. Press.
8. Chai Hon Chan, 1971, Planning Education for a Plural Society, Paris: (UNESCO - International Institute for Educational Planning).
9. Chang Min Phang, Paul, 1973, Educational Development in a Plural Society: A Malaysian Case Study, Singapore: Academia Publications.
10. Chua, David, 1988 "Education and Culture" in Ling Liong Sik et al., The Future of Malaysian Chinese, Kuala Lumpur: Malaysian Chinese Association.
11. Fishman, J.A., Ferguson C.A. and Das Gupta, J. (1968) Language Problems and Developing Nations, New York: John Wiley & Sons, Inc.
12. Gaudart, H. M., 1985, A Descriptive Study of Bilingual Education in Malaysia, Unpub. Ph.D. Dissertation, University of Hawaii.
13. Fennell, T. R., 1967, Commitment to Change: A History of Malayan Educational Policy, 1945 - 1957, Unpub. Ph.D. Dissertation, University of Hawaii.
14. Geneese, (199?) Beyond Bilingualism, and Bilingualism and Social Change.
15. Ho Seng Ong, 1952, Education for Unity in Malaya; an Evolution of the Educational System of Malaya with Special Reference to the Need for Unity in Its Plural Society, Penang: Malayan Teachers Union.
16. Kennedy, C., 1983, Language Planning and Language Education, London: George Allen & Unwin.
17. Kua Kia Soong, 1985, The Chinese Schools of Malaysia; A Protean Saga, Kuala Lumpur: United Chinese Schools Committee Association of Malaysia.
18. Kua Kia Soong, 1985, National Culture and Democracy, Kuala Lumpur.
19. Loh Fook Seng, Philip, 1975, Seeds of Separatism: Educational Policy in Malaya 1874 - 1940, Kuala Lumpur: Oxford University Press.
20. Malaya, 1948, Education in Malaya (Cheeseman Report), Kuala Lumpur: The Colonial Office.
21. Malaya, 1951, Report of the Committee on Malay Education (Barnes Report), Kuala Lumpur: The Colonial Office.
22. Malaya, 1951, Chinese Shools and the Education of Chinese Malayans (Fenn-Wu Report), Kuala Lumpur: The Colonial Office.
23. Malaya, 1956, Report of the Education Committee 1956 (Razak Report).
24. Malaya, 1960, Report of the Education Review Committe (Rahman Talib Report).
25. Malaysia, 1973, Education Report, (Hussein Onn)
26. Malaysia, 1981, Cabinet Committee Report (on Education), (Mahathir)
27. Malaysia, 1996, Education Act, (Anwar Ibrahim)
28. Noss, R.B., 1984, An Overview of Language Issues in Southeast Asia, 1950 - 1980, Singapore: Oxford University Press.
29. Sandu, K.S., 1969, Indians in Malaysia, Cambridge: Cambridge University Press.
30. Skutnabb-Kangas, T. 1981, Bilingualism Or Not, L. Malmberg & D. Crane, trans. Clevendon and Avon, England: Multilingual Matters.
31. Soloman, J.S., 1988, The Development of Bilingual Education in Malaysia, Kuala Lumpur: Pelandok Publications.
32. Watson, J.K.P., 1983, "Cultural Pluralism, National-Building and Educational Policies," in Chris Kennedy, Language Planning and Language Education, London: George Allen & Unwin.
33. Wong Hoy Kee, Francis and Ee Tiang Hong, 1971, Education in Malaysia, Kuala Lumpur: Heinemann Educational Books (Asia) Ltd.

No comments: